Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Dengan hanya menonton beberapa video di laman sosial, ada pihak yang berasakan diri mereka sudah 'menjadi' doktor gigi dan berani menawarkan perkhidmatan pergigian tanpa kebenaran.

Perkhidmatan pergigian yang ditawarkan pula beroperasi di tempat 'pelik' sama ada di pasar malam atau pasar pagi, salun kecantikan, bilik sementara di hotel atau kunjungan ke rumah.

Namun apa yang menghairankan, masih ramai yang terpedaya dengan tawaran rawatan pergigian haram itu dan sanggup memperjudikan nyawa serta kesihatan sendiri.

Isu doktor gigi haram sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya dan semakin banyak aduan mengenainya diterima Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada 2017 sahaja, KKM menerima 54 laporan dan meningkat ke 130 aduan pada 2019.

Dekan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Profesor Seow Liang Lin berkata, rawatan pergigian yang diberikan pihak yang tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan bukan pemegang Sijil Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) atau Sijil Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) yang sah untuk memberikan rawatan pergigian di Malaysia, adalah dianggap sebagai haram.

Kata beliau, ada yang melakukan rawatan gigi haram dengan membuka gerai di pasar malam atau pasar pagi dan menyasarkan pengunjung usia pertengahan serta yang lebih berusia untuk perkhidmatan menggantikan gigi patah.

Malah, ada juga yang beroperasi di salun kecantikan dan menawarkan perkhidmatan estetik seperti pemutihan gigi dan venir untuk menarik perhatian golongan muda.

"Walaupun prosedur berkenaan nampak ringkas dan biasa, namun tidak sepatutnya seorang pendandan kecantikan diberikan kepercayaan untuk menjalankan prosedur pergigian.

"Selain itu, ada juga golongan yang menguar-uarkan perkhidmatan mereka di media sosial dan mempunyai 'klinik' sementara di bilik hotel atau perkhidmatan dari rumah ke rumah.

JANGAN ambil risiko mendapatkan rawatan pergigian daripada ‘doktor gigi haram’.
JANGAN ambil risiko mendapatkan rawatan pergigian daripada ‘doktor gigi haram’.

"Ramai dalam kalangan mereka hanya 'mempelajari' kemahiran pergigian melalui tontonan video di YouTube, namun berani melakukan rawatan seperti memasang pendakap gigi sehingga prosedur venir," katanya.

Profesor Liang Lin berkata, agak pelik apabila sesetengah masyarakat mudah termakan umpan 'doktor gigi' haram itu.

Untuk rawatan gigi yang patah misalnya, 'doktor gigi haram' hanya menyambungkan gigi palsu kepada gigi asal menggunakan dawai atau seumpamanya.

Katanya, pelanggan tidak sedar bahawa gigi palsu itu sebenarnya tidak berfungsi dan menyebabkan kerosakan kepada gusi dan gigi asal di sebelah gigi palsu itu.

"Gigi asal akan mereput dan menyebabkan radang gusi apabila makanan terimpak," katanya.

Mengulas lanjut, Profesor Liang Lin berkata, apabila menyebut sahaja klinik gigi dan doktor gigi, masih ramai berasa takut dan gerun, faktor mengapa ada dalam kalangan masyarakat tertarik dengan 'rawatan pergigian' yang dilakukan di salun kecantikan.

Kata beliau, salun kecantikan menawarkan keselesaan yang menjadi penarik utama, sekali gus menghilangkan persepsi yang ada.

"Apabila pergi untuk mendapatkan rawatan muka dan ke spa, ia adalah satu pengalaman yang menenangkan dan menyeronokkan berbeza apabila memikirkan doktor gigi yang membuatkan ramai berasa gerun serta takut.

"Pelanggan pula ada hubungan yang baik dengan pendandan kecantikan mereka dan mereka berkemungkinan akan memasukkan rawatan pemutihan serta venir sebagai sebahagian pakej kecantikan," katanya.

Namun sebab utama yang membolehkan perkhidmatan pergigian penuh tipu daya itu terus ditawarkan adalah kerana kurang pendidikan dan kesedaran akan akibat jangka panjang.

MASIH ramai yang takut dan gerun untuk berjumpa doktor gigi.
MASIH ramai yang takut dan gerun untuk berjumpa doktor gigi.

Kata Profesor Liang Lin, orang ramai tertarik dengan gambar sebelum dan selepas yang menjanjikan penyelesaian rawatan pergigian mudah serta cepat.

