KAKITANGAN kerajaan usah nafikan hak orang lain dengan menyewakan kediaman dibeli tetapi masih mendiami kuarters.
KAKITANGAN kerajaan usah nafikan hak orang lain dengan menyewakan kediaman dibeli tetapi masih mendiami kuarters.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BERBANDING pekerja swasta, kakitangan kerajaan sememangnya bertuah kerana berpeluang menikmati pelbagai kemudahan termasuk perumahan kuarters.

Kemudahan kuarters perumahan sememangnya dapat meringankan beban kewangan kakitangan kerajaan kerana kadar sewaannya yang rendah berbanding rumah sewa biasa.

Selain itu, lokasi kuarters yang terletak tidak jauh dari stesen (pejabat) juga dapat menjimatkan masa penjawat awam dari berulang alik jauh ke tempat kerja.

Semua itu antara faktor utama mengapa kuarters menjadi pilihan utama penjawat awam walaupun giliran untuk mendapatkannya tidak mudah.

Ada penjawat awam yang sudah menunggu bertahun-tahun lamanya namun masih tidak berpeluang menikmati kemudahan berkenaan.

Namun, di sebalik ribuan yang masih sabar menunggu giliran, ada juga segelintir penjawat awam yang tetap enggan menyerahkan kembali kuarters mereka meskipun sudah memiliki rumah sendiri dalam jarak radius 25 kilometer (km).

Tindakan itu dilakukan kerana bayaran sewa kuarters yang didiami sekarang jauh lebih murah manakala rumah yang dibeli pula boleh disewakan untuk mendapatkan pendapatan bagi membayar pinjaman bulanan.

Ia bertentangan dengan syarat umum kelayakan permohonan kuarters Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri iaitu pemohon atau pasangan yang memiliki rumah sendiri dalam jarak radius 25 km seperti Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) dan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) tidak layak mendapat kemudahan kuarters kerajaan.

Kakitangan kerajaan yang mahu dikenali sebagai Nora Mohamad, 38, berkata, memang diakui masih ramai kakitangan kerajaan yang tidak menyerahkan kembali kuarters mereka meskipun sudah memiliki rumah sendiri yang terletak tidak jauh dari kuarters yang disewa.

Katanya, tindakan itu seharusnya boleh ditangani sekiranya data BPH dapat disambungkan dengan data pemohon yang menggunakan pinjaman Bahagian Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA)

"Daripada data LPPSA boleh dapati siapa kakitangan yang sudah membeli rumah, lokasi dan sebagainya manakala BPH boleh semak adakah individu berkenaan adalah salah seorang penyewa kuarters kerajaan.

"Jika rumah yang dibeli sudah boleh diduduki, mereka sepatutnya diberikan notis supaya menyerahkan kembali kuarters yang dihuni dalam tempoh yang ditetapkan.

PEJABAT Mufti Wilayah Persekutuan (menerusi Al Kafi LI al- Fatawi) menegaskan bahawa perbuatan tidak menyerahkan kuarters jika sudah memiliki rumah dalam 25 km radius daripada kuarters adalah salah.
PEJABAT Mufti Wilayah Persekutuan (menerusi Al Kafi LI al- Fatawi) menegaskan bahawa perbuatan tidak menyerahkan kuarters jika sudah memiliki rumah dalam 25 km radius daripada kuarters adalah salah.

"Dalam hal ini, BPH harus menguatkan lagi aspek penguatkuasaan dan perlu bertegas kerana ribuan lagi pemohon masih menunggu dan mereka juga berhak menikmati kemudahan berkenaan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nora lagi, kadar sewaan kuarters jauh lebih rendah daripada harga sewaan rumah biasa dan kakitangan gred bawahan sepertinya hanya perlu membayar sekitar RM425 sebulan sahaja untuk sebuah kediaman jenis pangsapuri tiga bilik di Putrajaya.

Katanya, kadar sewaan kuarters bergantung kepada elaun Sara Hidup (COLA) dan dan Imbuhan Tetap Perumahan ( ITP ) mengikut gred yang diterima seseorang penjawat awam dan bayaran sewa akan dipotong menerusinya berdasarkan kiraan yang ditetapkan.

"Jika tidak melakukan kesalahan atau dipindahkan ke luar kawasan, penyewa boleh terus menyewa kuarters yang dihuni sehingga pencen.

"Mana nak dapat sebuah rumah dengan harga sebegitu di Putrajaya kerana harga sewaan semasa sebuah rumah flat lama tanpa banyak kemudahan di sini pun sudah mencecah RM1,300 sebulan.

"Itu yang menyebabkan ramai yang tidak mahu melepaskan kuarters mereka walaupun sudah bertahun-tahun memiliki rumah sendiri," katanya.

Dalam pada itu, baru-baru ini tular di media sosial mengenai perkongsian seorang penjawat awam yang rela hati melepaskan kuarters kerajaan selepas berpindah ke rumah sendiri demi memberi peluang kepada orang lain yang sudah lama menunggu.

Kuarters atas nama isterinya itu dilepaskan kerana dia dan isterinya tidak mahu mengambil hak orang lain yang lebih layak.

Meskipun isterinya terpaksa menunggu sembilan tahun sebelum mendapat kuarters itu namun disebabkan mereka sudah membeli rumah sendiri dan bertukar tempat kerja, kemudahan itu dilepaskan dengan hati terbuka.

"Agak tidak adil bagi penjawat awam bergaji rendah dan mempunyai keluarga besar yang masih menunggu giliran untuk menghuni kuarters.

"Mereka mungkin menyewa jauh luar ibu kota untuk nilai yang sama.

"Janganlah kita ambil hak orang lain, apabila sampai waktu takut hidup tak berkat," kata pengguna media sosial berkenaan.

Mengulas isu yang sama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (menerusi Al Kafi LI al- Fatawi) menegaskan bahawa perbuatan tidak menyerahkan kuarters jika sudah memiliki rumah dalam 25 km radius daripada kuarters adalah salah.

Hal itu kerana, pihak terbabit sudah melanggar syarat kontrak yang dipersetujui bersama.

"Secara umumnya, terdapat perjanjian yang sudah dipersetujui bersama di antara penjawat awam dan pihak BPH yang perlu dipatuhi dan Islam sangat menitikberatkan penganutnya supaya berpegang pada janji.

"Hal ini kerana, pematuhan kepada setiap perjanjian yang dibuat membuktikan kejujuran dan kepercayaan di dalam kehidupan manusia.

"Oleh itu, dinasihatkan supaya berlaku jujur dalam memenuhi setiap syarat yang dipersetujui supaya tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari," katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan komen Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkaitan jumlah penjawat awam yang masih menunggu kuarters sehingga 31 Disember lalu tidak berjaya kerana Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat enggan mengulas.

Bagaimanapun, sehingga Mac 2019, seramai 23,000 penjawat awam terutama sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur direkodkan, masih menunggu giliran mendapatkan kuarters.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:01 AM