PESERTA TVET@KESEDAR menjalani salah satu sesi pembelajaran di KESEDAR.
PESERTA TVET@KESEDAR menjalani salah satu sesi pembelajaran di KESEDAR.

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memfokuskan untuk memberi pendidikan secara latihan dan kemahiran kepada belia yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Pendidikan berkenaan dilaksanakan melalui Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) KESEDAR (TVET@KESEDAR) yang menawarkan pakej kemahiran dan kerjaya.

Pengurus Besar Kesedar, Dr Shahrir Mohammed Zakey berkata, KESEDAR komited meningkatkan kebolehpasaran kumpulan sasar melalui pendidikan dan kemahiran selari dengan matlamat serta dasar kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Katanya, ia sekali gus mensejahterakan kumpulan sasar ke arah lebih tinggi ekoran daripada pandemik Covid-19.

"Program TVET@KESEDAR adalah salah satu daripada tujuh program yang dirangka di bawah program Rehabilitasi Komuniti iaitu Program@Pintar KESEDAR, Program Halaqah Ilmu, Program Malaysia Madani, Program Sokongan Perniagaan (PSP), Program Kampungku dan Program Ekonomi Tambahan (AET).

"Lima kursus ditawarkan iaitu kursus welding, kursus penyelenggaraan penghawa dingin (aircond), kursus gas pipe fitting, kursus scaffolding dan fiber optic installation.

"Kelayakan untuk menyertai program ini adalah warga Malaysia, belia berumur 18 hingga 35 tahun atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan penduduk sekitar Wilayah Kelantan Selatan iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah," katanya.

Dr Shahrir berkata, kursus bagi peserta TVET@KESEDAR adalah latihan dalam jangka masa pendek iaitu selama tiga bulan yang kebanyakannya dijalankan di akademi seperti Akademi Bina Malaysia Utara dan FELCRA Training.

"Bagi tahun lalu, seramai 76 belia menyertai program TVET@KESEDAR yang membabitkan lima kursus iaitu plumbing (building & sanitary fitting), welding, gas pipe fitting, pembuatan kek dan pastri serta kursus jahitan pakaian wanita dengan peruntukan berjumlah RM380,000.

"Yuran kos seorang peserta adalah sebanyak RM5,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh agensi. Tahun ini, kursus bermula pada Mei lalu dan dijangka tamat pada Ogos depan.

"Seramai 50 peserta dari wilayah Kelantan Selatan menyertai kursus TVET@KESEDAR dengan peruntukan sebanyak RM250,000," katanya.

Menurut beliau, dianggarkan 70 peratus peserta kursus ini bakal berjaya dan mendapat peluang kerjaya dalam bidang yang disertai.

Oleh itu, bagi mereka yang berminat boleh mendaftar di pejabat wilayah dan pejabat operasi yang berdekatan dengan kawasan tempat tinggal dan pengambilan peserta setakat ini hanya sekali setahun.

Untuk maklumat lanjut layari www.kesedar.gov.my

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 10:34 AM