MEDVEDEV (kiri) dan Rublev berada pada prestasi terbaik menjelang Terbuka Australia selepas merangkul Piala ATP. FOTO EPA
MEDVEDEV (kiri) dan Rublev berada pada prestasi terbaik menjelang Terbuka Australia selepas merangkul Piala ATP. FOTO EPA
AFP

Melbourne: Russia berjaya mengalahkan Itali 2-0 untuk muncul juara buat kali pertama Piala ATP dengan Daniil Medvedev dan Andrey Rublev berada pada prestasi terbaik menjelang Terbuka Australia.

Russia adalah satu-satunya pasukan daripada 12 negara yang mengambil bahagian membariskan dua pemain yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia dan mereka berjaya mengetepikan Jepun, Argentina serta Jerman sebelum mara ke final.

Aksi di Arena Rod Laver menyaksikan, Rublev berjaya mengalahkan Fabio Fognini 6-1, 6-2 dalam tempoh 61 minit sebelum Medvedev mengatasi Matteo Berrettini 6-4, 6-2.

"Satu penghormatan dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Ia bukan tugas sukar untuk menjadi ketua kepada pasukan yang kuat," kata ketua pasukan Russia, Evgeny Donskoy.

Medvedev yang menduduki ranking keempat dunia dan Rublev (kelapan dunia) adalah di antara dua pemain yang menyerlah sejak Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.

Medvedev sekarang ini berada pada prestasi terbaik sepanjang kariernya selepas 14 perlawanan belum kalah, termasuk ketika merangkul gelaran Masters ATP ketiga di Paris dan muncul juara Jelajah Akhir ATP, dengan 10 kemenangannya dicatat ketika berdepan lawan dari ranking 10 terbaik dunia.

Rublev pula berjaya meraih lima gelaran ATP sepanjang 2020, iaitu pemain paling banyak meraih kejuaraan berbanding pemain lain sehingga membolehkannya memperbaiki kedudukan ranking dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 2:19 PM