MEJAR Siti Suraida menyertai TUDM sejak 2001.
MEJAR Siti Suraida menyertai TUDM sejak 2001.
Oleh Hafiz Ithnin


"SELAMA dua tahun duduk berjauhan dengan keluarga. Saya di Alor Setar dan suami di Subang. Perkara itu adalah cabaran paling besar buat saya kerana dua anak terpaksa ditinggalkan bersama suami. Anak yang ketiga pula bersama saya.

"Sampaikan anak saya yang sulung, Nik Myra Azalea yang ketika itu baru seminggu masuk darjah satu sudah meluahkan emosinya dengan bertanya 'sampai bila kita nak berjauhan ma?" jelas pemilik nama Mejar Siti Suraida Mazlan.

Perasaan penulis juga sedikit terusik ketika wanita berusia 37 tahun itu bercerita mengenai perkara itu. Mana tidaknya jika anak orang lain dihantar ibu ke sekolah, anak yang baru berusia tujuh tahun meminta perkara yang sama tetapi tidak dapat dituruti si ibu demi menggalas tugas kepada negara.

Meskipun, suasana sesi temu bual pada awalnya rancak berkisar mengenai kerjayanya sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang penuh cabaran tetapi hati si ibu anak tiga itu tidak dapat menafikan 'cair' tatkala bercerita perihal berjauhan dengan anak-anak.

"Jadi bagaimana puan, meletakkan emosi dan profesional dalam kerjaya?" soal penulis lagi.

Katanya, sebagai anggota TUDM mereka perlu memastikan perihal peribadi dan kerjaya tidak dicampuradukkan bagi memastikan prestasi kerja tidak terganggu walaupun sebagai manusia biasa perkara itu sukar untuk dilakukan.

"Pertama saya kena ingat sebagai jurulatih penerbangan pesawat PILATUS PC7 MKII di Kolej Tentera Udara, Alor Setar dari 2018 hingga Mac lalu, saya mempunyai tanggungjawab besar kepada bakal pemandu pesawat milik negara untuk melatih mereka menjadi juruterbang yang berkeyakinan tinggi.

"Jika kita sentiasa bernostalgia dengan emosi, ada dua perkara perlu difikirkan risikonya iaitu nyawa orang yang diajar dan kedua, aset negara yang berharga," katanya yang berpangkat Mejar TUDM sejak 2013.

Sebenarnya anak kedua pasangan Mazlan Said dan Noraini Hussein itu tidak pernah membayangkan bahawa hari ini dia adalah jurulatih dan pemandu pesawat milik TUDM kerana sejak kecil dia hanya mempunyai cita-cita sebagai anggota unit beruniform sahaja.

KINI menjadi juruterbang dan jurulatih pesawat Beechcraft Super King Air B200T.
KINI menjadi juruterbang dan jurulatih pesawat Beechcraft Super King Air B200T.

Apatah lagi, tidak ada pengaruh daripada bapanya seorang guru dan ibunya pula suri rumah. Namun, sekali melangkah ke dalam dunia TUDM sejak 2001, isteri kepada Nik Mohd Faizal Nik Yaakob itu terus mara dalam kerjayanya yang kini menjawat jawatan sebagai Ketua Sel Piawaian, Keselamatan dan Kesiapsiagaan No 16 Skuadron di Pangkalan Udara Subang.

Baginya, menjadi juruterbang wanita dalam TUDM memberi banyak kesan yang baik ke dalam dirinya kerana menjadi anggota keselamatan negara sudah pastinya sinonim dengan disiplin dan sentiasa bersiap siaga.

"Apabila kita memasuki dunia ketenteraan tidak ada persempadanan jantina dari segi membentuk jati diri, latihan dan kerjaya.

"Semuanya dilayan sama kerana anggota tentera perlu siap sedia dari segi mental dan fizikal apabila diberikan arahan daripada pihak atasan. Kita tidak boleh katakan tidak kerana ia adalah tanggungjawab kepada negara walaupun terpaksa meninggalkan keluarga," katanya.

Tambahnya, bagi wanita di luar sana yang ingin menjadi juruterbang TUDM amat digalakkan tetapi mereka perlu mempunyai minat dan daya usaha yang tinggi.

SENTIASA memastikan pesawat dalam keadaan baik sebelum berlepas.
SENTIASA memastikan pesawat dalam keadaan baik sebelum berlepas.

"Saya banyak menerima maklum balas di media sosial bertanya mengenai kerjaya ini dan perkara pertama saya akan tanyakan kepada mereka adakah mempunyai minat yang tinggi kerana jika sekadar kagum ia tidak mencukupi.

"Perlu diingatkan bahawa apabila bergelar anggota TUDM, ia sudah menjadi sebahagian daripada kita. Boleh dipanggil pada bila-bila masa dan perlu mempunyai ketahanan jiwa apabila berdepan dengan sebarang cabaran," katanya.

Mejar Suraida menambah, namun, TUDM amat menitikberatkan perihal kebajikan anggotanya terutama membabitkan hal keluarga.

"Perkara yang boleh menaikkan moral anggota TUDM seperti keluarga amat diberi perhatian oleh pasukan ini kerana ia boleh menjadikan kita semakin bersemangat untuk menjalankan tugas,

" katanya.

Katanya lagi, bagi anggota wanita sudah berkahwin mereka perlu mempunyai pasangan yang memahami dengan tugasan di dalam kerjaya itu.

"Saya amat bersyukur kerana suami dan keluarga mentua juga sentiasa berada di belakang serta memahami kerjaya ini.

BERSAMA suami yang menjadi antara tulang belakangnya.
BERSAMA suami yang menjadi antara tulang belakangnya.

"Sebagai anggota tentera ditukarkan ke unit di luar negeri itu sudah menjadi perkara biasa. Jika suami tidak memahami perkara ini sudah pasti menjadi cabaran," katanya.

Sejak ditukarkan ke No 16 Skuadron di Pangkalan Udara Subang sebagai Ketua Sel Piawaian, Keselamatan dan Kesiapsiagaan pada Mac lalu, dia bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan dan kompetensi kru udara berada di tahap tertinggi bagi melaksanakan tugasan operasi mahupun latihan.

"Sejak ditukarkan ke skuadron ini, negara kita sedang menghadapi musibah besar iaitu Covid-19 dan pastinya dalam masa yang sama memerangi pencerobohan pihak asing ke dalam Malaysia.

"Jadi, buat masa ini saya sendiri perlu sentiasa bersedia pada setiap masa untuk memantau pintu sempadan negara agar tidak dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 7:00 AM