ADNAN Mat. FOTO Bernama
ADNAN Mat. FOTO Bernama
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbang untuk memansuhkan potongan elaun bantuan sara hidup (COLA) bagi kakitangan awam yang tinggal di kuarters kerajaan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pemotongan COLA tidak perlu dan memadai dengan pemotongan elaun imbuhan tetap perumahan bagi memberi ruang kepada lebihan pendapatan boleh diguna penjawat awam.

Menurutnya, dengan cara ini, tidak ada suatu tambahan baru daripada kerajaan dan ia dapat memberi sedikit kelegaan kepada penjawat awam untuk berbelanja.

Katanya, terdapat kira-kira 23,000 senarai menunggu kuarters penjawat awam terutama di Putrajaya dan di bandar-bandar besar lain.

"Justeru Cuepacs mencadangkan agar semua kuarters yang dibina mengikut kementerian diisi oleh kakitangan kementerian lain iaitu secara melangkaui kementerian," katanya pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2023 di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini, hari ini.

Adnan berkata, siapapun yang bina ia tetap daripada perolehan kerajaan dan semua penjawat awam boleh menduduki di mana-mana kuarters sekiranya ada kekosongan.

"Dengan cara ini kita boleh mengatasi masalah penjawat awam yang tidak mendapat kuarters di bandar besar dengan kos sewa yang amat tinggi ketika ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan memaklumkan, Cuepacs berharap pada perhimpunan Madani Penjawat Awam bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan berlangsung pada 25 Mei ada berita gembira diumumkan.

Katanya, semua usul yang dibentangkan kepada kongres termasuk Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diguna pakai sejak 2002 dan perlu diganti baru dikemukakan kepada kerajaan.

"SPPA ini sudah digunakan sejak 21 tahun lalu dan perlu diganti kerana ia jauh tertinggal dalam bentuk struktur kebajikan, penggajian yang setimpal dan selesa dengan pendapatan kakitangan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 1:05 PM