Khe Wei (kiri) dan Vivian sudah jangka laluan sukar.FOTO /AIZUDDIN SAAD
Khe Wei (kiri) dan Vivian sudah jangka laluan sukar.FOTO /AIZUDDIN SAAD
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN badminton negara Vivian Hoo sudah menjangkakan dia dan Woon Khe Wei bakal mendapat laluan sukar walaupun mereka diletakkan harapan mempertahankan emas acara beregu wanita di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, halangan paling sukar adalah di peringkat separuh akhir menentang sama ada Jongkholpan Kititharakul-Rawinda Prajongjai (Thailand) atau Greysia Polii-Apriyani Rahayu (Indonesia).

“Tidak kisah macam mana sekali pun undian kami, paling penting ialah memberikan yang terbaik dalam acara individu ini,” katanya.

Vivian berkata, berdepan wakil Thailand atau Indonesia di separuh akhir tidak bermakna mereka sukar untuk mara ke perlawanan akhir.

“Saya rasa peluang kami 50-50 kerana pernah bertemu mereka sebelum ini. Kami sudah tahu di mana tahap mereka dan paling penting kita perlu fokus dengan permainan sendiri.

“Kami perlu berhati-hati dan sasaran ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meraih emas acara beregu wanita bakal membakar lagi semangat kami,” katanya yang pernah meraih emas dalam acara berkenaan di Sukan SEA Myanmar 2013.

Satu lagi pasangan beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean bakal berdepan satu tugas pelik di pusingan pertama apabila mereka akan menentang wakil Indonesia yang pakar dalam acara perseorangan tapi didaftarkan untuk acara beregu, Dinar Dyah Ayustine-Hanna Ramadini.

Selain Vivian-Khe Wei, BAM juga menyasarkan emas dalam acara beregu campuran dan undian semalam menyaksikan pilihan kedua Goh Soon Huat-Shevon Lai akan berdepan wakil Kemboja Leng Sopheaktra-Ker Pechoravy manakala Chan Peng Soon-Cheah Yee See pula bertemu Edi Subaktiar-Gloria Emmanuelle Widjaja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 5:44 PM