AL-QURAN sudah menjelaskan langlah perlu diambil  kerajaan dan persiapan  rakyat sekiranya diuji dengan kekurangan bekalan makanan.
AL-QURAN sudah menjelaskan langlah perlu diambil kerajaan dan persiapan rakyat sekiranya diuji dengan kekurangan bekalan makanan.
Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

Ketika ini kita diuji dengan ujian kekurangan dan kenaikan harga bekalan makanan terutamanya beras dan barang-barang keperluan lain. Ujian seperti ini bukan saja berlaku dalam negara, malah terjadi di peringkat antarabangsa.

Sebenarnya ujian seperti ini adalah satu ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Justeru, seluruh umat manusia terutamanya umat Islam diingatkan supaya tidak mudah lalai dan lupa diri di atas kesenangan yang dikurniakan oleh Allah SWT selama ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan sesuatu yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan sesuatu yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang yang sombong, lagi membanggakan diri." (Surah al-Hadid ayat 22-23)

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa menguji keimanan hamba-Nya dengan sesuatu kejadian dan bencana yang ditimpakan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Surah al-Baqarah ayat 155)

Musibah atau ujian seharusnya dihadapi oleh umat Islam dengan tenang dan sabar. Hal ini kerana dengan kesabaran kita akan beroleh kemenangan, tidak mudah cemas dan sentiasa bersedia menghadapi segala kerenah kehidupan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Surah al-Baqarah ayat 156)

Meskipun ujian demi ujian yang menimpa umat manusia di atas muka bumi ini, kita tidak seharusnya hanya berdiam diri dengan tidak melakukan sebarang usaha. Sebaik-baiknya manusia harus mempertingkatkan lagi usaha dan membuat perancangan- perancangan bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

Dalam al-Quran diceritakan tentang langkah-langkah yang dilakukan oleh sebuah kerajaan untuk menghadapi masalah kelaparan dan kekurangan bekalan makanan.

Diceritakan dalam Surah Yusuf (ayat 46-48) ketika utusan Raja Mesir datang kepada Nabi Yusuf di dalam penjara meminta beliau mentakwilkan mimpi, ia berkata "Yusuf, wahai orang yang amat dipercayai, terangkanlah kepada kami tentang (mimpi) tujuh ekor lembu betina gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus; dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan (tujuh) lainya yang kering (terangkanlah maksud mimpi itu) agar aku kembali kepada orang-orang (yang mengutus itu), semoga mereka akan mengetahuinya." (Surah Yusuf ayat 46)

Nabi Yusuf AS ternyata tidak hanya mentakwilkan mimpi itu sahaja, bahkan Baginda memberi cadangan kepada mereka supaya membuat perancangan bagi masa depan untuk mengatasi masalah kelaparan dan kekurangan bekalan makanan yang diramalkan akan menimpa negeri mereka iaitu Mesir. Baginda mencadangkan beberapa langkah positif yang perlu diambil bagi menghadapi masalah tersebut.

Langkah-langkah yang perlu dirancang itu ialah pertama, menggiatkan lagi pekerjaan yang sedang dilakukan serta menetapkan jangka waktu yang diperlukan; kedua, perlu bersungguh-sungguh melakukan kegiatan pertanian dalam jangka masa tertentu; ketiga, perlu berusaha meningkatkan pengeluaran dan keempat, perlu bekerja keras terus menerus dan bersungguh-sungguh.

Nabi Yusuf AS menyatakan: "Supaya kamu bercucuk-tanam selama tujuk tahun (lamanya) sebagaimana biasa." (Surah Yusuf ayat 47) Maksudnya, bercucuk-tanam selama tujuh tahun berturut-turut pada musim subur, sepertimana yang diperlihatkan dalam mimpi "Tujuh ekor lembu betina yang gemuk." 

Kata Nabi Yusuf lagi: "Maka apa (gandum) yang kamu tuai hendaklah dibiarkan saja pada tangkainya." (Surah Yusuf ayat 47) Maksudnya biarkan saja bijian gandum itu pada tangkainya kerana hal itu akan menjadikan gandum terselamat daripada gangguan serangga perosak dan tahan daripada perubahan cuaca panas.

Berdasarkan cadangan- cadangan itu, jelas menampakkan betapa pentingnya cara penyimpanan yang baik untuk menjaga keutuhan hasil bumi.

Makna ayat itu mencakupi petunjuk mengenai kepentingan menyimpan dan cara hidup berekonomi, tidak boros dan tidak berlebih-lebihan. Ini kerana Islam adalah agama yang mementingkan prinsip keseimbangan dan sama sekali menolak sifat bakhil dan mengharamkan pembaziran atau menggunakan harta untuk hal-hal tidak bermanfaat. 

Dalam perancangan mengatasi kesulitan yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf itu, terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian, iaitu berhati-hati dalam membelanjakan harta dan tidak melakukan pembaziran. Perbelanjaan ditentukan kepada keperluan-keperluan utama, yang dikatakan Nabi Yusuf "Kecuali sedikit untuk kamu makan." (Surah Yusuf ayat 47)

Baginda juga memberi cadangan mengenai keharusan menggunakan harta simpanan dengan cara sebaik-baiknya, terutama pada masa kesulitan. Baginda berkata "Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit (sangat kemarau), yang menghabiskan apa (makanan) yang kamu simpan untuk menghadapinya, kecuali sedikit daripada sesuatu yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)." (Surah Yusuf ayat 48)

Hasil pemikiran dan perancangan Nabi Yusuf a.s yang berdasarkan petunjuk Allah SWT kepadanya itu, maka umatnya terhindar daripada bencana kelaparan dan kekurangan bekalan makanan seterusnya dapat mengatasi satu malapetaka besar. 

Demikianlah panduan yang tercatat dalam al-Quran untuk kepentingan umat manusia umumnya dan kesejahteraan umat Islam khususnya. Oleh itu, jelaslah Islam bukan agama mengajar orang berfikir secara membuta tuli atau bertawakal tanpa alasan.

Islam adalah agama yang mengajar manusia supaya memerhatikan dan mempelajari dengan teliti terutama perkara yang berkaitan pengeluaran, penggunaan dan keperluan-keperluan material lain yang diperlukan dalam kehidupan masyarakat.

Akhirnya, sebagai umat Islam kita hendaklah memperbanyakkan syukur di atas segala nikmat Allah SWT, kuat bersabar dalam menghadapi ujian dan dugaan yang ditentukan Allah SWT.

Atasilah semua itu dengan kuat bekerja, membuat perancangan yang rapi dan mengamalkan jimat cermat. Elakkan amalan boros dan berlebih-lebihan dalam perbelanjaan. Jadikanlah al-Quran panduan dalam kehidupan.


Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 6:01 AM