SEMANGKUK kecil Yee Sang seberat 120 gram (g) mengandungi sebanyak 180 kalori (kcal).
SEMANGKUK kecil Yee Sang seberat 120 gram (g) mengandungi sebanyak 180 kalori (kcal).
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TIDAK kira apa perayaan sekalipun, sambutan pasti kurang lengkap tanpa menikmati hidangan enak bersama seisi keluarga.

Ia termasuk sambutan Tahun Baharu Cina yang sinonim dengan jamuan 'makan besar' bersama seisi keluarga.

Bukan hanya dikatakan membawa tuah tetapi tradisi itu juga kaya dengan nilai simboliknya.

Hidangan seperti ikan, udang, ayam, mee, limau mandarin serta kuih bakul antara sajian wajib ketika jamuan makan besar.

Biarpun enak, namun orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada mengenai apa yang dimakan kerana juadah perayaan kebanyakannya mempunyai kandungan kalori yang tinggi.

Menurut Pakar Dietetik Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Gan Yian Kee, semangkuk kecil hidangan Yee Sang seberat 120 gram (g) misalnya mengandungi sebanyak 180 kalori (kcal).

Meskipun dianggap hanya sedikit namun untuk membakar semua kalori itu, anda perlu berjoging selama 16 minit, berbasikal selama 22 minit atau berjalan selama 55 minit.

Kata Yian Kee, pengambilan sekeping Nian Gao (kuih bakul) seberat 50g pula boleh menyumbang kira-kira 220kcal kepada badan.

Katanya, untuk membakar kalori berkenaan, seseorang itu perlu berjoging selama 20 minit, berbasikal (30 minit) atau berjalan selama satu jam 10 minit.

"Menikmati sekeping ayam (Bak Kwa) seberat 90g pula mengandungi sebanyak 339kcal dan memerlukan anda berjoging selama 30 minit untuk membakar kalori yang diambil.

"Bagi hidangan ringan lain seperti tart nenas (empat biji), ia dikatakan mengandungi 140kcal dan memerlukan 17 minit berbasikal untuk membakar kalorinya.

"Sebiji limau mandarin seberat 100g pula mengandungi 50kcal dan anda perlu berjalan selama 15 minit atau berbasikal selama tujuh minit untuk membakar semua kalori yang diambil," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi tip pemakanan sihat ketika musim perayaan ini, Yian Kee berkata, orang ramai boleh menikmati hidangan kegemaran masing-masing namun ia haruslah dalam saiz dan kuantiti yang kecil sahaja.

Kata Yian Kee, konsep pengambilan makanan seimbang 'Suku Suku Separuh' seperti yang disarankan dalam program Pinggan Sihat Malaysia juga diamalkan.

Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk 'mewarnai' hidangan makanan dan sebaiknya lebihkan buah-buahan serta sayur-sayuran.

Katanya, golongan ibu juga menyediakan makanan secara kreatif dengan menggunakan rempah semula jadi atau herba untuk menggantikan penggunaan garam, gula serta sos.

"Ketika makan pula, boleh gunakan piring atau pinggan yang kecil bagi mengelakkan pengambilan makanan berlebihan.

"Minuman manis juga boleh digantikan dengan air kosong dan nikmati makanan atau kunyah dengan perlahan-lahan.

"Paling penting, jangan lupa untuk melakukan aktiviti fizikal atau bersenam kerana ia adalah cara terbaik bagi membakar kalori makanan yang dimakan," katanya.

Info pemakanan:

Bahulu 3 biji (25g) = 100kcal

Untuk membakar 100kcal, anda perlu:

Berjoging = 10 minit

Berbasikal = 15 minit

Berjalan = 30 minit

Kuih kacang 4 biji ( 40g) = 200kcal

Untuk membakar 200kcal, anda perlu:

Berjoging = 20 minit

Berbasikal = 25 minit

Berjalan = 1 jam

Kuih Loyang 3 keping (40g) = 150kcal

Untuk membakar 150kcal, anda perlu:

Berjoging = 16 minit

Berbasikal = 18 minit

Berjalan = 45 minit

Kacang Tanah (panggang) 1 mangkuk kecil (30g) = 170kcal

Untuk membakar 170kcal, anda perlu:

Berjoging = 15 minit

Berbasikal = 20 minit

Berjalan = 50 minit

Keropok udang 3 keping besar (60g) = 250kcal

Untuk membakar 250kcal, anda perlu:

Berjoging = 23 minit

Berbasikal = 30 minit

Berjalan = 1 jam 15 minit

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 7:00 AM