RISOTTO barli ala Malaysia.
RISOTTO barli ala Malaysia.
Siti Zarinah Sahib


Kalau disebut barli, ramai terbayangkan minuman enak yang dinikmati panas atau sejuk. Sejak dulu minuman berasaskan barli memang terkenal dengan manfaatnya untuk menyejukkan badan selain mampu membantu mengurangkan masalah tidak lawas atau kencing kotor.

Lebih menarik, minuman berasaskan barli juga sesuai dinikmati wanita hamil dan diminum tanpa gula untuk mendapatkan tubuh yang segar.

Ada banyak kajian yang menunjukkan khasiat barli. Bijirin yang terkenal di negara Barat ini sebenarnya juga berupaya membantu mengawal tekanan darah.

Walaupun kita tahu, mengawal pengambilan garam sangat penting dalam mendapatkan tekanan darah yang normal, tetapi meningkatkan jumlah potassium dalam diet seharian juga memberi kesan positif langsung kepada kesihatan.

Barli yang kaya dengan potassium, kalsium dan magnesium menjadi antara bahan penting untuk dimasukkan ke dalam diet harian. Berdasarkan kajian yang disiarkan dalam Jurnal Persatuan Dietetik Ameria pada 2006, pemakanan sihat mengandungi bijiran penuh dan banyak serat boleh merendahkan tekanan darah dan membantu mengawal berat badan.

Selain itu, kandungan zat besi, fosforus, kalsium, magnesium, mangan dan zink dalam barli juga menyumbang kepada pembinaan dan pengekalan struktur serta kekuatan tulang.

Malah kandungan serat, potassium, folat dan vitamin B6 turut menyokong kepada kesihatan jantung. Serat di dalam barli juga membantu merendahkan jumlah kolesterol di dalam darah yang secara tidak langsung mengurangkan risiko penyakit jantung.

Satu lagi keunikan barli ialah ia mengandungi selenium, iaitu mineral yang jarang ditemui dalam bijirin lain. Ia memainkan peranan penting dalam fungsi enzim hati dan membantu menyingkirkan komponen yang boleh menyebabkan kanser dalam badan. Menjadikan barli sebagai sebahagian diet harian juga boleh membantu mencegah keradangan, memperlahankan pertumbuhan tumor dan memperbaiki tindak balas sistem imun badan.

Malah kandungan seratnya juga boleh merendahkan risiko kanser usus. Ia juga turut membantu mencegah sembelit dan merangsang sistem pencernaan yang baik. Bagi yang ingin menurunkan berat badan, barli boleh dijadikan makanan harian. Kandungan seratnya membuatkan kita berasa cepat kenyang, puas dan kurang keinginan untuk makan. Jadi, secara tidak langsung, ia membantu mengurangkan pengambilan kalori sepanjang hari - satu faktor penting untuk menurunkan berat badan.

Walaupun mempunyai banyak khasiat, ramai tidak tahu barli juga boleh dimasak bagi menggantikan nasi. Ini disebabkan kandungannya kurang kanji dan menyebabkan rasa kenyang lebih lama.

Menurut Fendi Mohammad, 33, idea menghasilkan resipi risotto barli ini kerana ingin mempelbagaikan menu bersahur.

"Risotto barli terkenal di Itali, namun amat kurang dikenali di Malaysia. Jadi saya cuba membuat sedikit pengubahsuaian menggunakan bahan yang biasa digunakan agar kena dengan tekak Melayu," katanya.

Bagi melengkapkan nutrisinya susu segar ditambah untuk keperluan kalsium yang tinggi. Jadi individu hanya perlu makan sedikit sahaja ia sudah cukup mengenyangkan.

"Susu segar baik untuk kesihatan kerana menyediakan keperluan kalsium yang tinggi. Campuran susu dan barli adalah gandingan sesuai untuk hidangan sahur terutama mereka yang berdiet atau memerlukan tenaga yang lebih untuk meneruskan aktiviti harian," katanya.

Bahan-bahan

• 1 cawan barli direndam selama tiga jam dan direbus selama 15 minit.

• 1 cawan susu segar

• 100 gram ayam yang sudah dicincang

• 2 sudu mentega

• 2 ulas bawang putih

• Daun parsli

Langkah-langkah

1. MASUKKAN mentega dan kacau sehingga mentega cair.
1. MASUKKAN mentega dan kacau sehingga mentega cair.

2. MASUKKAN isi ayam dan kacau sehingga ayam kekuning-kuningan.
2. MASUKKAN isi ayam dan kacau sehingga ayam kekuning-kuningan.

3. TAMBAHKAN bawang putih yang sudah dicencang dan kacau sehingga wangi.
3. TAMBAHKAN bawang putih yang sudah dicencang dan kacau sehingga wangi.

4. MASUKKAN barli dan kacau rata.
4. MASUKKAN barli dan kacau rata.

5. TAMBAHKAN susu segar dan kacau untuk mengelak melekat.
5. TAMBAHKAN susu segar dan kacau untuk mengelak melekat.

6. HIASKAN dengan daun parsli, garam secukup rasa dan lada hitam. Risotto barli sedia dihidangkan.
6. HIASKAN dengan daun parsli, garam secukup rasa dan lada hitam. Risotto barli sedia dihidangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 3:47 PM