BIBIR kering antara masalah kerap dihadapi.
BIBIR kering antara masalah kerap dihadapi.
Nurul Husna Mahmud


RAMAI yang akan mengalami masalah bibir kering dan mengelupas kerana kurangnya pengambilan air. Lebih parah jika keadaan mengelupas itu turut disusuli dengan bibir berdarah dan luka.

Mengenai bibir pula, kulit pada bahagian itu lebih mudah merekah dan mengelupas kerana ia tipis selain tidak mempunyai sebarang kelenjar minyak yang dapat memberi kelembapan semula jadi.

Jika individu terdedah kepada keadaan ekstrem sama ada cuaca terlalu sejuk, panas atau kering, kulit pada bahagian bibir akan terlebih dahulu merekah atau mengelupas.

Keadaan ini membuatkan individu tidak selesa dan ada kalanya masalah itu menyebabkan anda kurang yakin untuk berada di khalayak ramai. Ini kerana bibir juga memiliki pesona tersendiri.

Bagi anda yang memiliki masalah bibir kering beberapa tip berikut boleh diamalkan untuk membantu mendapat bibir yang cantik dan mungil tatkala pergi berkunjung rumah sanak saudara mahupun sahabat handai di musim perayaan.

AMBIL air yang mencukupi.
AMBIL air yang mencukupi.

1. Pengambilan air mencukupi

Seperti bahagian kulit lain, bahagian bibir boleh kekal sihat dengan pengambilan air yang mencukupi. Lakukan rutin baharu iaitu pengambilan air kosong berbanding pengambilan air manis ketika beraya.

Pada awalnya mungkin berdepan masalah iaitu kerap bangun untuk ke tandas, tetapi sekurang-kurangnya air diambil mencukupi untuk bibir kekal sihat dan lembap.

2. Elakkan kebiasaan menyentuh atau mengumpil kulit bibir

yang sudah merekah

Keadaan ini akan menyebabkan trauma atau luka pada bahagian bibir. Tabiat itu juga mengakibatkan bibir luka lambat sembuh kerana ada komplikasi lain seperti alahan dan sebagainya.

3. Elakkan tabiat menggigit besi atau mengepit logam menggunakan bibir

Tabiat itu dikatakan boleh menyebabkan bibir lebih mudah kering dan luka. Objek yang mempunyai unsur logam dan bertekstur kasar boleh menyebabkan bibir kering mudah tercedera.

GUNAKAN pelembap bibir yang sesuai.
GUNAKAN pelembap bibir yang sesuai.

4. Elak juga tabiat menjilat bibir

Keadaan bibir yang kerap dibasahkan dengan kaedah menjilat menyebabkan permukaan kulit lebih mudah kering.

Gunakan kaedah lain yang lebih baik dalam membantu melembapkan bibir.

5. Gunakan pelembap bibir yang sesuai dengan kandungan bahan yang dapat menenangkan kulit

Terdapat pelbagai produk dapat melembapkan bibir. Ia termasuk bahan seperti gliserin, minyak semula jadi dan pelembap mesra kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 6:30 AM