SATU perkara yang dapat menambah perasaan kasih sayang sesama insan ialah dengan memberi hadiah. 
SATU perkara yang dapat menambah perasaan kasih sayang sesama insan ialah dengan memberi hadiah. 
Mohd Shahrizal Nasir

ISLAM adalah agama yang mementingkan hubungan baik sesama insan. Istilah hablum minan nas sering didengari kerana ia menjelaskan kepentingan hubungan baik antara manusia. Tidak ada manusia di atas muka bumi ini yang boleh hidup sendirian tanpa berhubungan dengan orang lain. Begitulah fitrah kehidupan manusia yang saling memerlukan kerana keterbatasan kudrat yang ada. Sehebat manapun seseorang insan, dia tetap bergantung harap kepada orang lain kerana dirinya tidak boleh hidup secara berseorangan. 

Bagi mengeratkan hubungan sesama manusia, Islam menggariskan banyak perkara tentang keperluan menghormati jiran, menolong orang dalam kesusahan, menyebarkan salam, menziarahi orang sakit, mendoakan kebaikan untuk orang lain, mengeratkan silaturahim dan sebagainya. Semua ini adalah antara perkara yang perlu dilakukan bagi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat. Dengan perbuatan baik yang dilakukan terhadap orang lain, maka diri turut akan menerima manfaatnya kerana kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan. Satu lagi perkara yang dapat menambah perasaan kasih sayang sesama insan ialah dengan memberi hadiah. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya:  "Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai."  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ada sebahagian pandangan ulama menyatakan perbuatan memberi hadiah dapat membuatkan manusia saling mencintai lebih daripada perbuatan memberi sedekah. Ini kerana sedekah diberikan kepada orang yang memang memerlukan bantuan, sedangkan hadiah diberikan tanpa sebab yang khusus dan orang yang menerima hadiah tidak dalam keadaan amat memerlukan hadiah tersebut. 

Hadiah diberikan atas kerelaan hati dan tanpa perlu diminta-minta. Perbuatan memberi hadiah juga merupakan satu tanda kesyukuran orang yang memberi atas nikmat kurniaan rezeki yang diterimanya daripada Allah SWT. Sesungguhnya setiap amal kebaikan yang dilakukan oleh Muslim, manfaatnya akan kembali kepada diri orang yang melakukan kebaikan. 

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:  "Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang melakukan kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada para hamba-Nya."  (Surah Fussilat, ayat 46)

Dari sudut yang lain pula, Islam mengharuskan seseorang Muslim menerima hadiah yang diberikan kepadanya. Malah Rasulullah SAW melarang orang daripada tidak menerima hadiah pemberian orang lain. Jika tidak ada sebab yang munasabah, hadiah tidak boleh ditolak apatah lagi sekiranya ia ditolak di depan khalayak ramai kerana ia boleh menjatuhkan air muka orang yang memberi hadiah tersebut. 

Lihatlah dengan mata hati betapa Islam sangat menjaga hubungan sesama manusia sehingga perkara yang melibatkan perbuatan bersifat bukan wajib pun diberi petunjuk agar tidak menimbulkan suasana tidak harmoni dalam hubungan insani. 

Rasulullah SAW berpesan yang mafhumnya:  "Hadirilah undangan dan janganlah kalian menolak pemberian hadiah."  (Hadis riwayat Ahmad)

Baginda SAW menunjukkan contoh teladan yang baik apabila menerima pemberian hadiah dan baginda juga membalas permberian tersebut. Meskipun orang yang memberi hadiah tidak boleh mengharapkan balasan daripada pemberiannya, namun adab yang baik bagi penerima hadiah ialah dengan membalas pemberian tersebut mengikut kemampuannya. 

Saidatina Aishah RA menyatakan bahawa:  "Rasulullah SAW ada menerima hadiah dan baginda juga membalasnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun, pemberian hadiah perlulah menepati garis panduan yang ditetapkan syarak. Terdapat banyak dalil umum yang perlu diambil perhatian tatkala memberi hadiah kepada orang lain. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah sesuatu pemberian itu mestilah dibuat tanpa menjatuhkan air muka orang yang menerimanya. 

Baru-baru ini tular dalam media sosial perbuatan memberi hadiah kepada pasangan pengantin dan hadiah tersebut merupakan barangan yang tidak mencerminkan budaya setempat apatah lagi ia melibatkan benda yang sepatutnya tidak sesuai dijadikan hadiah. 

Tambahan pula pemberian tersebut dibuat untuk tontotan orang ramai sehingga tular secara tidak terkawal. Tidak semua perkara boleh dijadikan modal untuk ketawa dan bahan jenaka. Perkara yang menyentuh maruah peribadi apatah lagi melibatkan hubungan suami dan isteri tidak wajar dibuat mainan dengan alasan untuk suka-suka sahaja. 

Apakah agaknya perasaan anak pasangan tersebut sekiranya satu hari nanti mereka menonton video tersebut melibatkan ibu bapa mereka? Islam melarang umatnya melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan kehormatan orang lain. Perbuatan yang mungkin dianggap perkara kecil, namun apabila melibatkan maruah dan ditonton oleh orang ramai maka ia termasuk sebagai perbuatan yang melampai batas. 

Islam amat melarang perbuatan melampaui batas kerana ia boleh memusnahkan keharmonian dalam kehidupan. Firman Allah SWT yang bermaksud:  "…dan janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas."  (Surah al-Baqarah, ayat 190)

Perkara yang lebih buruk apabila perbuatan yang tidak baik menjadi ikutan orang lain. Jika perbuatan memberi hadiah yang tidak senonoh dibiarkan berlaku, tidak mustahil ia menjadi trend dalam masyarakat. Lebih menyedihkan ialah apabila perbuatan tersebut dilakukan oleh orang Islam yang sepatutnya menunjukkan contoh perbuatan baik kepada orang lain agar diikuti sehingga menyerlahkan keindahan Islam yang sangat menitikberatkan hubungan sesama insan. 

Sepatutnya umat Islam perlu menjalankan kerja dakwah dengan melakukan banyak perkara baik agar diikuti orang lain dan pada masa sama mengelakkan diri daripada menjadi pencipta perbuatan buruk yang kemudian diikuti oleh orang lain. Ingatlah perbuatan baik boleh mendatangkan pahala berganda, manakala perbuatan buruk juga boleh mendatangkan dosa berganda sekiranya ia menjadi ikutan orang lain. 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  "Barang siapa menjadi pelopor sesuatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barang siapa menjadi pelopor sesuatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun."  (Hadis riwayat Muslim)

Marilah sama-sama kita menjaga setiap tingkah laku dengan melakukan perbuatan yang baik serta meninggalkan perbuatan yang buruk. Fikir-fikirkanlah terlebih dahulu kesan daripada perbuatan yang akan dilakukan kerana boleh jadi ia mengundang dosa yang akan merugikan diri di akhirat kelak. Tidak semua perkara boleh sewenangnya dijadikan bahan ketawa kerana ada perbuatan yang boleh menjadi sebab diri sengsara di dalam neraka.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 9:36 AM