PEMAIN Pahang Matheus Alves (kiri) diasak pemain Melaka  Nicholas Ryan (tengah).
PEMAIN Pahang Matheus Alves (kiri) diasak pemain Melaka Nicholas Ryan (tengah).

Kuantan: Penolong jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi lega apabila skuad Tok Gajah mencatat kemenangan 2-0 ke atas Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur kelmarin.

Beliau berkata, biarpun skuad itu dikejutkan dengan penggantungan 18 bulan terhadap ketua jurulatih Dollah Salleh, tiga mata yang diraih begitu bermakna buat skuad Tok Gajah dalam saingan liga.

Menurutnya, tekanan yang dirasai keseluruhan pasukan terutama pemain selepas menerima berita penggantungan tidak menjejaskan persediaan pasukan amat membanggakan.

“Apabila menerima berita gempar yang menimpa beliau (Dollah), ia memberi tekanan kepada pasukan tapi pemain berjaya menyempurnakan misi mengutip tiga mata.

“Sememangnya kami tidak menjangkakan keputusan ini (penggantungan) terutama ketika Pahang dalam persediaan untuk bertemu Melaka malam ini (kelmarin).

“Biarpun perlawanan malam ini tidak lancar seperti yang diinginkan tapi tiga mata begitu bermakna ketika Pahang tanpa ketua jurulatih (Dollah) di sisi,” katanya.

Pada perlawanan itu, jaringan Yamil Romero dan Mohamadou Sumareh, masing-masing satu gol pada setiap babak memastikan Pahang mengutip tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 9:04 AM