COKLAT berkualiti perlu melalui proses penyaringan yang teliti. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
COKLAT berkualiti perlu melalui proses penyaringan yang teliti. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
COKLAT hitam adalah coklat terbaik untuk kesihatan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
COKLAT hitam adalah coklat terbaik untuk kesihatan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ANTARA coklat yang dikomersialkan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ANTARA coklat yang dikomersialkan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Aida Adilah Mat


SIAPA yang dapat menahan godaan rasa enak coklat? Apatah lagi jika coklat yang dihidangkan adalah daripada jenama mahal dan memang terkenal dengan rasa memikat? Malah melihat gambar makanan bersalut lelehan coklat pun boleh membuatkan ramai terliur dan mula membayangkan rasanya yang mewah.

Memang tidak dapat dinafikan hebatnya tarikan coklat yang sukar ditolak oleh sesiapa pun termasuk individu yang mahu berdiet. Tidak kira umur, jantina dan bangsa, semuanya pasti mempunyai coklat kegemaran masing-masing.

Tidak kira apa pun jenama dan variasi pilihan anda, secara umumnya coklat yang ada di pasaran boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu coklat hitam, coklat susu dan coklat putih.

Sekiranya anda peminat tegar coklat pasti mengetahui coklat terbaik untuk kesihatan bagi mengelakkan kemudaratan akibat terlalu banyak menikmati makanan mewah ini khususnya dalam kategori coklat manis.

Menurut kajian, coklat hitam adalah pilihan terbaik dan mampu memberi kesan baik kepada kesihatan anda. Walaupun ada banyak pihak memperkatakan mengenai kebaikannya, coklat hitam perlu diambil secara sederhana dengan kuantiti yang tidak berlebihan.

Malah pemilik Benns Chocolate Factory Sdn Bhd, Wilfred Ng berkata, beliau cuba menyebarkan maklumat mengenai kebaikan coklat hitam khususnya yang mampu membantu memperbaiki kesihatan jika diambil mengikut cara yang betul.

Ini kerana coklat hitam mengandungi antioksida, flavonoid (lapan kali lebih tinggi berbanding strawberi) dan baik untuk kesihatan jantung kerana mampu melancarkan perjalanan darah selain merendahkan risiko masalah pembekuan darah.

Ia juga dikatakan mampu merangsang mood dan meningkatkan hormon untuk perasaan gembira.

Kata Ng, mengikut carta, coklat hitam menduduki tangga teratas sebagai coklat terbaik berbanding coklat lain seperti coklat putih atau yang dikomersialkan.

“Saya mahu mendidik masyarakat mengetahui kebaikan coklat. Banyak kelebihan yang boleh kita peroleh, namun perlu tahu coklat mana yang baik.

“Makan coklat yang betul akan memberi kebaikan kepada kesihatan kita. Bagaimanapun, ia perlu diambil mengikut kuantiti yang dibenarkan iaitu sekitar 65 gram sehari,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih ramai yang tidak boleh membezakan coklat yang baik untuk kesihatan dengan coklat boleh memudaratkan.

“Cara untuk anda mengenal pasti coklat yang baik sebenarnya sangat mudah. Lihat senarai bahan di belakang pembungkusan. Jika terdapat bahan kimia yang sukar disebut untuk tiga bahan utama, ia bermakna ada sesuatu yang diletakkan di dalamnya,” katanya.

COKLAT hitam adalah coklat terbaik untuk kesihatan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
COKLAT hitam adalah coklat terbaik untuk kesihatan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Coklat hitam

Ia juga dipanggil ‘dark chocolate’. Selain baik untuk kesihatan jantung, coklat hitam mampu mengurangkan pembekuan kolesterol. Ia turut mampu mengurangkan tekanan darah jika dimakan dengan sederhana dan mengikut peraturan.

Kajian menunjukkan memakan coklat hitam mengikuti kuantiti yang dibenarkan setiap hari selama dua minggu boleh membantu menurunkan tekanan darah dengan ketara.

