PASUKAN Gank Yoodo antara lima pasukan yang bakal mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam sukan elektronik.
PASUKAN Gank Yoodo antara lima pasukan yang bakal mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam sukan elektronik.
Muhammad Saufi Hassan


KUALA LUMPUR: Siapa sangka hobi bermain permainan mudah alih menggunakan telefon bimbit mampu meraih pendapatan sehingga lima angka sebulan setaraf eksekutif syarikat korporat.

Malah, ada dalam kalangan pemain bertaraf profesional terbabit sudah bergelar jutawan hasil penajaan beberapa syarikat termasuk menerusi promosi produk.

Jika dulu, kelompok kaki games ini sering dilabel sebagai buang masa dan melakukan kerja tidak berfaedah, namun tanggapan itu sudah beralih arah apabila mereka memiliki kerjaya masa depan lumayan hasilnya, iaitu atlit sukan elektronik.

Empat anak muda ini membuktikan ada masa depan cemerlang dengan bergelar pemain PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) Mobile profesional sehingga menjuarai beberapa pertandingan peringkat kebangsaan.

Bukan itu saja, mereka juga pernah menjuarai Kejohanan Kebangsaan PUBG Mobile (PMNC) 2018 dan terkini, empat anak muda itu yang mewakili pasukan ‘Yoodo Gank’ antara lima pasukan bakal mewakili Malaysia dan menjalani latihan intensif di Shanghai, China selama lima minggu termasuk mengambil bahagian dalam pertandingan.

Mereka membabitkan Abdul Azim Ikromi, 20, yang mempunyai kelebihan dalam permainan PUBG sebagai penembak tepat, Aiman Amirul Mohd Sahid (kapten pasukan), 22, Mohammad Hafizi Baharudin (penggempur), 23, dan Muhammad Hazim Abd Hamid (sayap - flanker), 25.

Menurut Aiman Amirul, minat mereka dalam bidang permainan sukan elektronik itu wujud sejak di bangku sekolah, malah sama sekali tidak menyangka akan bergelar pemain profesional.

“Sebelum ini, memang ada persepsi tertentu terutamanya membabitkan keluarga. Ada dalam kalangan keluarga yang beranggapan bahawa hobi bermain permainan video sebagai buang masa dan tidak mendatangkan apa-apa faedah.

“Alhamdulillah, hari ini kami berjaya membuktikan bahawa cakap-cakap itu hanya persepsi semata-mata dan kini kami sudah ada profesion sendiri serta mampu meraih pendapatan setaraf gaji eksekutif dalam syarikat korporat.

“Ini adalah sebahagian daripada profesion masa depan, sebelum ini masyarakat tidak pernah terfikir akan wujud bentuk kerjaya sebagai gamers,” katanya.

Tanpa mendedahkan angka sebenar pendapatan mereka, Aiman Amirul menyifatkan bahawa kehidupan mereka kini boleh dikategorikan dalam tahap selesa sama seperti individu yang memiliki kerjaya lain walaupun dalam usia muda.

Ditanya berhubung perancangan masa depan pasukan itu, katanya, pasukannya akan menjalani latihan intensif di Shanghai selama lima minggu.

Menurutnya, lima pasukan layak untuk mewakili negara dalam latihan berkenaan dan Gank Yoodo diketuainya antara lima pasukan terbaik di negara ini.

“Alhamdulillah, kami layak. Walaupun pada peringkat kelayakan, saingan sangat sengit, namun hasil strategi, kerjasama, persefahaman dan sokongan keluarga, kami sudah melepasi tahap itu dan membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Biarpun sukan elektronik di negara ini masih belum berkembang luas, namun kami tetap bangga kerana kami antara pelopor awal segmen ini,” katanya.

Aiman Amirul dan pasukannya turut mengharapkan perkembangan sukan elektronik di negara ini diteruskan dengan hala tuju yang lebih jelas bagi memberi laluan kepada bakat muda untuk mengharumkan nama negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 6:00 AM