FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

NABI Muhammad yang diutuskan sebagai Rasul adalah seorang pemimpin ‘Rahmatan lil ‘alaimin’. Baginda mempamerkan rasa kasih sayang kepada semua makhluk termasuk manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.

Baginda mempamerkan sifat kasih sayangnya tidak kira sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam yang menolak dakwahnya. Sifatnya itu yang menjadikan Rasulullah sangat dicintai umatnya.

Begitu juga dengan musuhnya yang merinduinya selepas kewafatan baginda. Walaupun Rasulullah seorang pemimpin yang tegas, tetapi dirinya tetap di dominasi dengan sifat kasih sayang.

Ketinggian akhlak dan sifat kasih sayangnya banyak memberi inspirasi kepada pemimpin besar. Seluruh keperibadian dan sifatnya adalah cerminan yang wujud dalam al-Quran.

Setiap kata-kata dan tindakan baginda akan menjadi ikutan sahabat di zamannya. Perakuan dan penjelasan mengenai nabi berakhlak dengan akhlak al-Quran itu pernah diungkapkan Saidatina ‘Aisyah.

Berikut beberapa hadis sahih yang merakamkan beberapa peristiwa menunjukkan betapa kasih sayangnya nabi ke atas manusia dan bagaimana tindak balasnya.

Dari Anas bin Malik, beliau berkata: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid.

Sahabat Rasulullah menggertaknya, tetapi Rasulullah bersabda: “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.”

Maka, mereka (sahabat) membiarkan orang Arab Badwi itu sehingga dia selesai kencing. Selepas itu, Rasulullah memanggil lelaki berkenaan dan menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk berzikir, solat dan membaca al-Quran.”

Selepas itu, Nabi memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.

Kemudian, dalam hadis berikutnya, Anas bin Malik berkata: “Dahulu ada seorang anak Yahudi sentiasa melayani (membantu) Nabi, kemudian dia sakit.

Maka, Nabi mendatanginya untuk menjenguknya, lalu baginda duduk di dekat kepalanya, kemudian berkata, “Masuk Islamlah!” Maka anak Yahudi itu melihat ke arah ayahnya yang ada didekatinya, maka ayahnya berkata, ‘Taatilah Abul Qasim (Nabi SAW).”

Maka, anak itu pun masuk Islam. Lalu Nabi keluar seraya bersabda, “Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya dari neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Selain itu, Abdullah bin ‘Amr berkata, bahawasanya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membunuh seorang kafir Mu’ahad tidak akan mencium aroma syurga, padahal aroma syurga sungguh didapatkan dari jarak sejauh empat puluh tahun perjalanan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dari Abu Hurairah, beliau berkata, dikatakan kepada Nabi, “Wahai Rasulullah! Doakanlah keburukan (laknatlah) atas kaum musyrikin.”

Nabi menjawab, “Sesungguhnya aku diutus bukan sebagai pelaknat, namun aku diutus sebagai rahmat (pembawa kasih sayang).” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Jabir bin ‘Abdillah, bahawasanya para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, panah-panah Bani Tsaqif menyerang kami, doakanlah keburukan atas mereka.”

Maka, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Ya Allah berilah hidayah kepada Bani Tsaqif.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi dengan sanad sahih)

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 1:32 AM