MUHAMMAD Izwan (berdiri, dua dari kanan) bersama pasukan SK Bukit Damansara ketika menjuarai pertandingan V Festival-Concorso Internazionale Del Artc di Rom, Itali pada 2017. FOTO NSTP
MUHAMMAD Izwan (berdiri, dua dari kanan) bersama pasukan SK Bukit Damansara ketika menjuarai pertandingan V Festival-Concorso Internazionale Del Artc di Rom, Itali pada 2017. FOTO NSTP
Garret Dawum

Kuala Lumpur: Kira-kira 18 tahun lalu, dia hanya hadir untuk mempersembahkan gerakan silat ketika Festival Kesenian Kanak-Kanak, namun kini Muhammad Izwan Suhairi mencipta nama sebagai jurulatih tarian yang disegani.

Kemahiran lelaki berusia 30 tahun ini mempersembahkan tarian tradisional dengan penuh kelembutan membuatkan dia melonjakkan nama Malaysia di persada dunia dalam pertandingan tarian disertainya.

Kejayaannya memenangi tempat pertama kategori tarian tradisional secara solo dan berkumpulan di pertandingan V Festival-Concorso Internazionale Del Artc di Rom, Itali pada 2017 selain juara keseluruhan Fiestalonia Milenio di Barcelona, Sepanyol pada 2015 antara pencapaian yang menjadi kebanggaannya.

Muhammad Izwan berkata, bakatnya mula digilap jurulatih tarian dikenali sebagai Puan Selvi.

“Beliau berbangsa India, tetapi mahir tarian tradisional Melayu. Beliau juga yang melihat potensi saya ketika menyertai Festival Kesenian Kanak-Kanak.

“Daripada situ, beliau membawa saya menyertai kumpulan Tunas Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Saya bermula dengan persembahan gerakan silat kemudian dikembangkan bakat untuk menari.

“Tidak sangka saya juga bekerja sebagai artis budaya di JKKN selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia hingga sekarang,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Menjadi jurulatih tarian kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara, dia mengekalkan kejayaan lima tahun berturut-turut sekolah itu sejak 2012 sebagai juara Pertandingan Tarian Sekolah-Sekolah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

SENI tarian tradisional menjadi sebahagian hidup Muhammad  Izwan. FOTO NSTP
SENI tarian tradisional menjadi sebahagian hidup Muhammad Izwan. FOTO NSTP

Sebelum itu, dia juga membawa kemenangan sekolah terbabit di pertandingan tarian antarabangsa di Sepanyol (2015) dan Itali (2017).

Malah, ketika menjadi jurulatih tarian SK AU Keramat, dia membawa sekolah itu sebagai juara Pertandingan Tarian Sekolah-Sekolah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur lima kali berturut-turut sejak 2008 hingga 2012.

Menurutnya, sepanjang menjadi jurulatih tarian, dia banyak memberi tunjuk ajar kepada penari cilik mengenai persembahan tarian tradisional.

Katanya, dia mahu generasi muda terus mendalami selok-belok tarian Melayu agar tidak dilupakan.

“Itu niat saya kerana minat dalam bidang tarian tidak pernah padam. Ketika melihat kanak-kanak mempersembahkan tarian tradisional, hati saya cukup tersentuh.

“Bukan mudah memupuk minat kanak-kanak mendalami seni tarian tradisional. Setiap kali sesi latihan, saya sering menerapkan keyakinan diri yang tinggi dan semangat tidak mudah putus asa kepada mereka.

“Gerakan dan konsep tarian antara perkara yang sering saya utamakan untuk memudahkan penonton faham,” katanya yang pernah membuat persembahan tarian Malaysia di Russia, Amerika Syarikat, China dan Vietnam.

Menurutnya, dia menghabiskan masa antara lima hingga enam jam sehari di studio tarian dalam mencari lebih banyak idea mengenai gerakan tarian dan pola lantai.

“Bagi mempelajari tarian baru terutama tarian budaya selain Melayu, saya menghabiskan masa dua hingga tiga hari sebelum dapat dipersembahkan kepada umum.

“Saya bersyukur kerana ahli keluarga memainkan peranan penting untuk menggerakkan minat tarian dalam diri saya walaupun ayah dan ibu aktif bersukan.

“Ayah saya, Suhairi Rahmad pernah mewakili Kuala Lumpur dalam sukan bola sepak, begitu juga ibu, Rosnah Ibrahim (bola jaring).

“Bakat seni ini sebenarnya saya warisi daripada arwah datuk, Rahmad Adenan yang pernah berlakon,” katanya yang menjuarai pertandingan Malaysian Floor Pattern Sport Dance 2018, baru-baru ini.

MUHAMMAD  Izwan (duduk, kiri) bersama pasukannya memenangi kategori kumpulan terbaik pertandingan Malaysian Floor Pattern Sport Dance. FOTO NSTP
MUHAMMAD Izwan (duduk, kiri) bersama pasukannya memenangi kategori kumpulan terbaik pertandingan Malaysian Floor Pattern Sport Dance. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 10:43 AM