ISLAM sentiasa menekankan cara pemakaian sempurna terutama dalam kalangan wanita Muslim.
ISLAM sentiasa menekankan cara pemakaian sempurna terutama dalam kalangan wanita Muslim.
Muhammad Saufi Hassan

Terpakaian namun menampakkan bentuk tubuh, berpakaian namun seolah-oleh 'telanjang'. Itu antara tanda-tanda dekatnya Hari Kiamat apabila wanita sudah tidak mengikut syariat agama yang ditetapkan.

Bahkan, mereka memperagakan pakaian serta fesyen, memakai tudung, namun pada masa sama turut berpakaian yang menampakkan bentuk tubuh, sekali gus mengundang pandangan daripada lelaki.

Mereka juga lebih mengutamakan fesyen yang terkeluar daripada adab dan tatasusila yang diterapkan Islam.

Ramai wanita mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan perhiasan, rambut dan bahagian yang sepatutnya ditutup.

Perkara ini mula berkembang dengan pantas apabila portal pembelian dalam talian mengeluarkan fesyen terkini yang nyata terkeluar daripada syariat Islam.

Memetik tulisan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Khairul Asyraf Mohd Nathor menukilkan bahawa perkara ini dinyatakan Nabi SAW mengenai perilaku manusia akhir zaman khususnya wanita apabila membabitkan pemakaian mereka.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Pada umatku yang akan datang ini, akan ada orang lelaki yang naik pelana kuda yang menyerupai pelana unta, lalu turun di pintu-pintu masjid. Wanita mereka berpakaian, tetapi telanjang, rambut kepala mereka bagaikan bonggol unta yang tinggi. Laknatlah mereka kerana mereka ialah wanita terlaknat. Kalau di belakangmu (sesudahmu) nanti masih ada umat lain, nescaya wanita kamu akan melayani wanita mereka sebagaimana dahulu kamu dilayani oleh wanita bangsa sebelum kamu. (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Hadis no 7083, Fath al-Bari: 6/320)

Menerusi penulisan berkenaan, hadis ini jelas menunjukkan bagaimana keadaan wanita akhir zaman berpakaian sehingga setiap jenis fesyen yang dikenakakan pasti akan menarik mata-mata (lelaki) untuk melihatnya. Perkara ini dilihat menjadi trend terkini khususnya wanita yang bekerjaya apabila sanggup berbelanja sakan demi dilihat bergaya dan cantik di tempat kerja masing-masing.

Jika fesyen yang dikenakan mengikut syariat Islam, maka tiada apa yang ingin digusarkan. Islam tidak melarang umatnya untuk dilihat cantik, namun apabila melampaui batas perkara ini ditegah oleh Nabi SAW.

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Ada dua golongan ahli neraka yang belum aku lihat sekarang, iaitu kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu untuk memukul manusia dan wanita yang berpakaian, tetapi telanjang yang berlenggang-lenggok dan condong, rambutnya seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya padahal bau syurga itu dapat dicium daripada perjalanan sejauh ini" (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Hadis ini adalah sebahagian daripada Mukjizat Nabi SAW yang disabdakan oleh Baginda dan berlaku pada sebelum ini dan lebih-lebih lagi pada masa akan datang.

Nabi SAW menamakan kumpulan wanita berkenaan seperti wanita yang berpakaian, tetapi dalam keadaan telanjang.

Perkara ini disebabkan mereka mengenakan pakaian, tetapi pakaian mereka tidak berfungsi sebagai benteng bagi menutup keseluruhan aurat mereka. (Dr Yusuf al-Qardhawi kitab al-halal wa al-haram fi al-Islam).

Antara ciri-ciri pakaian terbabit ialah nipis, ketat, singkat dan menampakkan bahagian utama badan wanita.

Ada pula pandangan yang mengatakan mereka yang mengenakan pakaian, tetapi telanjang bermaksud tudung yang dipakai hanya dililit pada leher sahaja dan pakaian yang dikenakan ketat sehingga menampak bentuk tubuh badan wanita berkenaan.

Disebabkan kelakuan itu wanita ini akan mendapat seksaan di akhirat kelak.

Nabi SAW menjelaskan beberapa sifat wanita antaranya berpakaian, tetapi telanjang, berlenggang-lenggok dan rambut umpama bonggol unta.

Kenyataan Baginda Nabi SAW ini menggambarkan situasi yang berlaku pada hari ini, seakan-akan baginda dapat melihat apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Pada hari ini, banyak tempat yang digunakan untuk menghias dan melakukan fesyen pada rambut dengan pelbagai gaya dan bentuk. Ada sesetengah salun kecantikan yang bercampur antara lelaki dan wanita.

Walaupun ada sekatan atau halangan yang dibuat, namun bagi pekerja lelaki, mereka masih boleh melihat rambut yang juga aurat bagi wanita.

Tidak sekadar itu, ada wanita yang tidak berpuas hati dengan rambut kurniaan Allah SWT sehingga mereka berusaha menyambung rambut (dinamakan sebagai 'al-wasl' dalam bahasa Arab) atau mengenakan rambut palsu bagi dilihat cantik oleh orang ramai khususnya lelaki. Al-wasilah ialah wanita yang menyambung rambut dengan rambut wanita lain supaya rambutnya kelihatan panjang dan menyebabkan orang lain menyangka rambut al-wasl (sambungan) berkenaan adalah rambut asal. Ia dilakukan oleh wanita yang rambut nipis atau wanita berambut perang yang menyambung rambutnya dengan rambut hitam. (Ma'alim al-Sunan oleh al-Khattabi, 4/256)

Larangan terbabit berdasarkan hadis daripada Asma' binti Abi Bakr RA, bahawa seorang wanita datang menemui Rasulullah SAW lalu mengadu kepadanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan yang baru menikah. Dia terkena penyakit cacar sehingga menyebabkan rambutnya keguguran. Bolehkah aku menyambung rambutnya (dengan rambut palsu)? Lalu Baginda SAW bersabda maksudnya: "Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya)." (Hadis Riwayat Imam Muslim, Hadith no:5687)

Dalam Hadis lain, diriwayatkan oleh Aisyah RA, seorang gadis Ansar baru berkahwin. Dia jatuh sakit menyebabkan rambutnya banyak yang gugur. Keluarganya hendak menyambung rambut itu (dengan rambut palsu). Mereka kemudian bertanya kepada Nabi SAW lalu Baginda bersabda maksudnya: "Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya." (Hadis Riwayat al-Bukhari, Hadith no:5934)

Imam al-Nawawi berkata, hadis ini secara tegas menunjukkan haramnya menyambung rambut dan laknat untuk wanita yang menyambung rambut atau pemakai yang disambungkan rambutnya secara mutlak.

Menelusuri setiap dalil serta peringatan daripada Nabi Muhammad SAW memperlihatkan bahawa manusia kini berada di fasa 'akhir yang terakhir' dengan setiap satunya menjadi realiti pada hari ini.

Untuk itu, mari kita sama-sama mengambil iktibar serta pedoman atas semua peringatan ini. Insya-Allah.

Penulis Wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 7:00 AM