Oleh Siti Zarinah Sahib


PERGERAKAN senaman tiga wanita ini serancak muzik yang berkumandang. Sekali pandang, senaman dipamerkan ada unsur tarian yang diselang-seli dengan tumbukan tangkas. Kelihatannya ia bukan senaman biasa sebaliknya gabungan pelbagai tarian yang mampu menciptakan keseronokan.

Menurut jurulatih kecergasan Mercato Fitness & Spa, Nur Eleza Zaaba, 31, mereka bertiga sebenarnya menunjukkan senaman yang dipanggil piloxing iaitu gabungan pilates, tinju dan tarian dalam pergerakan pantas yang menjadi senaman lengkap untuk tubuh.

“Daya tarikan senaman piloxing ini ialah ia mengandungi elemen pilates dan tinju serta sedikit tarian membuatkan ia unik berbanding senaman lain yang pernah saya cuba,” katanya.

Nur Eleza yang aktif dalam bidang kecergasan menjelaskan, dia sememangnya meminati aktiviti senaman secara berkumpulan. Namun dia inginkan sesuatu yang berbeza daripada senaman biasa.

“Akhirnya saya pilih piloxing kerana ia senaman yang lengkap dan seimbang merangkumi pergerakan untuk kardio, menguatkan dan membentuk otot. Gabungan ketiga-tiga elemen ini membuatkan senaman lebih bervariasi dan menarik,” katanya.

Katanya, tinju dikaitkan dengan kekuatan tangan manakala pilates pula menumpukan kekuatan otot. Jadi gabungan kedua-dua pergerakan ini akan memberikan kesepadanan di antara pembentukan badan dan kesihatan.

TARIAN dan senaman membuatkan seseorang lebih terhibur ketika bersenam.
TARIAN dan senaman membuatkan seseorang lebih terhibur ketika bersenam.

Dia bermula dengan menjadi jurulatih separuh masa kerana sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dalam bidang psikologi.

“Selepas tamat pengajian, saya mula menjadi jurulatih sepenuh masa. Saya dapat mengawal berat badan dan menjaga kesihatan badan dengan mudah kerana kekal aktif sepanjang masa. Apabila badan lebih ringan dan cergas, semua urusan lain dapat dilakukan dengan mudah dan efektif,” kata Nur Eleza.

Katanya lagi, pemakanan adalah perkara paling penting yang perlu diberi perhatian. Pengambilan makanan kaya nutrisi seperti serbuk protein sangat membantu mengekalkan kecergasan dan pemulihan badan dengan cepat.

“Begitu juga pengambilan makanan seimbang, mengandungi semua nutrisi yang diperlukan tubuh. Saya cuba meminimumkan pengambilan gula, garam dan minyak,” katanya.

SENAMAN PERBAIKI IMEJ DIRI

Dalam senaman piloxing ini, sarung tangan khas yang ada pemberat dipakai untuk memberi lebih halangan dan bebanan bagi membantu membentuk otot lengan.

Ini antara kaedah yang bagus untuk mengelakkan masalah lengan menggeleber khususnya dalam kalangan wanita. Malah masalah ini antara yang sukar diatasi dan dihilangkan walaupun seseorang itu berjaya menurunkan berat badan dengan cara menjaga pemakanan.

Pergerakan tarian yang rancak akan membantu menguatkan badan secara keseluruhan dan memberi manfaat kepada kesihatan jantung. Malah ia juga baik untuk kesihatan mental kerana perlu fokus kepada pergerakan senaman yang rancak dan tangkas. Ia sekali gus membantu anda melupakan seketika masalah yang melanda.

Senaman piloxing yang semakin digemari ini diasaskan oleh penari Sweden dan jurulatih selebriti, Viveca Jensen yang asalnya mahu mencari jalan cara memperbaiki imej wanita supaya mempunyai ciri kuat dan seksi.

Akhirnya dia merangka langkah senaman menggunakan sarung tangan dengan pemberat dan pergerakan tinju untuk membentuk otot lengan. Dia memasukkan gerakan pilates yang lembut untuk meningkatkan keanjalan keseluruhan otot badan.

Bagi yang mencari senaman mencabar, bolehlah mencuba piloxing. Walaupun pergerakan yang diajar agak mudah, ia adalah senaman berintensiti tinggi yang dilakukan dengan berkaki ayam.

INFO KELEBIHAN PILOXING

1. Membentuk otot yang lebih kuat dan anjal.

- Otot boleh digerakkan ke tahap maksimum.

2. Senaman baik untuk jantung

- Kesannya, ia merendahkan tekanan darah dan risiko penyakit jantung.

3. Menguatkan bahagian teras badan.

- Bahagian teras badan (abdomen dan pinggang)akan menjadi kuat.

- Memperbaiki posturbadan dan mengurangkan risiko sakit pinggang.

4. Tingkatkan keseimbangan

- Pergerakan pantas tetapi lembut membantu tingkatkan keseimbangan badan

5. Menambah stamina dan ketahanan

- Dalam jangka panjang piloxing boleh membuatkan badan lebih bertenaga

- Pergerakan pantas dan berintensiti tinggi bakar lebih banyak kalori

6. Perbaiki kawalan dan koordinasi

- Pergerakan tangan dan kakiyang rancak tingkatkan koordinasi mata, tangan dan kaki

7. Mencegah kecederaan

- Apabila badan bertambah kuat, risiko untuk alami kecederaan semakin berkurang

8.Perbaiki bentuk badan

- Khususnya di lengan, pinggang, belakang dan kaki

9.Cara seronok melepaskan tekanan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 3:25 PM
TARIAN dan senaman membuatkan seseorang lebih terhibur ketika bersenam.
TARIAN dan senaman membuatkan seseorang lebih terhibur ketika bersenam.
GABUNGAN pilates, tinju dan tarian sebagai kaedah bersenam. FOTO & VIDEO: Hafiz Sohaimi
GABUNGAN pilates, tinju dan tarian sebagai kaedah bersenam. FOTO & VIDEO: Hafiz Sohaimi