FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Suriany Awaludin

SEKIRANYA suami melafazkan dengan jelas talak terhadap isterinya, adakah pasangan suami isteri itu masih boleh tinggal sebumbung?

Jika tidak boleh, adakah kelonggaran untuk pasangan tinggal dalam bilik berasingan dan tempoh itu boleh digunakan untuk bertenang dan rujuk semula?/b>

Samad, Cheras

APABILA gugurnya talak ke atas isteri, berkuat kuasa tempoh edah sama ada perceraian itu secara talak raji’e atau talak bain.

Edah wajib dilalui kerana ia antara ketetapan yang diperintahkan Allah SWT. Firman Allah dalam Surah at-Talaq ayat 1, bermaksud: “Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan edahnya, dan hitunglah masa edah itu (dengan betul), serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai edahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).

Menjalani tempoh edah disertai dengan ketetapan atau kewajipan lain. Misalnya, nafkah isteri dan tempat tinggal isteri. Suami wajib mengadakan kedua-dua nafkah itu melainkan dihalalkan oleh isteri mereka.

Melalui firman Allah dalam surah at-Talaq, ayat 6 yang bermaksud: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani edahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.

Melihat kepada persoalan pembaca, tindakan suami menempatkan isteri menjalani tempoh edah di rumah perkahwinan mereka adalah tepat dan memenuhi kehendak hukum syarak dan undang-undang.

Selain penyediaan tempat tinggal, suami perlu menyediakan nafkah untuk isteri selama edah berkenaan. Tujuan dan hikmah pensyariatan edah kepada wanita Islam antaranya sebagai ruang suami dan isteri untuk berfikir dan menilai semula tindakan dan kesilapan yang dilakukan termasuk kesan perceraian yang berlaku.

Di samping itu, ia dapat memberi peluang kepada suami kembali rujuk kepada isterinya. Dalam mencapai maksud atau hikmah edah khususnya bagi memberi ruang suami merujuk isterinya, berdasarkan pandangan Mazhab Syafie, suami tidak boleh sama sekali tinggal bersama isterinya dalam tempoh edah melainkan isteri tinggal bersama mahram seperti ibu bapa atau adik-beradiknya.

Jika suami tetap berterusan tinggal bersama isteri dalam keadaan tanpa mahram lain, dibimbangi berlakunya perkara yang tidak mematuhi hukum syarak seperti berkhalwat.

Hubungan suami isteri menjadi haram kerana gugurnya talak dan isteri menjadi wanita ajnabi yang perlu memelihara auratnya di hadapan bekas suami berkenaan.

Sekiranya terdapat mahram di dalam rumah, harus bagi suami masuk atau tinggal bersama di dalam bilik yang berasingan atau rumah bertingkat.

Tindakan untuk tinggal bersama bekas isteri juga boleh didakwa di atas kesalahan berkhalwat selagi suami tidak rujuk atau tidak berniat langsung untuk rujuk.

Sehubungan itu, terdapat beberapa kaedah lain yang boleh dilakukan suami atau isteri bagi menilai semula perceraian yang berlaku dan memikirkan hasrat untuk rujuk kembali sepanjang tempoh iddah berlangsung.

Tegahan dan halangan di sisi syarak hendaklah diambil perhatian dan tidak sama sekali dilanggar demi memenuhi kehendak sendiri.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 2:59 AM