UPACARA melepaskan pelumba berlangsung meriah.
UPACARA melepaskan pelumba berlangsung meriah.
HM Digital

Kuala Lumpur: Festival Toyota GAZOO Racing (TGR) yang berlangsung di Taman Expo Agro Malaysia (Maeps), Serdang hujung minggu lalu mencatat kejayaan membanggakan apabila dihadiri kira-kira 20,000 penonton.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, penganjuran kali ini benar-benar boleh dibanggakan dan mendorong pihaknya untuk terus membantu promosi aktiviti perlumbaan di negara ini.

“Saya gembira dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan rakyat Malaysia terhadap TGR. Sambutan menggalakkan ini membuatkan kami di Toyota berbesar hati untuk membantu pembangunan aktiviti perlumbaan di sini,” katanya yang turut mengambil bahagian dalam perlumbaan Kategori Promosi.

Beliau turut memuji peningkatan pesaing dalam Cabaran Vios berbanding apa yang pernah disaksikan ketika acara serupa berlangsung di Batu Kawan sebelum ini.

“Kali ini, saya dapat merasakan saingan yang lebih menarik dan ia adalah satu peningkatan prestasi. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perlumbaan. Setiap pesaing perlu berusaha meningkatkan keupayaan diri,” katanya.

Cabaran Vios menampilkan 40 pemandu bersama jentera Toyota Vios 1.5J yang bersaing dalam tiga kategori dan ia menjadi tumpuan utama pada festival berkenaan manakala Kategori Promosi pula mendapat sokongan yang tidak kurang hebatnya apabila disertai beberapa selebriti seperti Shukri Yahaya, Diana Danielle, Danny Koo, Shawn Lee, Fattah Amin, Geraldine Gan, Janna Nick dan Venice Min yang turut bekerjasama menyerahkan goodies kepada peminat masing-masing.

Kategori Super Sport menyajikan perlumbaan kelas perdana dan menyaksikan saingan sengit antara Tengku Djan dan Mark Darwin.

TGR adalah karnival permotoran terbesar di Malaysia dan akan dilangsungkan di Medini Iskandar selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 5:19 AM