MERENTASI jejak sejarah di Bruges.
MERENTASI jejak sejarah di Bruges.
Hafiz Ithnin


MELANCONG ke Eropah sering dilihat sebagai percutian mewah yang memerlukan bajet besar. Wang mencecah RM10,000 pastinya tidak berkurang untuk melancong ke sana.

Namun, bagi pengembara Nadia Zaman tiada yang mustahil dengan bajet RM5,000 apabila dia mampu melancong selama 15 hari ke tujuh negara di Eropah pada Februari lalu.

Katanya, dengan bajet itu dia dapat mencipta pengalaman baharu di Belgium, Jerman, Hungary, Austria, Slovakia, Republic Chezh dan akhirnya Turkiye.

Jelasnya, bermula dengan 'pelan strategik' sebelum memulakan perjalanan, dia merancang jadual perjalanan dengan teliti, memfokuskan pada destinasi yang menawarkan nilai sesuai untuk perbelanjaan yang ditetapkan.

"Ingin memiliki percutian bajet caranya tidaklah sukar, cuma memerlukan kerajinan dalam membuat 'ulang kaji' dan yang paling penting sentiasa melihat promosi tiket penerbangan.

"Saya ketika itu berjaya mendapatkan tiket penerbangan yang membuat promosi penerbangan pergi dan balik hanya RM1,100 ke Istanbul," katanya.

Tambahnya, dia juga memilih penginapan kurang daripada RM200, seperti AirbnB dan hotel selain banyak menggunakan pengangkutan awam untuk meminimumkan perbelanjaan.

"Secara keseluruhannya saya menghabiskan sekitar RM1,000 untuk tujuh penginapan di setiap negara. Membawa makanan sendiri (pek makanan segera dari Malaysia) antara satu cara saya menjimatkan wang.

BANDAR Vienna megah dengan sejarah seni binanya.
BANDAR Vienna megah dengan sejarah seni binanya.

"Perkara ini sangat membantu untuk berjimat kerana nilai mata wang Eropah sangat tinggi. Sekali makan sahaja anda boleh habis dalam RM50 untuk sajian lengkap. Justeru dengan membawa bekalan makanan sendiri, saya hanya membelanjakan RM300 untuk 30 pek makanan. Lengkap untuk makan pagi dan malam sepanjang 15 hari di sana," katanya.

Tambahnya, bagi menikmati menu tempatan dia tetap membelanjakan sedikit wang untuk membeli makanan ringan dan halal di setiap negara yang dilawati.

"Mencipta pengalaman baharu di benua Eropah, perjalanannya mengikut bajet bukan sahaja mengenai menjimatkan wang tapi juga tentang sebuah pengalaman dalam menyelami budaya tempatan.

"Setiap negara saya meluangkan masa tiga hari dan dua hari kecuali di Bratislava, Slovakia sahaja saya hanya meluangkan masa tujuh jam," katanya.

JAMBATAN Charles adalah jambatan ikonik abad ke-14 di Prague, menghubungkan bandar bersejarah.
JAMBATAN Charles adalah jambatan ikonik abad ke-14 di Prague, menghubungkan bandar bersejarah.

Bermulanya pengembaraan

Mengimbau kembali pengembaraannya itu, Nadia berkata, melalui Istanbul dia mengambil penerbangan sehala iaitu RM230 ke Brussels.

Katanya, penerbangan sebelah pagi itu sedikit tertangguh dan tiba di Brussels pada jam 6 petang waktu tempatan.

"Walaupun lewat tiba, saya sempat melawat sebentar ke kota Brussels, ibu negara Belgium. Brussels amat terkenal dengan seni bina yang menakjubkan, termasuk Grand Place, Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

"Bandar ini juga adalah rumah kepada Atomium yang ikonik, simbol kemodenan dan kemajuan. Keesokan harinya, saya ke Bruges dengan menaiki bas, RM98 dua hala," katanya.

KATEDRAL St. Vitus, Prague.
KATEDRAL St. Vitus, Prague.

Tambahnya, Bruges amat terkenal dengan terusan yang indah dan seni bina zaman pertengahan yang masih terpelihara dengan baik. Jalan berbatu kecil yang menarik dan terusan indah memberikan pengalaman yang benar-benar mempesonakan.

"Saya sempat menikmati Belgium Waffle dan Belgium Fries yang menjadi makanan ikonik negara itu. Dari Belgium, saya bertolak ke Aachen, Jerman dengan menaiki bas RM60 apabila saya meluangkan masa kira-kira tujuh jam meneroka bandar kecil itu.

"Aachen terkenal dengan sejarah katedralnya. Ia juga antara Tapak Warisan Dunia Unesco dan bandar lamanya yang sangat tenang indah. Bandar ini mempunyai sejarah yang kaya, pernah menjadi kediaman Charlemagne, pusat pembelajaran dan budaya yang terkenal di Eropah zaman pertengahan," katanya.

