PEREZ (tengah) membuka tirai jaringan di St James’ Park. — FOTO Reuters
PEREZ (tengah) membuka tirai jaringan di St James’ Park. — FOTO Reuters
Reuters

PENYERANG Leicester City, Ayoze Perez kembali menghantui bekas kelabnya Newcastle United awal pagi tadi dengan satu gol ketika Foxes menang 3-0 dan merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Kemenangan itu bermakna pasukan tangga kedua kendalian Brendan Rodgers mengumpul 45 mata daripada 21 perlawanan, 10 mata di belakang Liverpool yang beraksi kurang dua perlawanan dan melayan kunjungan Sheffield United awal pagi esok.

Leicester tidak terasa ketiadaan Jamie Vardy kerana kecederaan betis dan Perez mengambil kesempatan kesilapan pertahanan Newcastle, Florian Lejeune dan mengelak terjahan Fabian Schar sebelum merembat masuk melepasi jangkauan Martin Dubravka pada minit ke-36.

Lejeune sekali lagi menjadi tumpuan apabila sepakan lemahnya menyaksikan bola singgah di kaki Perez yang mengumpan kepada James Maddison dan pemain kebangsaan England itu meledak masuk dengan kaki kiri tiga minit kemudian.

Leicester menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-87 menerusi Hamza Choudhury yang melencongkan bola dari luar kotak penalti bagi gol pertamanya di peringkat senior.

Rodgers menyatakan beliau tidak mahu mengambil risiko terhadap Vardy, yang turut terlepas kemenangan ke atas West Ham United Sabtu lalu ketika dia menyambut kelahiran anak sekali lagi.

“Tiada gunanya anda meminta pemain beraksi pada tahap tertinggi seperti yang kami mahukan tanpa melakukan banyak perubahan. Kami membuat perubahan di West Ham dan sekali lagi hari ini,” kata Rodgers.

“Jamie Vardy mengalami kecederaan betis, dia dirawat dan saya tidak mahu mengambil risiko terhadapnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 8:32 AM