TUNKU Ismail  (tengah) bersalaman dengan Vincent (dua dari kiri) dan disaksikan Kevin (dua dari kanan) ketika majlis menandatangani MoU antara Ampersand Sport dilantik sebagai Agensi Hak Penajaan Liga Malaysia. -Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
TUNKU Ismail (tengah) bersalaman dengan Vincent (dua dari kiri) dan disaksikan Kevin (dua dari kanan) ketika majlis menandatangani MoU antara Ampersand Sport dilantik sebagai Agensi Hak Penajaan Liga Malaysia. -Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Rizar Mohd Noor


PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menandatangani perjanjian dengan Ampersand Sports Sdn Bhd dan melantik syarikat berkenaan sebagai agensi eksklusif bagi hak penajaan saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula musim depan.

Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, syarikat berkenaan dilantik untuk mencari penaja bagi saingan Liga M untuk tempoh selama lima tahun.

“Sasaran yang diletakan untuk syarikat berkenaan ialah untuk mendapatkan penajaan sekurang-kurangnya RM104 juta untuk tempoh lima tahun. Ia merupakan langkah positif bagi meningkatkan lagi mutu liga tempatan.

“Perjanjian berkenaan adalah untuk jangka masa panjang. Untuk tempoh jangka pendek memang saya harus bekerja keras lagi untuk membantu setiap pasukan yang bertanding di Liga M.

“Menerusi penajaan yang bakal diraih, semuanya akan diberikan kepada pasukan yang bertanding dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan mengambil sesen pun kerana penajaan berkenaan turut membabitkan program pembangunan bola sepak di setiap persatuan negeri dan kelab,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Ampersand Sports Sdn Bhd, Tan Sri Vincent Lee Fook Long, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam dan Ketua Eksekutif Ampersand Sports Sdn Bhd, Hasnan Hassan.

Tunku Ismail menegaskan, saingan liga musim depan akan turut membabitkan Divisyen 4 dan 5 kerana mahu membentuk komuniti positif dalam usaha membangun bola sepak tempatan di peringkat akar umbi dan menukar mentaliti masyarakat untuk menerima perubahan.

Beliau juga menambah, seandainya perubahan pemikiran tidak dapat dilakukan, kancah bola sepak tempatan akan tetap berada di takuk lama dan tidak berkembang.

“Kita jangan malu untuk belajar dan terlalu angkuh. Biarlah kita bermula daripada bawah walaupun belajar dengan apa yang Thailand dan Vietnam hasilkan untuk mencapai kejayaan.

“Apa yang kita lakukan sekarang untuk mengembalikan bola sepak kepada rakyat. Itu sahaja dan ingin saya katakan tiada unsur kroni dan kepentingan peribadi kerana saya ikhlas untuk menaikkan imej bola sepak negara,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 10:21 PM