Fatimah Syarha Mohd Noordin

Banyak contoh tiada persefahaman menjadi antara punca utama perceraian. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam laporan Fifth Malaysian Population and Family Survey 2014 yang dikeluarkan pada Jun 2016 menunjukkan 56.2 peratus punca perceraian kerana tiada persefahaman.

Pertengkaran terjadi bukan kerana terjadinya masalah besar, tetapi masalah kecil yang diungkap dengan cara salah. Bagaimana cara kita menyampaikan perasaan dengan mempertahankan sakinah, mawaddah dan rahmah?

Realitinya, selagi manusia ada akal fikiran, mereka akan tetap berbeza fikiran.

Mengikut kajian LPPKN juga, lebih 1/3 daripada pasangan bercerai pada lima tahun pertama perkahwinan mereka iaitu bersamaan 35.4 peratus.

Apabila mempunyai anak pula, pasti ada perbezaan cara dan pendapat dalam menangani kerenah anak. Akibat kurang pengalaman, ibu bapa tidak ada idea menangani ragam dan tangis anak.

Terdapat juga pasangan suami isteri sependapat dalam menangani kerenah anak. Kedua-dua mereka setuju marah itu tidak baik, apatah lagi sampai merotan dan melempar barang kepada anak.

Namun, tindakan spontan diambil berlainan sekali dengan teori yang disepakati. Hakikatnya, suami dan isteri sangat ingin melaksanakan teori yang baik itu.

Leonard Berkowitz dalam bukunya, Emotion, mengatakan kita cenderung bertindak tidak sesuai dengan keinginan. Kadang-kala kita tidak mahu marah tetapi ia berlaku secara spontan.

Selain itu, ia disebabkan pengalaman hidup yang pernah dilalui. Contohnya, suami mungkin sering dikasari ketika kecil seperti dirotan, mulut dicili, dimarahi, diikat di pagar dan dibelasah.

Dalam situasai anak meraung sambil berlari ketatakutan, isteri spontan melindungi anak sambil meleteri sikap suami yang dirasakan keterlaluan. Psikologi komunikasi menjelaskan pengalaman primordial mempengaruhi perilaku komunikasi seseorang.

Jika dalam situasi itu sama ada spontan membentak atau melindungi anak. Seseorang biasanya spontan menggunakan pengalaman primordial apabila menghadapi situasi lebih kurang sama dengan situasi yang dihadapinya.

Lebih-lebih lagi ketika kita berasa panik, stres dan tidak tahu apa lagi yang hendak dilakukan. Justeru, fikirkan kata-kata paling membina, bukan menjatuhkan sesiapa atau dalam kalangan pasangan atau anak.

Memarahi pasangan di hadapan anak boleh menjatuhkan rasa hormat anak kepada pasangan, bahkan kepada diri sendiri. Biarkan anak melihat ibu bapanya saling memahami dan memaafkan.

Niat yang baik dan kredibiliti sangat penting dalam komunikasi. Anak selalunya sangat berpegang kepada kata-kata gurunya. Walaupun anak tersalah dengar cakap cikgu dan apabila ibu bapa cuba memperbetulkannya, dia masih tetap mempercayai apa yang dia pegang kerana baginya itu datang daripada insan berkredibiliti.

Usah kita menjatuhkan kredibiliti sesiapa di hadapan anak. Boleh jadi kita berasa betul dan berhak marah, namun simpan sangkaan itu kerana ia boleh jadi orang yang kita marahi itu betul.

Sekalipun kita betul, kebenaran yang disampaikan dengan cara dan waktu yang tidak tepat boleh menyebabkan kesalahan menjadi lebih dahsyat.

Abu Zar pernah memanggil Bilal dengan panggilan, “Hey, anak budak hitam!”

Memang benar kata-kata itu tetapi adakah tepat cara dan waktu ia disampaikan? Penghinaan itu didengari Bilal sehingga beliau mengadu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW berkata kepada Abu Zar: “Masih ada jahiliah dalam dirimu.”

Abu Zar dengan rasa bersalah menunjukkan penyesalannya di hadapan Bilal. Indah sungguh peribadi Abu Zar yang berani mengakui kesalahan diri.

Jika kita memarahi anak secara spontan, segera minta maaf kepadanya dan biar anak belajar mencontohi akhlak yang indah.

Begitu juga sikap kita terhadap pasangan yang sedang membentak anak.

Cukuplah anak berasa dirinya sentiasa ada tempat untuk mendapat rasa aman dan dilindungi (safety and security).

Prinsip kita tetap satu, berpihak pada kebenaran tidak kiralah daripada siapa pun ia datang.

Oleh sebab itu, anak berhak dijaga kepercayaan dasarnya bahawa di sekelilingnya aman dan tidak berbahaya. Beritahu kepada anak, ibu atau ayah buat begitu kerana sayang.

Jelaskan kesalahannya secara spesifik, bukan melabelnya sebagai nakal. Pujilah al-Quran yang sentiasa mengawal manusia supaya tidak bersikap keterlaluan.

Biar anak berasa sangat selamat hidup berpandukan al-Quran.

Antara sikap indah yang diajar dalam al-Quran ialah dalam akronim berikut: ‘I CUT APPLE A.’

Ikhlas

“Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku kerana Allah, Rab sekalian alam.”

Caring (mengambil berat)

“Berlaku baiklah sebagaimana Allah berlaku baik kepadamu.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

l

Understanding (memahami)

“Janganlah lupakan kebaikan di antara kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 237)

l

Trusting (mempercayai)

“Mengapalah orang mukmin dan mukminat tidak bersangka baik dengan diri mereka sendiri (sesama mukmin ibarat satu jasad) ketika kamu mendengar berita bohong itu.” (Surah al-Nur, ayat 12)

l

Accepting (menerima seadanya)

“Dan bergaulah dengan mereka secara makruf (baik-baik). Maka jika kamu membenci mereka, (maka bersabarlah) kerana boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah al-Nisa’, ayat 19)

l

Positive thinking (berfikiran positif)

“Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (keburukan itu) dengan cara yang baik. Maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap kamu akan menjadi seperti sahabat karib.” (Surah Fussilat, ayat 34)

l

Patience (sabar)

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu serta tetaplah bersiapsiaga (di perbatasan negerimu) di samping bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Surah Ali Imran, ayat 200)

l

Listening (mendengar)

“Berpesan-pesanlah dengan kesabaran. Berpesan-pesanlah dengan kasih sayang.” (Surah al-Balad, ayat 17)

l

Empathy (empati)

“Telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu dan amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang mukmin.” (Surah Al-Taubah, ayat 128)

l

Assertive (tegas diri)

“Bagimu cara hidupmu, bagiku cara hidupku.” (Surah al-Kafirun, ayat 6)

Masukkan sikap itu sebagai bekalan hati dan minda supaya ia menjadi perisai yang akan mengawal cara kita saat kemarahan meledak.

Biar kita tidak lagi melepaskan kemarahan mengikut nafsu dan terikut-ikut pengalaman terdahulu, sebaliknya berpandu kaedah daripada wahyu.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 5:00 AM