FOTO hiasan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
FOTO hiasan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Qira’ah Fatwa

Timbul satu persoalah bolehkah bayi yang baru lahir tidak dibenarkan untuk dipertontonkan kepada umum seperti di Facebook.

Larangan sedemikian mungkin disebabkan bimbang bayi berkenaan terkena penyakit ‘ain. Sebelum menjelaskan lebih lanjut akan hal itu, perlu difahami mengenai definisi penyakit ‘ain.

‘Ain ialah sejenis penyakit disebabkan pandangan mata.

Orang dengki dan jahat, dengan sebab pandangan matanya saja sudah cukup untuk mengenakan orang yang dipandangnya dengan sesuatu penyakit.

Pandangan yang disebabkan kagum dan teruja dan disertai dengan sedikit sifat cemburu juga boleh menyebabkan terkena penyakit ‘ain mengikut Ibn Hajar al-‘Asqalani. (Lihat Fath al-Bari, 10/200)

Sebagaimana yang berlaku kepada Sahl bin Hunaif yang terkena ‘ain setelah dipandang oleh Amir bin Rabi’ah.

Dalam sebuah hadis, daripada Amrah daripada ‘Aisyah RA berkata: “Pada suatu ketika Nabi SAW masuk rumah. Tiba-tiba Baginda mendengar anak kecil menangis, lalu Baginda berkata yang bermaksud: “Kenapa anak kecilmu ini menangis? Tidakkah kamu mencari orang yang boleh mengubatinya daripada penyakit ‘ain?” (Riwayat Ahmad, no 24442)

Terdapat juga sebuah hadis lain mengenai hal itu antaranya yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengarahkannya (iaitu Aisyah) untuk mengubati dirinya daripada penyakit ‘ain.” (Riwayat Muslim, no 2195)

Menurut Ibn al-Qayyim: “Jiwa orang yang menjadi penyebab ‘ain boleh menimbulkan ‘ain tanpa hanya dengan penglihatan.

Bahkan kadangkala ada orang buta, kemudian diceritakan mengenai sesuatu kepadanya lalu jiwanya boleh menimbulkan ‘ain walaupun dia tidak melihat sesuatu itu. Ada banyak penyebab yang boleh menyebabkan terjadinya ‘ain, hanya dengan cerita tanpa melihat.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 4/149)

Ini bermakna, ‘ain boleh berlaku hanya dengan perasaan tanpa melihat seperti melalui televisyen dan gambar.

Hakikatnya tidak ada larangan secara khusus untuk memuat naik foto bayi di dalam media sosial atau dipertontonkan kerana dibimbangi terkena penyakit ‘ain.

Ini kerana penyakit ‘ain boleh berlaku kepada sesiapa saja dan pada bila-bila masa secara berdepan atau melalui gambar.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa perlu mengambil serius beberapa hal berikut:

1. Bagi mereka yang mungkin boleh memberi penyakit ‘ain kepada orang lain, seeloknya mendoakan keberkatan (ucap Barakallahu fik atau tabarakallah) kepada seseorang yang dikaguminya apabila melihat.

Ini adalah berdasarkan saranan Nabi SAW dalam hadis Abu Umamah. (Riwayat Ibn Majah, no 3509)

2. Bagi mengelakkan dan melindungi bayi terkena penyakit ‘ain, bacalah doa yang dibacakan oleh Nabi SAW kepada dua cucunya, Hassan dan Hussain yang bermaksud: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada godaan syaitan, binatang berbisa dan daripada pandangan mata yang bersifat dengki.” (Riwayat al-Bukhari, no 3371)

3. Tidak melakukan sesuatu yang syirik dan khurafat bagi mengelakkan terkena ‘ain seperti meletakkan gunting dan memakaikan tangkal kepada bayi.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 11:48 AM