Pacquiao (kanan) diasak Horn pada saingan Welterweight. FOTO EPA
Pacquiao (kanan) diasak Horn pada saingan Welterweight. FOTO EPA
AFP

BEKAS guru sekolah Jeff Horn mengejutkan juara dunia Manny Pacquiao apabila memenangi gelaran Welterweight Organisasi Tinju Dunia (WBO) dengan keputusan kiraan mata di Stadium Suncorp, Brisbane, hari ini.

Biarpun tidak diletakkan sebarang harapan oleh pemerhati, aksi agresif Horn, 29 terbukti terlalu sukar disekat oleh Pacquiao.

Tiga hakim memberikan kiraan mata perlawanan 117-111, 115-113 dan 115-113 kepada peninju Australia selepas 12 pusingan.

Pacquiao, 38, adalah juara dunia lapan kategori berat dianggap salah seorang peninju terhebat dalam generasinya.

Kem Pacquiao meramalkan perlawanan itu akan berlangsung dalam tempoh "singkat dan manis" untuk mengatasi Horn yang juga Olahragawan Australia 2012.

Horn tidak menunjukkan sebarang tanda tidak mampu menangani cabaran perlawanan malah memberi tentangan hebat terhadap peninju Filipina itu sejak loceng awal dibunyikan.

"Saya dapat merasakan dia tidak dapat mengawal jurang saingan. Saya menganggu tumpuannya dan menjejaskan rentaknya untuk menguasai perlawanan itu," kata Horn, yang memiliki kelebihan 9sm lebih tinggi berbanding Pacquiao.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 3:36 PM