WANITA tertekan kerana mempunyai tanggungjawab berbeza yang perlu digalas.
WANITA tertekan kerana mempunyai tanggungjawab berbeza yang perlu digalas.
Muhamaad Razis Ismail


KAJIAN mendapati wanita yang bekerjaya antara golongan yang berisiko mengalami masalah mental akibat tekanan yang dihadapi.

Apa tidaknya, wanita terutama yang mempunyai suami dan anak mempunyai tanggungjawab berbeza yang perlu digalas sama ada di rumah mahupun di tempat kerja.

Di pejabat, dia perlu menjadi pekerja dan memenuhi tuntutan kerja diberikan majikan. Apabila pulang ke rumah, wanita perlu menjadi isteri dan ibu menguruskan pelbagai

kerja rumah.

Situasi ini sudah pasti memberi kesan terhadap fizikal dan mental sekiranya tidak dapat menguruskan tekanan dengan baik.

Apabila keadaan ini berlaku, ia secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental wanita serta menjadi pencetus kepada konflik rumah tangga.

Ada beberapa panduan boleh digunakan untuk menguruskan tekanan yang dihadapi wanita.

1. Bincang dan luahkan dengan suami

Meluahkan tekanan yang dihadapi kepada individu yang terdekat termasuk suami bukan sahaja membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung, malah dapat membantu mencari jalan penyelesaian terbaik. Luahan si isteri dapat memberi kesedaran kepada suami untuk bersama-sama membantu menguruskan keluarga.

2. Sentiasa senyum

Sebenarnya tidak mudah untuk senyum apabila berada dalam tekanan. Namun, kajian mendapati dalam menguruskan tekanan, melalui senyuman mampu merembeskan hormon gembira seperti oksitosin, endorfin dan serotonin tanpa disedari.

SENAMAN turut memberi manfaat terhadap kesihatan mental.
SENAMAN turut memberi manfaat terhadap kesihatan mental.

3. Bersenam

Selain menyihatkan badan, ramai yang meredakan tekanan dihadapi melalui senaman. Senaman dapat merembeskan hormon gembira endorfin, sekali gus dapat melupakan tekanan. Malah, kajian membuktikan bahawa individu yang aktif secara fizikal mempunyai kadar tekanan dan kemurungan lebih rendah berbanding individu tidak aktif.

Oleh itu, wanita yang berdepan tekanan boleh mengambil sedikit masa melakukan senaman ringan untuk mengurangkan tekanan.

4. Pengambilan makanan seimbang

Pengambilan diet seimbang dapat memastikan fizikal dan mental sentiasa dalam keadaan baik. Diet seimbang bukan sahaja membekalkan nutrien dan tenaga diperlukan badan, malah dapat menangani stres. Antaranya adalah melalui sumber ikan yang tinggi dengan Omega 3 untuk membantu menstabilkan stres (hormon kortisol).

5. Dapatkan tidur mencukupi dan berkualiti

Tidur adalah waktu untuk badan berehat dan memulihkan tenaga. Dapatkan tidur mencukupi kerana anda menjalani proses rejuvenasi badan untuk kekal segar pada keesokan hari.

DAPATKAN bantuan khidmat profesional.
DAPATKAN bantuan khidmat profesional.

6. Dapatkan bantuan khidmat profesional

Wanita yang berdepan tekanan perlu mendapatkan bantuan profesional untuk mengelakkan masalah mental menjadi lebih serius. Melalui pemeriksaan awal, pakar perubatan akan mengetahui masalah kesihatan dihadapi dan memberikan rawatan bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 6:08 AM