JURULATIH skuasy negara, Andrew Cross (tengah)  bersama  Andrea  (kanan) Aifa  (dua dari kanan), S Sivasangari   dan Zoe  (kiri) mempamerkan pingat yang dimenangi di KLIA, semalam.
JURULATIH skuasy negara, Andrew Cross (tengah) bersama Andrea (kanan) Aifa (dua dari kanan), S Sivasangari dan Zoe (kiri) mempamerkan pingat yang dimenangi di KLIA, semalam.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kejayaan meraih pingat perak Kejohanan Remaja Berpasukan Dunia mampu membangkit semangat pemain skuasy negara Aifa Azman (gambar) untuk memberikan aksi terbaik menjelang penampilan sulungnya di Sukan SEA yang membuka tirai 19 Ogos ini.

Menurutnya, walaupun tidak dapat membantu pasukan meraih emas selepas tumpas kepada Mesir dalam perlawanan akhir, setidak-tidaknya dia mampu mempelajari sesuatu terutama bersama pemain yang lebih senior seperti Andrea Lee dan Zoe Foo.

“Saya banyak bermain dengan pemain lebih senior dan di Sukan SEA nanti juga saya akan bergandingan bersama pemain senior (Rachel Arnold),” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari New Zealand kelmarin.

Aifa yang baru berusia 16 tahun, berjaya memperbaiki pencapaian Malaysia pada kejohanan itu bersama Andrea dan Zoe serta pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2016, S Sivasangari apabila pada edisi terdahulu (2015) skuad negara terkandas di separuh akhir.

“Pingat perak yang saya raih di New Zealand akan memberikan saya satu semangat luar biasa untuk membantu negara mempertahankan emas berpasukan wanita di Sukan SEA. Saya juga tidak sabar untuk berganding bersama Rachel dalam acara beregu wanita.

“Bagi saya persiapan berpasukan wanita semuanya berjalan lancar namun untuk beregu saya mempunyai tempoh tidak sampai sebulan mempersiapkan diri bersama Rachel. Memang sedikit sukar kerana dia tidak berada di sini, tapi saya akan cuba yang terbaik,” katanya.

Rachel berada di Manchester bersama beberapa lagi pemain senior negara menyertai Kejohanan Beregu Dunia yang bermula hari ini hingga Sabtu.

“Ini penampilan pertama saya di Sukan SEA jadi beraksi di tempat sendiri mungkin memberikan sedikit kelebihan kerana kami sudah biasa bermain di sini,” ujarnya.

Aifa yang berasal dari Kedah berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Remaja Britain pada 2013 (Bawah 13 Tahun) dan 2016 (B-15).

Acara skuasy menawarkan sembilan pingat emas di Sukan SEA dan akan diadakan di Pusat Skuasy Nasional dari 21 hingga 29 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 10:03 AM