KURANGKAN pengambilan makanan dibakar pada suhu tinggi seperti sate. - FOTO Google
KURANGKAN pengambilan makanan dibakar pada suhu tinggi seperti sate. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


UMUM mengetahui barah penyakit ditakuti ramai kerana ia umpama 'bom jangka' yang boleh memusnahkan kesihatan dan kehidupan pesakit.

Ada pesakit berjaya membebaskan diri mereka daripada penyakit ini selepas menjalani rawatan disarankan doktor.

Namun ada juga yang tidak bernasib baik apabila meninggal dunia pada usia masih muda.

Selain mengamalkan gaya hidup sihat, cara pemakanan yang betul boleh diamalkan bagi membantu mencegah penyakit berkenaan.

Pakar Pemakanan KPJ Perdana Specialist Hospital, Rose Hanizan Mat Hassan berkata, pemakanan seimbang dan pelbagai amat digalakkan dalam diet harian.

Menurutnya, pemakanan seimbang terdiri daripada semua jenis kumpulan makanan iaitu karbohidrat, protein, serat buah-buahan dan sayur-sayuran, pengambilan sedikit gula, lemak serta minyak.

"Semua kumpulan makanan ini perlu diambil dalam kuantiti sederhana sesuai dengan keperluan harian setiap hari di samping melakukan senaman berkala.

"Namun begitu, kita digalakkan mengambil kumpulan sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi antioksidan tinggi.

"Antioksidan boleh didapati pada karotenoid dalam buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna merah, oren, kuning serta sesetengah sayur berdaun hijau," katanya.

Manakala 'polyphenols' pula terdapat di dalam teh, kopi, coklat, kekacang, bawang, buah beri dan tumbuh-tumbuhan lain.

"Allium pula boleh didapati dalam bawang putih, bawang, daun kucai dan daun bawang.

AMALKAN pemakanan sihat untuk elak penyakit barah. - FOTO Google
AMALKAN pemakanan sihat untuk elak penyakit barah. - FOTO Google

"Bagaimanapun, tiada makanan khas boleh diambil bagi mengelak serangan barah terhadap tubuh kita. Cara yang tepat dengan mengamalkan pemakanan sihat, mempelbagaikan kumpulan makanan secara seimbang dan tidak berlebihan," katanya.

Jelasnya, apa yang perlu ditekankan semua dalam senarai diet harian ialah pemilihan makanan berserat tinggi, tinggi 'phytonutrient/phytochemicals' dan pemilihan makanan organik.

"Makanan semula jadi adalah lebih baik daripada makanan yang diproses kerana boleh membantu mengurangkan serangan risiko barah.

"Jenis makanan perlu dielakkan dalam diet harian ialah yang mengandungi karsinogen. Contohnya makanan diproses atau makanan segera kerana makanan ini akan meningkatkan kepada risiko barah.

"Kita perlu kurangkan pengambilan makanan dibakar pada suhu tinggi seperti sate, ikan bakar, ayam bakar, daging bakar dan sebagainya," katanya.

Katanya lagi, selain itu, minuman beralkohol dan makanan diperam lama akan menghasilkan pelbagai asid serta ethanol. Ini berbahaya kepada sel badan, sekali gus meningkatkan risiko barah.

"Makanan mengandungi bahan pengawet dan pewarna kimia tinggi juga perlu dielakkan.

"Sesiapa sahaja berisiko menghidap barah. Individu obes atau mempunyai berat badan berlebihan berisiko lebih tinggi kerana memiliki jumlah lemak yang banyak.

"Sebab itu, kurangkan ambil makanan manis dan berlemak. Lakukan senaman setiap hari secara konsisten supaya dapat kekalkan bentuk badan ideal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 6:48 AM