Reuters

ATLANTA, Amerika Syarikat: Jordan Spieth (gambar) berasa bagus dengan kualiti permainannya menjelang kejohanan penamat musim Kejuaraan Jelajah bermula di Atlanta awal pagi esok, sekalipun jika dia tidak membenam banyak pukulan putt dari jauh seperti ketika dia memenangi kejohanan itu pada 2015.

Spieth akan memulakan tee di East Lake di kedudukan teratas ranking Jelajah PGA, sasarannya kekal di tempat itu dan menamatkan Piala FedEx sebagai juara sekali gus meraih bonus AS$10 juta (RM42 juta) yang diberikan kepada pemenang pungutan mata sepanjang musim itu.

Catatan 65 pada pusingan akhir di Kejuaraan BMW Ahad lalu terlalu lewat buatnya untuk melakar kemenangan namun ia satu tonik semangat yang diperlukannya.

“Saya berusaha untuk mencatat pusingan seperti saya lakukan Ahad lalu, untuk mengekalkan kedudukan nombor satu,” kata Spieth, juara Terbuka British.

“Saya agak terlewat menyerlah pada minggu itu. Kini saya berasa semakin hampir dengan pukulan saya lakukan dalam dua kejohanan pertama siri playoff. Jika ia kejuaraan utama, saya pasti berasa gembira dengan keadaan sekarang.”

Lima pemain teratas dalam kedudukan - Spieth, Justin Thomas, Dustin Johnson, Marc Leishman dan Jon Rahm – berpeluang untuk memenangi Piala FedEx jika mereka memenangi kejohanan terakhir itu.

Seramai 25 lagi pemain dalam saingan mempunyai peluang matematikal untuk muncul juara namun hanya kesilapan melampau mampu memberikan kejuaraan kepada pemain di luar kelompok 15 teratas.

Spieth bergelut dengan hayunannya apabila dia menang pada 2015 namun ‘short game’ dipamerkannya menakjubkan.

“Ia satu daripada pusingan dengan pukulan bola yang teruk buat saya tahun itu,” imbaunya. “Hanya pukulan lambung dan putt saya terlalu bagus jadi saya mampu muncul juara.

“Saya tidak mahu mengulangi semua itu. Ia lebih banyak tekanan dan saya tidak banyak melakukan putt dari jarak lebih 10 kaki seperti saya lakukan pada tahun itu secara konsisten, jadi saya tidak boleh bergantung kepadanya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 4:05 PM