Aziman Rosdi dan Firdaus Hashim & Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Selepas 25 tahun menanti akhirnya Pahang dan Kedah kembali bertemu di pentas akhir kali ini bagi merebut Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi.

Ternyata penantian itu mencetuskan penuh nostalgia dan kemeriahan antara kedua-dua penyokong yang mula memasuki stadium dengan kapasiti 80,000 sejak jam 4 petang.

Mereka sanggup menanti lama sebelum perlawanan bermula jam 9 malam bagi memastikan tidak terlepas setiap detik yang bakal menjadi catatan sejarah bukan saja buat pasukan malah penyokong sendiri.

Ketika menantikan sepak mula, penyokong Lang Merah yang memakai baju hijau kuning mula menyanyikan lagu kebanggaan mereka, Biar Jasa Jadi Kenangan untuk membangkitkan suasana.

Penyokong Tok Gajah juga tidak mahu kalah apabila turut bersorak dan menyanyikan lagu semangat mereka Ale-Ale Tok Gajah Ku bagi menghangatkan malam final.

Lebih menarik apabila penyokong Pahang yang digelar Elephant Army yang pada mulanya hanya mendiamkan diri kemudian bangkit menyanyi lagu-lagu semangat mereka dengan gaya tersendiri sambil diikuti penyokong lain sekali gus membuatkan stadium mula gamat.

Selain itu, apa yang turut menyerikan suasana dalam stadium adalah perang kain rentang antara kedua-dua pasukan.

Penyokong Pahang dengan kain rentang Pahang is Argentina, Pahang The Magician, Kuala Pahang Supporters dan Sungai Ular Kuantan Pahang.

Kain rentang Kedah turut memenuhi ruang stadium seperti Penyokong Setia Kuala Kangkong, Sik Mari, BB7 The Legend dan Gamuda Sg Kob.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 6:34 AM