UMAT Islam sangat dianjurkan untuk menggunakan peluang sambutan Maulidur Rasul untuk mendedahkan pelbagai kebaikan Nabi SAW untuk dicontohi. FOTO Arkib NSTP
UMAT Islam sangat dianjurkan untuk menggunakan peluang sambutan Maulidur Rasul untuk mendedahkan pelbagai kebaikan Nabi SAW untuk dicontohi. FOTO Arkib NSTP
Dr  Mohd Hasrul Shuhari

Umat Islam menyambut Maulidur Rasul beberapa hari lalu pada 12 Rabiul Awal. Antara persoalan yang timbul berkaitan dengan Maulidur Rasul ialah Nabi SAW dan sahabat tidak sambut, kenapa kita sambut? Selain itu, tarikh 12 Rabiul Awal bukan tarikh sebenar bahkan ia tarikh wafat Nabi SAW, maka seolah-olah sambut hari kematian Nabi SAW dan sambut Maulidur Rasul adalah bidaah. 

Terdapat beberapa fatwa di peringkat antarabangsa dan di Malaysia berkenaan dengan Maulidur Rasul. Antaranya, menurut Institusi Fatwa Negara Mesir yang dikenali sebagai Dar al-Ifta' al-Misriyyah, hukum sambutan Maulidur Rasul adalah baik dan tiada larangan di sisi syarak. Meskipun sambutan tersebut tidak pernah dilakukan golongan salaf soleh, ia dianggap amalan yang baik berdasarkan niat baik untuk mengumpul orang soleh, aktiviti berselawat kepada baginda SAW dan memberi makan kepada orang fakir dan miskin. Sambutan tersebut juga tidak dianggap bidaah atau haram kerana bidaah yang diharamkan adalah apabila amalan tersebut bercanggah dengan al-Quran, sunah, athar dan ijmak atau dengan kata lain al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas. Jika ia bercangggah, maka barulah dianggap bidaah dhalalah (sesat).

Di samping itu, Institusi Fatwa Negara Jordan yang dikenali Dairah al-Ifta' al-'Am al-Mamlakah al-Urduniyyah al-Hashimiyyah menyatakan hukum sambutan Maulidur Rasul adalah mustahab (sunat) dan hasanun (baik). Hukum pengharaman dengan hujah Nabi SAW dan sahabat tidak buat (al-tarku) adalah kaedah yang tidak digunakan oleh ulama. Perkara yang tidak dibuat oleh mereka belum tentu hukumnya haram. Maka, tidak boleh menggunakan kaedah pengharaman seperti ini untuk mengharamkan sambutan Maulidur Rasul. 

Fatwa tersebut juga membangkitkan tuduhan sambutan tersebut sebenarnya sambutan tarikh kematian baginda SAW kerana 12 Rabiul Awal juga adalah tarikh kematiannya. Ini dakwaan yang salah kerana tarikh kelahiran dan kematian adalah perkara yang tidak disepakati dalam kalangan ahli sejarah. Pemilihan 12 Rabiul Awal sebagai tarikh kelahiran Nabi SAW adalah berdasarkan pandangan ahli sejarah sendiri. Jika benar tarikh kelahiran dan kematian adalah sama, ia tetap dibenarkan kerana niat sambutan tersebut adalah untuk menyatakan kegembiraan dengan Nabi SAW bukan niat untuk menyambut kematiannya.

Selain itu, Majlis Fatwa Negara Palestin yang dikenali sebagai al-Majlis al-Islami li al-Ifta' menyatakan jumhur (majoriti) ulama memberikan hukum sunat (istihbab) ke atas aktiviti menghidupkan hari kelahiran Nabi SAW dengan amalan berzikir, berselawat, memuji dan syukur asalkan tiada unsur bidaah, khurafat, percampuran lelaki dan wanita dan seumpamanya. 

Fatwa itu  juga menyentuh tentang kaedah yang salah dalam mengharamkan Maulidur Rasul iaitu Rasulullah SAW dan sahabat RA tidak menyambut Maulidur Rasul maka hukumnya adalah haram. Ini kaedah yang salah kerana terdapat kaedah usul sebenar yang sewajarnya digunakan, iaitu 'la yuhtajju bi al-tarki' yang merujuk kepada sesuatu yang tidak dibuat oleh Nabi SAW bukanlah hujah menunjukkan perkara tersebut adalah haram. 

Manakala institusi fatwa di Negara Lubnan yang  dikenali Dar al-Fatwa fi al-Jumhuriyyah al-Lubnaniyyah menyatakan peringatan Maulid Nabi SAW adalah peringatan yang agung. Ia mengandungi makna luhur dalam berkasih sayang, cinta, moral dan nilai-nilai kemanusiaan. 

Di Malaysia juga terdapat fatwa berkaitan Maulid Nabi SAW. Dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 11 Disember 2016 bertajuk Hukum Menyambut Maulid Al-Rasul disimpulkan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah harus dan termasuk dalam bidaah hasanah. Namun, sambutannya mesti mengandungi pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah, tiada percampuran lelaki dan perempuan, menutup aurat dan tiada unsur maksiat.

Di samping itu, terdapat juga fatwa berkenaan larangan membidaahkan sambutan Maulid Nabi SAW. Fatwa tersebut diputuskan antaranya dalam Mesyuarat Jawatankuasa  Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 25 Mei 2012, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 22 April 2015, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang  yang bersidang pada 4 Januari 2016, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman yang bersidang pada 20 Mac 2016, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 31 Mei 2016 dan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang pada 23-24  Mei 2017.

Sebagai contoh, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman, berkenaan Fatwa Mengenai Pembidaahan kepada Amalan-Amalan Ahli Sunnah Waljamaah, dinyatakan terlebih dahulu berkenaan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah yang termaktub  dalam perkara 33A, Undang-undang Tubuh Negeri Kedah Tahun 1959. Fatwa ini memperincikan aliran Ahli Sunnah Waljamaah yang dimaksudkan tersebut iaitu;  (a) Dari segi akidah, berpandukan kepada manhaj Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi; (b) Dari segi syariat, berpandukan kepada mazhab Imam al-Syafie manakala tiga mazhab yang muktabar iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali boleh dirujuk dan digunakan dalam menyelesaikan masalah-masalah tertentu; dan (c) Dari segi tasawuf, hendaklah berpegang dengan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali, manakala aliran tasawuf muktabar yang lain boleh diamalkan selagi ia tidak bertentangan aliran Ahli Sunnah Waljamaah

Menurut fatwa tersebut, ciri-ciri amalan yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) ialah membidaahkan pelbagai amalan dan ajaran ASWJ yang bersifat khilafiyyah (boleh berbeza pandangan). Antara amalan yang dilarang untuk dibidaahkan ialah majlis perarakan Maulidur Rasul, majlis sambutan memperingati Maulidur Rasul, berzanji, burdah dan marhaban dan selawat yang tidak warid dalam majlis Maulidur Rasul. Fatwa yang diwartakan pada 10 November 2016 ini memutuskan, mana-mana orang Islam yang melakukan perkara tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Kedah Darul Aman.

Kesimpulannya fatwa-fatwa antarabangsa dan di Malaysia menyatakan hukum sambutan Maulidur Rasul adalah dibenarkan dan larangan membidaahkannya. Justeru, umat Islam sangat dianjurkan untuk menggunakan peluang sambutan ini untuk mendedahkan pelbagai kebaikan Nabi SAW supaya dicontohi.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 7:05 AM