FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa

SESUNGGUHNYA dominasi dan cengkaman pengaruh tamadun kebendaan Barat terhadap umat Islam yang terhasil daripada dua faktor utama iaitu kolonialisme dan kecemerlangan revolusi industri yang digerakkan oleh pencapaian sains dan teknologi Barat.

Ia menjadi penyebab utama malap dan terketepinya cara hidup dan budaya Islam dalam kehidupan ummah. Islam sebagai satu cara hidup yang syumul menjadi tidak dihayati dalam kehidupan ummah disebabkan indoktrinasi kuasa penjajah dengan nilai tamadun kebendaan Barat di samping mereka sendiri pula silau dengan pencapaian sains dan teknologi yang disogok oleh kuasa Barat.

Fakta terpinggirnya nilai dan gaya hidup Islam dalam penghayatan ummah itu dimanifestasikan dalam catatan seorang sarjana Mesir tersohor abad ke-19 Masihi, Muhammad 'Abduh sekembalinya dari satu lawatan ke Perancis dalam 1888.

Beliau menulis: "Saya pergi ke negara Barat dan melihat (ajaran) Islam di sana, tetapi tidak menemui golongan Muslim; selepas saya kembali ke sebelah Timur, saya temui golongan Muslim, tetapi (ajaran) Islamnya pula tidak ada."

Kemudian, hampir satu setengah abad selepas catatan Muhammad 'Abduh mengenai keadaan umat Islam didapati masih juga tidak banyak berubah apabila satu hasil kajian yang diterbitkan oleh Global Economy Journal dalam tahun 2010 iaitu kajian yang dijalankan oleh dua orang profesor daripada George Washington University, Rehman Scheherazade S dan Hossein Askari melaporkan bahawa masyarakat Muslim umumnya gagal menghayati ajaran agama mereka dalam pelbagai sektor kehidupan bermasyarakat.

Dalam konteks kehidupan, umum mengetahui Islam mengajar bahawa ia terbahagi kepada dua fasa yang berbeza: Dunia dan akhirat, fasa hidup akhirat dijelaskan sebagai memiliki keunggulan berikut antaranya Kehidupan sebenar dan hakiki (Surah al-'Ankabut, 29:64), Kehidupan yang lebih baik (Surah al-Nisa' 4:77; al-A'la, 87:17), Kehidupan yang kekal abadi, sama ada kekal dalam syurga atau kekal dalam neraka' (Surah al-Baqarah, 2:25; al-A'raf, 7:36).

Sedangkan fasa hidup dunia pula dinyatakan sebagai suatu peringkat hidup yang hanya bercirikan kriteria rendah antaranya Kehidupan sementara, tidak kekal' (Surah al-Ra'd, 13:26), Kehidupan berbentuk main-mainan dan senda gurau yang tidak mempunyai nilai hakiki (Surah al-Hadid, 57:20), Kehidupan yang penuh dengan unsur tipu daya yang mempesona (Surah Ali 'Imran, 3:185) dan beberapa ayat lain.

Pada dasarnya konsep hidup seperti di atas bukan sesuatu yang asing kepada pengetahuan umat Islam secara keseluruhan, cuma yang menjadi masalah besar ialah ia tidak diambil cakna dan tidak didekati untuk dijayakan dalam bentuk penghayatan oleh sebahagian besar ummah, sekali gus menggambarkan betapa mendalamnya cengkaman tamadun Barat dalam diri sebahagian besar umat Islam hingga mereka menjadi tidak yakin untuk melepaskan tradisi asing itu untuk diambil alih oleh ajaran agama yang mereka anuti.

Memahami hakikat keseluruhan kehidupan seperti di atas, manusia Muslim tidak ada pilihan lain selain daripada memberi keutamaan kepada fasa hidup akhirat yang lebih unggul.

Gaya hidup sebegini tidak pula bermakna Muslim perlu mengabaikan kehidupan dunia, malahan ia perlu dilaksanakan dalam pendekatan atau falsafah 'menggunakan perolehan dan dapatan dunia untuk kepentingan kehidupan akhirat.'

Inilah sebenarnya istilah yang dikenali dalam tradisi Islam sebagai gaya hidup zuhud iaitu sikap hidup yang mendorong Muslim mengambil peluang hidup di dunia ini untuk mendapatkan pelbagai habuan keduniaan untuk diinfaqkan demi kepentingan hidup akhirat seperti yang ditunjukkan contohnya oleh kalangan sahabat Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, gaya hidup Muslim perlu kepada rombakan dan penstrukturan semula secara menyeluruh supaya selaras dengan tuntutan ajaran Islam yang mengutamakan hidup akhirat.

Oleh itu, satu projek mega yang berbentuk bagaikan satu revolusi mesti dilancarkan di tengah-tengah masyarakat Muslim, seeloknya oleh pihak berkuasa dengan sokongan padu pelbagai institusi penting masyarakat, khususnya pendidikan dan pendakwahan dalam pengertian yang luas membabitkan pelbagai peringkat masyarakat termasuk yang paling utama peringkat keluarga, sekolah, media massa dan pelbagai institusi sosial, politik dan ekonomi.

Penulis adalah Profesor Emeritus Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 9:19 AM