MAHREZ (tiga dari kiri) jaring gol penyamaan buat Leicester. -Foto AFP
MAHREZ (tiga dari kiri) jaring gol penyamaan buat Leicester. -Foto AFP
AFP

LEICESTER (United Kingdom): Riyad Mahrez menjaringkan gol pertamanya di Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika membantu Leicester City seri 1-1 dengan West Brom, awal pagi tadi.

Namun, jaringan itu belum cukup untuk membolehkan juara EPL 2016 itu keluar daripada kelompok tiga pasukan paling bawah dalam carta liga.

Pemain antarabangsa Algeria ini - yang tiada dalam senarai kesebelasan utama - meledak jaringan ketika saingan berbaki 10 minit selepas bijak memanfaat peluang hasil sepakan penjuru.

Namun keputusan itu menyaksikan The Foxes terus kemarau kemenangan dalam enam perlawanan setakat ini.

Sebelum ini, situasi sama menyaksikan Claudio Ranieri dipecat, walaupun cemerlang sepanjang musim dan hanya beberapa bulan selepas menjulang trofi kejuaraan musim 2016.

Penggantinya, Craig Shakespeare menegaskan mereka patut menang berdasarkan persembahan meyakinkan pemainnya dalam perlawanan pagi tadi.

“Kami patut menamatkan saingan dengan kemenangan, tidak melakukan kesilapan,” katanya kepada BBC.

“Apabila menang, diharapkan kami mampu melonjakkan pasukan ke kedudukan lebih baik dalam carta. Sekurang-kurangnya tiga atau empat (kedudukan) lebih baik. Itulah yang menjadi sasaran kami.

Dalam aksi pagi tadi, pemain antarabangsa Belgium, Nacer Chadli memberikan West Brom gol pendahuluan di babak kedua menerusi sepakan percuma.

Namun, keputusan itu juga menyaksikan West Brom terus kemarau kemenangan selepas enam perlawanan dan berada di pertengahan liga, empat mata di atas Leicester.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 12:09 PM