PENDAKWAH perlu mengambil kira kemampuan akal manusia yang berbeza-beza agar tidak menjauhkan  mad’u dengan seruan dakwah.
PENDAKWAH perlu mengambil kira kemampuan akal manusia yang berbeza-beza agar tidak menjauhkan mad’u dengan seruan dakwah.
Datuk Mohd Ajib Ismail

PERANAN dan tanggungjawab utama pendakwah adalah untuk menyampaikan keterangan tentang ajaran Islam, menjernihkan kekeliruan, merungkai kekusutan dan menyelamatkan umat manusia daripada kesesatan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud: "(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui." Justeru pendakwah haruslah mewarisi sifat nabi sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abi al-Darda' RA berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak." (Riwayat Abu Daud)Antara persediaan penting yang perlu dimiliki oleh pendakwah ialah ilmu, akhlak dan kebijaksanaan dalam penyampaian. Firman Allah dalam surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud: "Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" Ilmu yang disampaikan kepada masyarakat pula haruslah bersandarkan sumber hukum syarak iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijmak, dan juga qiyas serta manhaj yang sahih berpandukan akidah Ahl al-Sunnah wal Jama'ah yang menjadi aliran arus perdana umat Islam masa kini. Manhaj tersebut mempunyai ciri-ciri ilmiah dalam berinteraksi dengan nas agama serta pendekatan yang sederhana dalam mengimbangi kedudukan wahyu dengan potensi akal manusia dalam menerima sesuatu kebenaran.Pendakwah harus bijak menangani pelbagai isu khilaf atau perbezaan pandangan serta isu furuk atau persoalan cabang dalam kewajiban agama dengan mengikut panduan dan adab yang telah digariskan agar masyarakat tidak keliru dan jemu dengan perbalahan yang berlaku sekali gus menjauhkan masyarakat daripada agama. Perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau dalam penyampaian ilmu hendaklah dielakkan. Selain itu, ilmu yang hendak disampaikan juga perlulah melihat kepada realiti semasa dan keupayaan pemikiran masyarakat agar ia tidak menimbulkan polemik yang berpanjangan. Perkara tersebut bagi mengelakkan fitnah yang boleh mencemarkan kesucian agama dan umat Islam. Pendakwah perlu mengambil kira kemampuan akal manusia yang berbeza-beza agar tidak menjauhkan mad'u dengan seruan dakwah sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Ibnu Mas'ud yang bermaksud: "Tidaklah kamu berbicara kepada sesuatu kaum dengan perbicaraan yang tidak mampu dijangkau akal mereka, kecuali akan terjadi fitnah pada sebahagian mereka." (Riwayat Muslim)Masyarakat awam pula haruslah menjauhkan diri daripada sifat taasub yang boleh menjerumuskan manusia kedalam kesesatan. Pendakwah perlu mengamalkan sifat tawaduk atau merendah diri dengan mengakui kekurangan dan kelemahan yang ada. Sifat tawaduk akan menyuburkan perasaan kasih sayang sesama Muslim sekali gus dapat membantu pendakwah menyatupadukan umat Islam. Medium untuk pendakwah menyampaikan ilmu pada zaman kini lebih luas dan terbuka terutamanya melalui platform media sosial seperti YouTube, TikTok dan pelbagai lagi. Sesiapa sahaja boleh bercakap tentang apa-apa sahaja dan dapat menarik minat dan pengikut tersendiri. Perkara tersebut adalah suatu perkembangan yang baik jika dimanfaatkan dengan sifat tanggungjawab dan amanah terhadap ilmu serta dapat merancakkan program keilmuan dan dakwah apatah lagi kebanyakan khalayak di media sosial adalah golongan remaja dan anak muda. Sebuah kajian baru-baru ini mendedahkah Malaysia berada di tempat ketiga dalam kalangan negara yang mempunyai kadar ketagihan telefon pintar tertinggi di dunia. Perkara tersebut menunjukkan bahawa masyarakat banyak menghabiskan masa dengan penggunaan telefon pintar untuk pelbagai tujuan termasuklah melayari media sosial.Walau bagaimanapun proses menuntut ilmu mestilah dilakukan melalui sistem dan disiplin pengajian yang betul dan tersusun. Oleh itu carilah ilmu dari sumber yang berautoriti melalui institusi pengajian seperti sekolah, kolej, universiti dan pondok atau pengajian ilmu secara bermodul yang dianjurkan di masjid dan surau.Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 43 yang bermaksud: "Dan tidaklah Kami mengutuskan rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad) melainkan daripada kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui."Di dalam sebuah hadis daripada Amru bin al-As, beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu secara sekali gus daripada hamba-hamba-Nya, tetapi mengangkatnya dengan cara mematikan ulama sehingga tidak ada lagi orang alim, orang ramai mengangkat pemimpin yang jahil (menjadi pemimpin mereka). Pemimpin itu ditanya tentang sesuatu isu, lalu mereka mengeluarkan fatwa tanpa berdasarkan ilmu. Mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, tauliah mengajar agama disyaratkan kepada asatizah yang menyampaikan ilmu dan dakwah selain pemantauan dari semasa ke semasa dilaksanakan bagi memastikan kesahihan sumber dan manhaj dalam penyampaian ilmu kepada masyarakat. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga melaksanakan program Multaqa Dai iaitu suatu pertemuan dengan selebriti pendakwah media sosial dengan mengambil kira peranan penting golongan tersebut dalam menyebarkan kefahaman berkaitan Islam serta memperkukuh perpaduan dalam komuniti dan masyarakat. Perkara paling penting yang harus menjadi ingatan buat semua pendakwah dan golongan masyarakat ialah ilmu dan amal seharusnya menjadi elemen yang menyatupadukan bukan memecahbelahkan dan menjadikan masyarakat semakin berpuak-puak serta akhirnya tersasar daripada panduan yang sebenar. Al-Quran melarang umat Islam berpecah-belah serta menyeru agar mereka sentiasa bersatu-padu dan berpegang kepada agama Islam. Selain itu, al-Quran juga mengajar agar memberikan jalan keluar jika timbul sesuatu permasalahan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya yang menyebabkan orang-orang terdahulu binasa adalah kerana banyak pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka." (Riwayat al-Bukhari) Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW yang berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah serta terselamat daripada segala bentuk perpecahan dan perselisihan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 10:37 AM