MORATA tak mahu terlepas aksi menentang Palace. FOTO/AFP
MORATA tak mahu terlepas aksi menentang Palace. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Penyerang Chelsea, Alvaro Morata bertekad untuk kembali secepat mungkin selepas kecederaan hamstring memaksanya menarik diri daripada skuad Sepanyol bagi kelayakan Piala Dunia.

Morata cedera pada babak pertama ketika Chelsea kalah 0-1 di tangan Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu, yang menjaringkan tujuh gol dalam sembilan penampilan sejak menyertai Chelsea pada hujung musim, awalnya menyertai skuad Sepanyol menjelang aksi kelayakan Piala Dunia menentang Albania dan Israel.

Namun dia menarik diri daripada tugasan antarabangsa selepas imbasan MRI menunjukkan “kecederaan otot hamstring tahap dua.”

Morata dijangka terpaksa diketepikan hingga sebulan namun Chelsea berharap dia boleh diturunkan semula lebih awal dan bekas bintang Real Madrid itu dilaporkan sudah menjalani pemeriksaan dan pemulihan.

Semalam, Morata mengepos dalam media sosial foto dia menyarung pakaian latihan Chelsea dengan tanda emoji pertemuan menentang Crystal Palace, lawan berikutnya pasukan juara bertahan itu pada 14 Oktober ini.

“Saya tidak mahu membuang masa! Bekerja keras untuk pulih! Crystal Palace,” tulisnya dalam Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 9:39 AM