BERSAMA beberapa ekor lembu miliknya.
BERSAMA beberapa ekor lembu miliknya.
Hafiz Ithnin


Puas menimba pengalaman sebagai jurufoto bebas sehingga mengembara ke pelbagai negara demi mendapatkan sekeping foto, anak kelahiran Kedah ini sememangnya tidak menyangka bidang penternakan menjadi kerjayanya pada hari ini.

Hanya disebabkan perlu meneruskan legasi arwah bapanya, pemilik nama Ahmad Zikri Mohamad Zuki kini yakin bidang pertanian dan penternakan sesuatu yang menarik untuk diterokai.

Jelasnya, meskipun bapanya, Mohamad Zuki Mohamad meninggalkan beberapa ekor lembu dan ladang kelapa sawit, ia bukan sesuatu yang mudah untuk diusahakan.

MENTERNAK lembu pedaging di dalam kebun miliknya.
MENTERNAK lembu pedaging di dalam kebun miliknya.

"Arwah bapa saya mempunyai sekitar tujuh ekor lembu yang dibela secara 'bebas' di dalam kebun kelapa sawit dan tidak diusahakan secara serius.

"Selepas saya mula terbabit secara serius pada tahun lalu, saya melihat penternakan lembu adalah bidang yang menarik untuk diterokai jika diusahakan secara serius," katanya.

Pada awalnya dia hanya membeli seekor saja lembu daripada baka tempatan dan kini sudah mempunyai 14 ekor lembu.

Jelasnya, kos operasi untuk menternak lembu bukanlah menelan belanja yang kecil kerana jika ingin terbabit secara serius perlu menyediakan pelbagai kemudahan.

AHMAD Zikri menukar bidang dari jurufoto bebas kepada bidang perternakan dan pertanian.
AHMAD Zikri menukar bidang dari jurufoto bebas kepada bidang perternakan dan pertanian.

"Dalam tempoh setahun ini, saya banyak menimba pengalaman dengan menyertai kursus penternakan dan belajar daripada penternak tempatan yang berpengalaman.

"Perkara ini perlu kerana lembu ini kosnya agak tinggi terutama jika ingin diusahakan secara serius terutama menyediakan kandang fidlot," katanya.

Ahmad Zikri berkata, dalam tempoh setahun ini dia terbabit dalam perniagaan 'trading' lembu tempatan bagi mengumpul modal untuk mempunyai kandang fidlot.

Jelasnya, fidlot ialah menternak lembu pedaging secara sendasa berkurung dengan memberi makanan bermutu, air secukupnya dan menggemukkan lembu dalam masa yang singkat.

INGIN menjadikan bidang penternakan sebagai perniagaan yang serius.
INGIN menjadikan bidang penternakan sebagai perniagaan yang serius.

"Setakat ini, saya sudah melaburkan kira-kira RM60,000 bagi membeli lembu baka dan ia termasuk kos operasi yang sebenarnya agak tinggi.

"Ini kerana kos makanan terutama jenis dedak yang harganya agak tinggi di pasaran. Jadi, selain daripada memberi dedak, saya juga memberi makanan jenis jerami, silaj napier, silaj batang jagung," katanya.

Katanya, makanan menjadi perkara paling penting dalam penternakan lembu pedaging kerana ia memberi pengaruh kepada tumbesaran haiwan berkenaan.

"Jika lembu kurus, pastinya harga jualannya tidaklah tinggi. Jadi, saya perlu memastikan lembu yang dimiliki sentiasa mempunyai makanan mencukupi.

"Malah, lembu juga terdedah dengan pelbagai masalah kesihatan dan perlu diberi vaksin serta pemantauan. Jika tidak, kematian akan berlaku. Setakat ini, saya bersyukur tidak berlaku lagi lembu yang diserang penyakit," katanya.

KEADAAN persekitaran kandang sentiasa dipantau.
KEADAAN persekitaran kandang sentiasa dipantau.

Ahmad Zikri berkata, walaupun menjadi penternak lembu yang mengambil masa untuk dijual kepada pembeli, tetapi ia sesuatu perkara yang menyeronokkan jika pandai mengatur strategi.

"Saya adalah individu yang tidak gemar bekerja makan gaji, jadi bidang perniagaan sudah tentu menjadi pilihan.

"Apabila menemui bidang penternakan ini, saya melihat ia adalah suatu perniagaan yang sebenarnya menarik untuk diterokai. Cuma kita perlu sabar," katanya.

MEMASTIKAN keadaan lembu sentiasa sihat.
MEMASTIKAN keadaan lembu sentiasa sihat.

Katanya, perkara paling utama untuk menyertai bidang ini adalah minat kerana jika tidak mempunyai minat segala perkara yang diusahakan tidak menjadi.

"Perkara kedua, pastinya ilmu yang kita perlu dapatkan daripada pelbagai pihak berpengalaman supaya usaha yang dilakukan tidak sia-sia.

"Kemudian, perlu menguruskan penternakan ini memberi satu pulangan dalam bentuk pendapatan. Apa yang saya lakukan ialah mengumpul modal terdahulu menerusi pembabitan dalam bidang 'trading.' Walaupun tidaklah untung begitu besar, saya dapat mempelajari rantaian dalam perniagaan itu terlebih dahulu," katanya.

MAKANAN adalah perkara penting untuk kesihatan lembu.
MAKANAN adalah perkara penting untuk kesihatan lembu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 6:30 AM