GALAKAN kanak-kanak ke masjid adalah satu tuntutan yang sangat mulia. FOTO Bernama
GALAKAN kanak-kanak ke masjid adalah satu tuntutan yang sangat mulia. FOTO Bernama
Dr Ahmad Sanusi Azmi

NEGARA suatu ketika dahulu pernah digemparkan dengan insiden masjid yang meletakkan penghadang buat kanak-kanak bagi mengawal pergerakan mereka dari mengganggu jemaah yang ingin menunaikan solat. Pelbagai respons yang diterima daripada masyarakat. Ada dalam kalangan mereka yang bersetuju dengan tindakan ini atas alasan bagi mengawal pergerakan kanak-kanak yang dilihat melarikan fokus jemaah yang sedang solat. Ada juga yang tidak bersetuju dengan inisiatif ini. Bagi mereka, kekerasan terhadap anak-anak akan menjauhkan mereka dari masjid sedangkan mereka bakal memimpin negara.

Pada hakikatnya galakan kanak-kanak ke masjid adalah satu tuntutan yang sangat mulia. Mendekatkan mereka dengan masjid adalah sebahagian dari proses pendidikan. Ia bertujuan bagi membiasakan mereka dengan rumah Allah dan menghidupkan rasa cinta dengan masjid. Atas dasar itu dalam hadis yang sahih, Rasulullah mengingatkan bahawa salah satu golongan yang akan diberikan naungan oleh Allah diakhirat kelak adalah lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Hadis ini menjelaskan kepada kita tentang keutamaan mendidik Muslim agar jiwa mereka sentiasa terpaut dengan masjid. Andai seorang kanak-kanak pernah diherdik ketika dia ke masjid, kita bimbang tindakan keras ini akan menjauhkan mereka dengan masjid. Ia jelas bertentangan dan objektif hadis di atas yang berkehendakkan Muslim itu mencintai masjid.

Menyantuni kanak-kanak ke masjid

Perhatikan bagaimana Rasulullah sendiri membawa cucu Baginda ke masjid. Dalam sebuah hadis, seorang sahabat bernama Abu Qatada al-Ansari menceritakan bahawa: Aku melihat Nabi SAW mengimamkan solat dalam keadaan mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk, Baginda meletakkan anak kecil itu dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula." (Sahih Muslim) Hadis ini menunjukkan kepada kita bagaimana Rasulullah sendiri membawa cucu Baginda ke masjid dan menjaganya dengan baik. Kelincahan kanak-kanak tersebut tidak menjadi penghalang buat Baginda untuk mendidik cucunya rapat dengan masjid.

Begitu juga dalam sebuah hadis yang lain, Syaddad ibn Aus menceritakan bagaimana Rasulullah membawa Saidina Hasan dan Husain ke masjid. Ketika menunaikan solat, Rasulullah dikatakan sujud lebih lama dari biasa. Setelah menyelesaikan solat, Rasulullah menjelaskan bahawa ketika sedang solat tadi, cucu Baginda sudah naik di belakang Baginda sehingga menyebabkan Rasulullah sujud lebih lama dari biasa. Perhatikan hadis ini bagaimana Rasulullah menangani kelincahan cucu Baginda tanpa menghalang mereka dari ke masjid.

Pandangan sarjana Muslim

Dari aspek hukum, sarjana Muslim berbeza pandangan tentang keharusan membawa kanak-kanak kecil ke masjid. Sebahagian fuqaha Malikiyyah, Hanabilah dan Syafieyyah berpendapat bahawa kanak-kanak yang belum mumayyiz dilarang atau tidak dibenarkan masuk ke masjid.

Mereka berhujah dengan sebuah hadis yang menyebut: "Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian." Hadis ini walaubagaimanapun dinilai daif. Manakala sebahagian sarjana Muslim yang lain mengharuskan kanak-kanak kecil ke masjid. Pendapat ini dipegang oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Imam al-Syaukani dan lain lain. Mereka berhujahkan hadis di atas yang menunjukkan Baginda membawa cucu Baginda ke masjid. Ketika mengulas hadis Umamah di atas, al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan bahawa hadis ini menjadi dalil tentang keharusan kanak-kanak ke masjid.

Mencari jalan pertengahan

Pada hakikatnya, ibubapalah seharusnya mendidik dan menghidupkan jiwa anak-anak untuk ke masjid. Dalam masa yang sama, ibubapa jualah yang perlu mengawal mereka dari mengganggu jemaah lain yang sedang solat.

Andai sekiranya ibubapa merasakan anak mereka sukar dikawal sehingga mengganggu jemaah lain, maka lebih baik untuk ditinggalkan anak tersebut sehinggalah mereka memahami keperluan dan nilai etika ketika di masjid.

Ini sekali gus mendidik mereka tentang adab dan perilaku yang mesti dipraktikkan.

Apabila mereka sudah tiba masanya, maka bawalah anak-anak ini ke masjid bagi menyemai rasa cinta dan mengerti peranan utama masjid dalam Islam.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 7:05 AM