"Mereka mudah terperangkap promosi jualan yang meyakinkan. Ia mungkin nampak baik untuk jangka pendek, tetapi kesudahannya anda akan menderita untuk jangka panjang," katanya.

Katanya, prosedur pemutihan membabitkan pemutihan gigi dengan menggunakan krim atau gel yang mengandungi bahan kimia seperti hidrogen peroksida atau karbamida peroksida.

Gel itu disapu pada permukaan gigi selepas proses menggilap dan penskaleran, di mana keseluruhan proses mengambil masa satu jam ke satu jam setengah.

Ia boleh dilakukan di klinik pergigian atau melalui preskripsi (pemutihan di rumah) di mana ia akan dinilai terlebih dahulu di klinik.

Sebaliknya di salun kecantikan, pelanggan berisiko menerima gel pemutih yang tidak menepati piawaian dan boleh memudaratkan gigi serta gusi selain tiada proses penilaian betul diberikan bagi memastikan gigi sesuai menjalani proses pemutihan.

Katanya, antara rawatan lain yang popular di salun kecantikan adalah venir, digunakan dalam beberapa keadaan tertentu antaranya apabila gigi yang kuning tidak sesuai menjalani prosedur pemutihan.

Contohnya, akibat kesan tetrasiklina yang berlaku apabila seorang ibu mengambil antibiotik tetrasiklina ketika hamil, menyusukan anak atau apabila kanak-kanak mengambilnya ketika gigi sekunder dan utama sedang tumbuh.

Kata beliau, kesan berwarna hitam kelabu itu tidak boleh dirawat melalui proses pemutihan kerana ia dari dalam gigi. Dalam situasi lain pula, venir sesuai digunakan jika gigi tidak rata dan pesakit tidak mahu memakai pendakap, ini termasuk keadaan di mana gigi rosak teruk.

ACUAN gigi yang siap dipangkas dihasilkan dan ia dihantar ke makmal pergigian yang akan membuat jambatannya. - Gambar hiasan
ACUAN gigi yang siap dipangkas dihasilkan dan ia dihantar ke makmal pergigian yang akan membuat jambatannya. - Gambar hiasan

Proses rawatan itu termasuk mengikis nipis struktur gigi dan menampal venir di mana ia dinamakan venir tidak langsung.

"Venir langsung pula di mana doktor gigi akan menggunakan bahan tampalan berwarna gigi untuk menutupi gigi yang kuning lalu mengubah bentuk dan saiz gigi.

"Dengan doktor gigi yang sah, venir jenis tidak langsung dibuat khas dan dihasilkan di makmal pergigian, manakala venir langsung memerlukan kerja tangan yang mahir kerana gigi perlu dibentuk serta digilap dengan betul bagi memastikan ia kelihatan cantik.

"Jika beri kepercayaan kepada pendandan kecantikan untuk melakukannya, pelanggan mendapat venir yang tidak sepadan hingga menyebabkan gusi bengkak dan berpenyakit," katanya.

Bagi prosedur memasang jambatan pergigian, ia membabitkan proses pemangkasan barisan gigi atau gigi bersebelahan yang jarang.

Kemudian, acuan gigi yang siap dipangkas dihasilkan dan ia dihantar ke makmal pergigian yang akan membuat jambatannya.

Manakala perkhidmatan 'doktor gigi' haram pula hanya membabitkan pendawaian gigi palsu ke gigi sebelahnya, ia berisiko menyebabkan gigi reput, masalah gusi dan masalah lain akibat pemakaian gigi yang tidak sepadan.

Untuk rawatan pendakap gigi, ada dua jenis iaitu kaedah konvensional menggunakan pendakap dan dawai logam atau rawatan terbaharu menggunakan penjajaran lutsinar.

"Pendakap gigi untuk membetulkan gigi tidak rata yang ringan dan tidak serius boleh dilakukan doktor gigi namun begitu, bagi kes yang rumit, anda perlu berjumpa pakar ortodontik," katanya.

Sementara itu, kata Profesor Liang Lin lagi, semua doktor gigi perlu berdaftar dengan MDC dan APC perlu diperbaharui serta dipamerkan di klinik.

Masyarakat juga nasihat beliau, perlu sentiasa berhati-hati dengan produk murah dalam talian yang menawarkan venir, pendakap gigi dan produk pemutihan gigi palsu.

"Jangan ambil risiko kerana kegagalan berjumpa doktor gigi yang betul untuk mendapatkan rawatan pergigian boleh menyebabkan kerosakan gigi dan gusi yang tidak dapat dipulihkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 7:01 AM