COKLAT perlu diambil secara sederhana. - FOTO Google
COKLAT perlu diambil secara sederhana. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


SIAPA tidak sukakan coklat? Coklat terhasil daripada biji koko yang diproses menjadi serbuk dan kemudian ditambah susu, kekacang dan ramuan lain dalam memberi sajian snek enak sehingga menjadi kegemaran ramai.

Meskipun ramai menggemari coklat, namun mereka bimbang dan percaya snek itu boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan peminatnya.

Antara penyakit kerap dikaitkan dengan pengambilan coklat adalah diabetes, jantung koronari dan darah tinggi. Namun, kajian dilakukan terhadap makanan itu memberi maklumat sebaliknya.

Malah, antara yang menarik dalam kajian terhadap coklat ialah penemuan kumpulan saintis dari Kanada yang menemui kebaikan dengan pengambilan 100 gram setiap hari boleh mengurangkan penyakit jantung dan strok.

Kajian yang membabitkan lebih 44,000 peserta turut mendapati mereka yang mengambil satu hidangan coklat setiap hari adalah 22 peratus kurang berisiko untuk mengalami strok berbanding mereka yang tidak ambil coklat.

Dalam kajian lain iaitu satu jurnal pernah diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Belanda mendapati pengambilan coklat dapat membantu mengurangkan kadar kolesterol rendah lipoprotein (LDL) atau lebih dikenali dengan 'kolesterol' jahat.

MINUM dua gelas coklat panas sehari boleh jaga kesihatan otak dan kuatkan memori. - FOTO Google
MINUM dua gelas coklat panas sehari boleh jaga kesihatan otak dan kuatkan memori. - FOTO Google

Disebabkan itu penyelidikan berterusan dilakukan termasuk mengkaji sama ada bar coklat mengandungi sterol tumbuhan dan koko flavanol yang mampu bertindak balas terhadap kolesterol dalam badan.

Satu lagi kebaikan coklat ialah apabila mampu meningkatkan kesihatan fungsi kognitif, sekali gus memperlahankan penuaan.

Kajian dilakukan saintis dari Sekolah Perubatan Havard yang turut menyarankan pengambilan dua cawan coklat panas setiap hari membantu menjaga kesihatan otak dan menguatkan ingatan warga emas.

Menyokong penemuan itu juga ialah kajian dalam makmal mendapati ekstrak koko yang dipanggil 'lavado' berkemungkinan mengurang atau mencegah kerosakan saraf yang mana sering ditemui pada pesakit Alzheimer.

Dalam melihat banyak kebaikan coklat, masih perlu diingatkan pengambilan sajian itu seharusnya pada kadar sederhana dan disarankan dengan kandungan gula rendah atau terkawal seperti coklat gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 6:33 AM