Aks Amirul di litar lumba Cub Prix. FOTO Two Wheels Motor Racing
Aks Amirul di litar lumba Cub Prix. FOTO Two Wheels Motor Racing
Cubprixnews

BEKAS pelumba Moto3 negara, Amirul Hafiq Azmi kembali ke litar lumba selepas disenaraikan bertarung dalam kategori CP150 pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pasir Puteh Central, Kelantan pada 8 dan 9 September ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu akan membawa cabaran pasukan Onexox TKKR Racing menggantikan Md Haiekal Akmal Zakaria yang tidak dapat beraksi akibat patah kaki kiri.

Kali terakhir Amirul beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix pada tahun 2011 di Putrajaya sempena sambutan Hari Belia Negara.

“Haikal mungkin terpaksa berehat lama akibat cedera patah kaki kiri sewaktu perlumbaan akhir di Jasin sebelum ini. Kami terpaksa mencari pengganti yang berpengalaman untuk bersaing dalam kategori CP150 ini,” kata pengurus pasukan, Alizan Tambi.

Katanya: “Meskipun Amirul sudah lama tidak bersaing di pentas Cub Prix namun dia masih menunjukkan prestasi memberangsangkan sewaktu sesi ujian kami lakukan.

“Jika dia menunjukkan prestasi baik minggu ini, mungkin dia akan kekal sehingga ke penghujung musim jika Haiekal tidak sempat sembuh.”

Amirul akan bergandingan bersama dua pelumba muda pemenang dua podium Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Indonesia, Md Helmi Azman dan Md Khairul Ikhwan Ajis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 2:56 PM