Selain itu bagi wanita, coklat hitam ini mampu menjadikan kulit berseri dan mengekalkan awet muda kerana ia mengandungi mineral serta vitamin A, C dan E, meningkatkan peredaran darah sehingga ke otak dan merangsang ingatan.

Anda tidak perlu bimbang kerana lemak yang terdapat dalam coklat hitam ini tidak menggemukkan.

Ibu bapa disaran memperkenalkan coklat hitam kepada anak dan mengejar mereka mengenai khasiat coklat hitam.

Bagaimanapun, majoriti kanak-kanak tidak gemarkan coklat hitam kerana rasa yang pahit berbanding coklat yang dikomersialkan.

Coklat putih

Dalam erti kata sebenar, coklat putih bukanlah coklat kerana ia tidak mengandungi pepejal koko tanpa lemak, unsur pemakanan yang utama bagi likuor coklat.

Semasa proses pembuatan, pepejal berwarna gelap dalam biji koko dipisahkan daripada kandungan lemaknya, sama juga seperti coklat susu, separa manis dan coklat gelap.

Bagaimanapun, dalam coklat putih, pepejal koko tidak digabungkan semula. Akibatnya, lemak ini iaitu mentega koko, menjadi bahan utama tunggal dalam coklat putih.

Disebabkan ia tidak mengandungi pepejal koko, coklat putih mengandungi hanya sedikit jumlah perangsang teobromina dan kafein. Malah coklat putih tidak mempunyai sifat antioksidan atau bahan yang terkandung dalam coklat lain seperti tiamina, riboflavin dan feniletilamina.

Kebiasaannya coklat putih mungkin mengandungi perisa tambahan dan vanila menjadi bahan tambahan paling lazim.

COKLAT berkualiti perlu melalui proses penyaringan yang teliti. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
COKLAT berkualiti perlu melalui proses penyaringan yang teliti. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

KANDUNGAN COKLAT

1. Polifenol

Ini adalah antara kandungan utama dalam coklat yang berfungsi mencegah ia daripada tengik. Polifenol juga menjadi penangkis kepada beberapa penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok. Jangan risau, jika sekadar mengambil dalam kuantiti diperlukan.

2. Teobromina

Sebaik menjamah coklat, kita akan berasa lebih bertenaga. Mata mengantuk secara automatik akan terbuka dek penangan teobromina. Bagi individu yang diserang batuk, disyorkan mengambil coklat kerana dikatakan lebih mujarab daripada ubat batuk. Seperti teh yang digunakan untuk mencuci muka, kini coklat turut dijadikan pupur bagi menyegarkan kulit wajah.

3. Feniletilamina

Kandungan feniletilamina memberikan rangsangan otak yang menghasilkan dopamin. Kesan kehadiran dopamin mencetuskan perasaan ceria dan tenteram hingga membangkitkan mood romantis. Jadi, tidak hairanlah jika dari dulu lagi coklat sering dijadikan hadiah yang paling romantik.

4. Antioksidan

Bagi individu yang risau dengan garis penuaan yang mula timbul di wajah, coklat barangkali boleh membantu. Sifat antioksidan mampu membantu mencegah proses penuaan yang disebabkan kesan radiasi. Gaya hidup tidak seimbang dengan pilihan makanan segera yang diambil tanpa had juga menjadi penyumbang yang mempercepatkan proses berkenaan.

TIP MEMBACA BAHAN

1. Baca label dengan teliti.

2. Elakkan beli makanan atau minuman yang kandungannya punya perkataan yang sukar dibaca atau susah dieja.

3. Jauhi apabila perkataan gula atau sirap (tidak kira apa jenisnya) berada pada kedudukan tiga kandungan yang ditulis awal mendahului bahan lain.

4. Berhati-hati beli apabila kandungan bahan melebihi enam bahan. Baca dan fahamkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 3:58 PM