ROSLINDA antara generasi pelopor dunia penstriman permainan, jadi penggerak utama pasukan eSport bertaraf profesional.
ROSLINDA antara generasi pelopor dunia penstriman permainan, jadi penggerak utama pasukan eSport bertaraf profesional.
Muhammad Saufi Hassan


Siapa sangka seorang wanita yang bergelar ibu tunggal mampu untuk menjadi penggerak utama sebuah pasukan sukan elektronik (eSport) bertaraf profesional.

Pastinya kejayaan itu tidak pernah datang bergolek dan memerlukan usaha keras, komitmen selain dari pelbagai halangan yang terpaksa ditempuh sehingga mencapai tahap profesional.

Wanita itu juga berjaya membangunkan pasukan eSport miliknya yang dikenali sebagai MRE atau nama 'Miss Rose Esport' dan boleh dikatakan semua peminat permainan mudah alih pasti mengenali 'Miss Rose.'

Miss Rose atau nama sebenarnya Roslinda Embran berkata, dia sendiri tidak menyangka pasukannya mampu berjaya ke tahap ini.

Roslinda yang mula dikenali sebagai pemain PUBG Mobile beberapa tahun lalu sangat popular di platform penstriman media sosial.

"Ketika itu, tidak ramai wanita atau perempuan yang berkecimpung dalam dunia penstriman permainan, saya antara generasi pelopor dan ketika itu, terlalu banyak persepsi yang timbul.

"Sebagai wanita, sudah pasti komen atau gurauan berbaur lucah itu menjadi normalisasi. Pada peringkat awal, saya sering abaikan saja cuma ada beberapa keadaan apabila komen itu terlalu melampau, saya akan sekat pemilik akaun media sosial berkenaan.

"Komen mereka yang disekat ini terlalu negatif, terlalu lucah, malah jijik untuk difikirkan dan saya perlu bertindak dan pernah membuat laporan polis akibat komen yang terlalu melampau.

"Cuma setakat ini belum sampai tahap saya mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya.

PASUKAN Miss Rose meraih tempat kedua dalam satu kejohanan dan bakal mewakili Pulau Pinang untuk Sukan Malaysia (Sukma).
PASUKAN Miss Rose meraih tempat kedua dalam satu kejohanan dan bakal mewakili Pulau Pinang untuk Sukan Malaysia (Sukma).

Katanya, penstriman wanita sering berdepan isu berkenaan, ada dalam kalangan mereka yang berputus asa kerana kecaman yang terlalu teruk, namun baginya, ia pembakar semangat.

Untuk rekod, kejayaan pasukan eSport itu mengukir nama di pentas profesional apabila layak masuk ke 'PUBG Mobile Pro League' pada musim pertama.

Menceritakan lanjut pembabitan awalnya dalam pentas eSport, Roslinda berkata, pada peringkat awal hanya bermain PUBG secara suka-suka dengan kawan-kawan atau orang sekeliling, kemudian berubah kepada penstriman permainan menerusi platform Facebook Gaming Live.

"Bertitik tolak di Facebook Gaming Live, ketika itu 'streamer' wanita tidak ramai, jadi saya antara pelopor dan mendapat jumlah pengikut yang agak ramai.

"Jika namanya wanita atau perempuan, apabila kita lakukan penstriman sudah pasti ada cabaran tertentu khususnya saya yang bergelar ibu tunggal, masa untuk anak-anak dan masa untuk keluarga.

"Pada tahap ini, pembahagian masa sangat penting supaya semua kerja kita selesaikan pada waktu ditetapkan," katanya.

Menurutnya, sebelum kejayaan, pastinya banyak halangan serta dugaan, namun tidak cepat melatah dengan kata-kata mereka bahkan ia menjadi pembakar semangat.

Katanya, selepas melalui fasa penuh dugaan serta cabaran berkenaan, kejayaan pasti akan lebih manis khususnya apabila pasukan yang diasaskan sendiri berjaya layak ke liga profesional.

Beliau berkata, itu antara pengalaman yang paling manis buatnya iaitu mempunyai pasukan yang bertanding di liga profesional serta bersaing dengan pasukan yang lebih 'veteran' daripada MRE eSport seliaannya.

"Sehingga hari ini, MRE masih ada dan masih menyertai pertandingan yang diadakan di sekitar Semenanjung dan kami juga mengintai peluang untuk pergi ke tahap lebih tinggi khususnya di peringkat antarabangsa.

"Insya-Allah, jika ada kesempatan dan tenaga baharu, mungkin kami akan berjaya lolos ke peringkat lebih tinggi, namun ini semua memerlukan pengorbanan, latihan dan bakat baharu," katanya.

Katanya, tiada siapa menyangka bahawa penyedia kandungan permainan ini mampu 'hidup', namun apa yang penting adalah tugas setiap pihak menyebarkan mesej positif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:01 AM