GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Shahrizal Nasir

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan 'zuhud' merujuk kepada kehidupan seseorang yang soleh dan tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia. Pentakrifan terbabit menjelaskan zuhud sebagai sifat yang menggambarkan kebaikan dalam kehidupan seseorang Muslim yang tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia yang bersifat sementara.

Allah SWT berfirman mengingatkan manusia tentang kehidupan dunia maksudnya:  "Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)." (Surah al-Ankabut, ayat 64)

Bagi orang awam, biasanya zuhud dikaitkan dengan penampilan luaran seseorang semata-mata. Orang yang zuhud dikaitkan dengan pakaian yang lusuh, tidak mempunyai harta yang mencukupi, hanya memikirkan akhirat dan meninggalkan kehidupan dunia, serba kekurangan dari sudut keperluan harian dan sebagainya. Sebenarnya gambaran zuhud sebegini kurang tepat dan pemahaman ini perlu diperbetulkan.

Pemahaman yang tidak tepat berkenaan makna zuhud berlaku kerana hal ini didasari oleh persepsi salah sesetengah orang yang mentafsir istilah terbabit tanpa merujuk kepada nas-nas al-Quran dan hadis yang bersifat holistik dan komprehensif. Natijahnya, ramai orang melihat sifat zuhud hanya layak dimiliki sesetengah individu. Sedangkan hakikatnya setiap Muslim perlu memiliki sifat zuhud dalam kehidupan mereka.

Ada orang yang beranggapan bahawa zuhud adalah sifat yang boleh dimiliki ataupun ditinggalkan tanpa perlu berusaha untuk memilikinya. Lebih menyulitkan lagi apabila masyarakat bukan Islam memandang negatif terhadap persepsi orang Islam sendiri mengenai sifat zuhud yang dilihat sebagai mundur, ketinggalan dan antikemajuan dunia.

Hakikatnya, sifat zuhud perlu dimiliki setiap Muslim kerana ia adalah sifat yang dituntut oleh Islam. Sifat ini mempunyai kaitan rapat dengan akidah dan bukan sekadar satu perkara remeh yang boleh jadi diberi fokus ataupun sebaliknya. Justeru, pemahaman yang betul mengenai zuhud perlu didedahkan kepada masyarakat supaya sifat ini dilihat penting dan setiap Muslim perlu berusaha untuk menanam sifat zuhud dalam diri. 

Jika ada sesetengah pihak yang mendakwa Islam hanya mementingkan akhirat semata-mata dan meminggirkan kehidupan dunia, maka pandangan sebegini wajib diperbetulkan. Islam adalah agama fitrah yang amat meraikan kehidupan manusia di dunia. Dunia merupakan tempat bagi manusia mencari bekalan untuk mencapai kebahagiaan hidup di akhirat nanti. Setiap amalan manusia di dunia akan dinilai secara adil oleh Allah SWT bagi menentukan kedudukan mereka di akhirat kelak. 

Hal ini dijelaskan Allah SWT menerusi firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud:  "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Kuasa (membalas amalan kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat)."  (Surah al-Mulk, ayat 2)

Dari sudut bahasa seperti yang dinyatakan dalam  Mu'jam al-Wasit, perkataan zuhud bererti berpaling daripada sesuatu perkara atau meninggalkan sesuatu perkara yang tidak penting atau menghindari daripada kesusahan atau perkara yang tidak bermanfaat. Secara mudah, dapat difahami maksud zuhud sebagai meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat untuk kehidupan akhirat. 

Sebenarnya tafsiran zuhud yang diberikan ulama Islam sangat luas dan terbuka untuk perbincangan bagi istilah terbabit difahami dengan mudah dan tepat. Sifat zuhud lahir daripada individu Muslim yang memahami bahawa hakikat kehidupan di dunia adalah sementara, namun perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk mendapat kebahagiaan bagi kehidupan akhirat yang kekal abadi. 

Saidina Ali bin Abi Talib berkata: "Zuhud itu adalah jangan terlalu gembira apabila memperoleh keuntungan dan jangan terlalu bersedih apabila memperoleh kerugian." Penjelasan ini membuktikan bahawa orang yang zuhud tidak menolak dunia, malah turut menerima bahagiannya di dunia, namun tidak sekali-kali berasakan bahagian di dunia terbabit adalah segala-galanya. 

Orang yang zuhud masih memanfaatkan bahagiannya di dunia sepertimana yang diingatkan Allah SWT dalam al-Quran:  "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan Hari Akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada para hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan."  (Surah al-Qasas, ayat 77)

Al-Hasan al-Basri menyatakan bahawa zuhud bukan bermakna perlakuan mengharamkan yang halal atau mensia-siakan harta, tetapi zuhud di dunia adalah apabila seseorang lebih mempercayai apa yang ada di sisi Allah SWT berbanding apa yang ada di sisinya. Penjelasan Al-Hasan al-Basri ini menunjukkan bahawa sifat zuhud mempunyai kaitan rapat dengan akidah. Zuhud lahir daripada pemahaman seseorang Muslim mengenai kekuasaan Allah SWT yang Maha Hebat dan kelemahan hamba-Nya yang mempunyai banyak kekurangan.

Sebagai contoh, orang yang memiliki sifat zuhud akan menerima setiap ketentuan yang ditakdirkan kepadanya sebagai sesuatu yang lebih baik daripada sesuatu perkara yang diingini oleh dirinya sendiri. Hal ini bukan bermakna orang yang zuhud hanya menyerah diri kepada takdir yang ditentukan kepadanya. Sifat zuhud lahir selepas segala usaha dan ikhtiar dibuat, namun takdir Allah SWT yang ditentukan kepadanya dilihat sebagai sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang diingininya.

Orang yang diuji oleh Allah SWT dengan penyakit tertentu, di samping berusaha mencari penawar bagi penyakit terbabit, dirinya mempunyai keyakinan bahawa ketentuan yang dihadapinya itu adalah takdir di sisi Allah SWT. Dan takdir terbabit jauh lebih baik daripada nikmat kesihatan yang sebelum ini dimilikinya. Mungkin juga dengan kesihatan yang dimilikinya akan menyebabkan dirinya bergelumang dengan maksiat, sedangkan takdir kesakitan yang ditanggungnya dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Maka dalam hal ini, takdir Allah SWT adalah yang terbaik buat dirinya. Ini antara contoh zuhud yang sepatutnya dimiliki setiap Muslim. 

Justeru, tidak semudahnya mengungkapkan ayat seperti: "Dia seorang yang zuhud" atau "kamu tiada sifat zuhud". Ini kerana sifat zuhud letaknya dalam hati. Mungkin orang boleh melihat kesan sifat zuhud menerusi fizikal luar seseorang, namun hal ini bukan bukti kukuh sama ada seseorang itu memiliki sifat zuhud dalam diri atau sebaliknya. 

Zuhud bukan hanya ada pada individu yang hidupnya serba kekurangan kerana sifat zuhud juga boleh dimiliki oleh individu yang memiliki harta, tetapi beriman bahawa segala yang ditentukan Allah SWT dalam kehidupannya adalah yang terbaik daripada segala yang dimilikinya. Lalu orang yang beriktikad sedemikian akan menggunakan hartanya untuk mencari keredaan Allah SWT. 

Mari kita berusaha untuk memiliki sifat zuhud dalam diri kerana dengan sifat ini, diri akan dikasihi bukan sahaja oleh Allah SWT, tetapi juga sesama manusia. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:  "Zuhudlah terhadap dunia maka kamu akan dikasihi Allah dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia maka kamu akan dikasihi manusia."  (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 5:59 AM