NUR Aisyah Syakirah gembira apabila dianugerahkan peserta termuda terbaik keseluruhan. FOTO Owee Ah Chun.
NUR Aisyah Syakirah gembira apabila dianugerahkan peserta termuda terbaik keseluruhan. FOTO Owee Ah Chun.
Fazurawati Che Lah

USIANYA baru menjangkau lapan tahun, tetapi si cilik dari Kota Bharu, Kelantan ini boleh dianggap genius dalam pengaturcaraan memprogramkan mikropengawal apabila menjadi peserta termuda yang bertanding Cabaran Pengaturcaraan Sistem Terbenam Malaysia Kali Pertama (MESPC 18).

Nur Aisyah Syakirah Saifulnizan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Bahar mengalahkan lebih 600 peserta yang kebanyakannya berumur antara 10 sehingga 20 tahun.

Nur Aisyah Syakirah dianugerahkan Peserta Termuda Terbaik Keseluruhan dalam cabaran itu apabila mendapat Gred 3 dalam Sijil Peperiksaan Pengaturcaraan Sistem Terbenam (ESPEC).

SAIFULNIZAN gembira dengan pencapaian Nur Aisyah Syakirah.
SAIFULNIZAN gembira dengan pencapaian Nur Aisyah Syakirah.

Menurut bapanya, Saifulnizan Che Ismail, anak sulungnya itu seorang yang pendiam, tetapi menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang pengkomputeran.

Katanya, dia turut terkejut apabila Nur Aisyah Syakirah yang ketika itu berumur tujuh tahun menjadi wakil tunggal dari Kelantan dianugerahkan peserta terbaik untuk MESPC 18.

Katanya, pembinaan pengaturcaraan untuk sistem terbenam itu hanya diperkenalkan untuk pelajar tingkatan dua dan tidak didedahkan kepada murid sekolah rendah.

“Syukur, Nur Aisyah Syakirah mudah faham ketika pembinaan pengaturcaraan dan tidak panik.

“Bagi membina model mikropengawal sememangnya menguji daya pemikiran seseorang, malah ujian itu bukan sesuai untuk tahap umurnya yang baru mencecah tujuh tahun, tetapi dia berjaya melepasinya,” katanya.

Saifulnizan yang juga guru pembimbing untuk cabaran itu di sekolah berkenaan berkata, Nur Aisyah Syakirah awalnya hanya menemaninya melatih empat murid lain yang menjadi peserta untuk cabaran berkenaan.

NUR AISYAH SYAKIRAH ketika peperiksaan sistem pengaturcaraan sistem terbenam.
NUR AISYAH SYAKIRAH ketika peperiksaan sistem pengaturcaraan sistem terbenam.

“Jadi, tumpuan kepadanya tidaklah serius seperti empat peserta lain, memandangkan saya hanya membawanya untuk melihat latihan yang saya berikan.

“Lama-kelamaan dia mula menunjukkan minat untuk mencuba dan mengawal sistem pengaturcaraan itu,” katanya.

Katanya, berikutan pesertanya adalah dari sekolah rendah, latihan asas mengenai pengaturcaraan saja diberikan kepada mereka.

“Saya terkejut kerana ketika peperiksaan dijalankan, peserta diarahkan buat lebih daripada teknik asas dan beberapa mikrokawalan pula tidak pernah diajar.

“Saya jadi bimbang, apabila satu persatu peserta saya keluar dari dewan peperiksaan itu termasuk peserta dari sekolah lain, tapi Nur Aisyah Syakirah masih berada di dewan sehingga berjaya ke tahap cabaran ketiga,” katanya.

Katanya, dia berbangga dengan Nur Aisyah Syakirah walaupun baru pertama kali menyertai cabaran itu, namun menunjukkan minat yang mendalam.

“Tidak dinafikan, saya banyak membantu melatih Nur Aisyah Syakirah untuk meningkatkan kemahiran mikropengawal menggunakan komputer di rumah.

SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti peperiksaan pengaturcaraan sistem terbenam.
SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti peperiksaan pengaturcaraan sistem terbenam.

“Dia cepat faham dan boleh buat pengaturcaraan itu dengan mudah dalam masa singkat, sebab itu saya yakin dia boleh menyertai cabaran itu biarpun menjadi peserta termuda,” katanya.

Saifulnizan berkata, Nur Aisyah Syakirah sememangnya didedahkan dengan gajet sejak kecil, namun dia tidak menunjukkan minat ke arah program mikropengawal.

“Biasalah, kanak-kanak memang tidak lepas daripada gajet, saya sendiri mendedahkan dia kepada gajet sejak usia tiga tahun.

“Pendedahan gajet sebenarnya untuk membantu dia memanfaatkan pembelajaran dan sekarang saya perhatikan dia juga ke depan berbanding kanak-kanak seusianya terutama penggunaan gajet kerana tidak memerlukan bantuan orang lain untuk mencari maklumat di Internet,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Program MESPC18, DRABOT, Dafizal Dewawi berkata, cabaran MESPC 18 julung kali diadakan yang mendapat kerjasama dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu bertujuan meningkatkan kemahiran pengaturcaraan sistem terbenam sebagai persediaan menghadapi revolusi industri 4.0 (IR4.0).

Katanya, program itu juga untuk meningkatkan peratusan pelajar menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Pertandingan ini berbeza dengan yang lain kerana menekankan pelajar untuk membina pengaturcaraan untuk sistem terbenam (embedded system).

PESERTA yang memenangi cabaran pengaturcaraan sistem terbenam.
PESERTA yang memenangi cabaran pengaturcaraan sistem terbenam.

“Sistem ini baru diperkenalkan kepada pelajar tingkatan dua pada tahun lalu menerusi mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) apabila pelajar diajar untuk memprogramkan mikropengawal,” katanya.

Dafizal berkata, program itu terbahagi kepada dua fasa dan mempunyai tiga kategori iaitu sekolah rendah, menengah dan kolej atau universiti.

Katanya, 627 peserta menduduki peperiksaan ESPEC untuk menguji tahap kemahiran pengaturcaraan sistem terbenam dan peserta termuda berusia tujuh tahun iaitu Nur Aisyah Syakirah.

“Melalui fasa ini kami berjaya mengesan pelajar yang berpotensi dalam bidang pengaturcaraan dan memberi impak positif kepada pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Reka Bentuk dan Teknologi dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Teknologi Maklumat dan Komunikasi,” katanya.

Sebanyak 16 anugerah diberikan untuk meraikan pencapaian pelajar dalam MESPC18 dan peserta terbaik untuk setiap kategori mendapat wang tunai RM1,000, piala dan sijil pencapaian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 12:29 PM