HYEON Chung menewaskan Rublev.
HYEON Chung menewaskan Rublev.
AFP

MILAN: Pemain Korea Selatan, Hyeon Chung mengejutkan pilihan utama dari Russia, Andrey Rublev untuk memastikan kejuaraan sulungnya di Next Gen ATP, malam tadi.

Pemain 21 tahun itu tewas di set pertama sebelum bangkit menamatkan permainan 3-4 (5/7), 4-3 (7/2), 4-2, 4-2, hanya dalam tempoh kurang dua jam.

Bekas penuntut Akademi Tenis Nick Bollettieri di Florida, Amerika Syarikat itu menerima hadiah wang tunai $390,000 (RM1.6 juta) namun pertandingan di peringkat bawah 21 tahun tidak menawarkan sebarang mata ranking.

Ia adalah kejayaan ketiga Chung ke atas Rublev, selepas dua kali mengatasi lawan itu di saingan Winston-Salem dan ATP Tour.

Seorang lagi pemain Russia, Daniil Medvedev meraih tempat ketiga selepas pemain Croatia, Borna Coric terpaksa menarik diri ekoran kecederaan.

Pada aksi final itu, ATP menggunakan format baharu antaranya memansuhkan penggunaan penjaga garisan yang digantikan dengan teknologi kamera (Hawk-Eye Live) dan beberapa pindaan lain termasuk peraturan tie break.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 3:37 PM