LAKUKAN senaman angkat kaki ke dinding selama 15 hingga 20 minit setiap hari.
LAKUKAN senaman angkat kaki ke dinding selama 15 hingga 20 minit setiap hari.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


SENAMAN dalam posisi yang pasif juga mempunyai manfaat kesihatan yang cukup luar biasa.

Contoh, senaman angkat kaki ke dinding yang kurang popular kerana ramai tidak mengetahui kebaikannya.

Kita boleh memulakan mengamal senaman ringkas ini di rumah selama 15 hingga 20 minit setiap hari.

Lapan kebaikan senaman angkat kaki ke dinding:

1. Merehatkan minda dan badan

Mengangkat kaki ke dinding ialah kaedah terbaik untuk menenangkan saraf.

Ini membuatkan individu menikmati rehat sebenar, menghilangkan kegelisahan dan tekanan.

Kelebihan itu dapat mengembalikan semula fungsi tubuh dengan baik dan penyembuhan diri.

2.Meningkatkan peredaran darah

Posisi ini membantu edema (kewujudan air berlebihan pada ruang antara tisu tubuh yang menyebabkan bahagian itu kelihatan bengkak) pada kaki dengan membalikkan kesan graviti di bahagian bawah badan.

Ia juga memudahkan saluran vena dan meningkatkan pergerakan cecair limfatik kepada individu yang mempunyai tekanan darah rendah atau berdiri lama pada waktu siang.

Mengangkat kaki memudahkan peredaran darah kembali ke jantung.

3. Melegakan kekejangan otot

Senaman angkat kaki ke dinding adalah kaedah terbaik mengurangkan dan melegakan ketegangan kaki atau kaki bengkak.

Kaedah ini boleh menjadi terapi kaki selepas melakukan aktiviti fizikal atau selepas duduk lama pada siang hari.

Senaman ini juga boleh merehatkan lantai pelvis bagi mengurangkan kekejangan semasa
datang bulan seperti
sakit belakang pinggang, sakit kepala dan sakit perut.

Otot pelvis berehat secara semulajadi pada kedudukan ini, lebih-lebih lagi jika meletakkan bantal di bawah pelvis.

4. Meregangkan hamstring dan glutes (kumpulan otot paling kuat dan panjang dalam tubuh)

Mengangkat kaki ke dinding dapat meregangkan hamstring, glutes, tulang belakang dan pinggul serta menghilangkan tekanan dari bawah punggung.

Selain itu, postur badan dalam kedudukan ini dapat mengurangkan lengkungan tulang belakang lumbar yang akan memanjang dan meregangkan otot belakang.

Semakin rapat pinggul ke dinding, lebih banyak regangan dapat dilakukan di hamstring.

5.Melegakan ketegangan punggung bawah

Senaman ini dapat meredakan tekanan di bahagian belakang tulang lumbar serta merehatkan otot di kawasan itu.

Tekanan dilepaskan dari tulang belakang dalam kedudukan terlentang dan melegakan tekanan ringan di bahagian belakang badan serta leher.

6. Melegakan sakit kepala dan migrain

Kesakitan di bahagian kepala kebiasaannya berkaitan dengan ketegangan.

Oleh itu, senaman mengangkat kaki ke dinding membantu meregangkan dan merehatkan otot di leher, bahu dan punggung selain meningkatkan aliran darah ke kepala.

7. Meningkatkan sistem penghadaman

Apabila menggabungkan senaman angkat kaki ke dinding dengan pernafasan berirama yang perlahan, kita akan memperoleh manfaat daripada tindak balas sistem saraf 'pencernaan'.

Dalam keadaan ini, badan akan aktif mencerna makanan yang dimakan dan berfungsi menyembuh serta memperbaiki tubuh.

8. Meningkatkan kualiti tidur

Angkat kaki di dinding adalah posisi rehat yang luar biasa, lebih-lebih lagi jika digabungkan dengan teknik pernafasan terkawal.

Kadar denyutan jantung yang perlahan akan memberikan tindak balas ketenangan dan seterusnya mengurangkan kegelisahan, tekanan serta insomnia.

Lakukan senaman ini sebelum tidur sekiranya menghadapi masalah kesukaran tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 6:30 AM