Katanya, perjalanan kemudian diteruskan dengan menaiki kereta api ke Berlin yang menelan kos RM60 selama tiga jam. Walaupun hanya dua hari di Berlin, dia sempat meneroka bandar Berlin yang terkenal dengan gabungan sejarah, budaya dan kemodenan yang menarik.

"Perjalanan diteruskan ke Prague iaitu menaiki kereta api dengan kos RM198. Perjalanan mengambil masa dua jam.

GEREJA terkenal di Aachen, German.
GEREJA terkenal di Aachen, German.

"Setibanya di sana bagaikan berada pada zaman pertengahan. Prague, ibu negara Republik Czech, terkenal dengan seni bina yang menakjubkan, termasuk Istana Prague, Jambatan Charles dan Dataran Bandar Lama. Bandar ini juga terkenal dengan kekayaan sejarah dan latar budaya yang meriah dengan begitu banyak muzium, galeri serta teater," katanya.

Dari Prague, dia menuju ke Vienna dengan menaiki kereta api dengan kadar tiket RM65. Vienna adalah ibu kota Austria, terkenal dengan seni bina yang indah dan warisan budaya yang kaya.

"Bandar ini adalah rumah kepada istana yang menakjubkan seperti Istana Schonbrunn dan Istana Belvedere serta muzium dan galeri seni bertaraf dunia.

"Saya sempat melawat pusat beli-belah tempatan di pinggir bandar untuk merasai kehidupan seharian penduduk Vienna. Perjalanan kemudiannya membawa saya ke Bratislava dengan menaik bas (RM30)," katanya.

Katanya, ibu negara Slovakia itu sempat diteroka selama tujuh jam sebelum ke Budapest. Bratislava terkenal dengan bandar lama zaman pertengahan, dengan jalan sempit dan bangunan bersejarah. Bandar ini juga menempatkan Istana Bratislava yang menawarkan pemandangan bandar dan Sungai Danube yang sangat indah dan menenangkan. Ke Budapest, ibu negara Hungary pula dengan menaiki bas (RM70).

CHIMNEY Cake, juga dikenali sebagai kürtőskalács, pastri tradisional Hungary yang popular di Hungary dan negara
CHIMNEY Cake, juga dikenali sebagai kürtőskalács, pastri tradisional Hungary yang popular di Hungary dan negara

"Secara peribadi, bagi saya Budapest adalah sebuah negara yang sangat indah. Rata-rata reka bentuk bangunannya masih bercirikan bangunan lama. Bangunan Parlimen, Istana Buda dan Fisherman's Bastion mempunyai binaan yang memukau mata.

"Bandar ini juga terkenal dengan 'mandian terma' yang dikatakan mempunyai sifat penyembuhan. Saya sempat menikmati hidangan tradisional Hungary seperti kek cerobong (chimney cake). Selepas Budapest, saya terbang ke destinasi percutian terakhir iaitu Istanbul, Turkiye (RM270)," katanya.

Jelasnya, ini adalah kali ketiga dia ke bandar Istanbul yang kaya dengan gabungan moden dan tradisi. Di Istanbul, menghabiskan dua hari menerokai bandar merentasi dua benua, Eropah dan Asia itu.

"Istanbul terkenal dengan sejarah yang kaya, seni bina yang menakjubkan dan budaya yang menarik. Salah satu tarikan utama ialah kawasan bersejarah Sultanahmet, mercu tanda ikonik seperti Hagia Sophia, Masjid Biru dan Istana Topkapi.

"Saya juga meluangkan masa menerokai pasar yang sibuk di Istanbul seperti Grand Bazaar dan Spice Bazaar. Keindahan sejarah dan budaya Istanbul adalah penamat yang sempurna untuk pengembaraan saya ini," katanya.

Katanya, meneroka Eropah adalah impian ramai orang dengan sejarah yang kaya seni bina menakjubkan dan budaya yang pelbagai.

BRATISLAVA, ibu kota Slovakia, sebuah bandar di sepanjang Sungai Danube.
BRATISLAVA, ibu kota Slovakia, sebuah bandar di sepanjang Sungai Danube.

"Pengalaman yang banyak saya pelajari adalah menggunakan pengangkutan awam di tujuh negara ini. Pengangkutan awam di Eropah terkenal dengan kecekapannya.

"Kereta api, trem dan bas selalunya menepati masa dengan sambungan yang baik juga berpatutan menjadikannya mudah untuk menavigasi antara satu tempat ke tempat yang lain. Secara keseluruhannya saya menghabiskan RM332 untuk pengangkutan awam di tujuh negara ini," katanya.

Menariknya kata Nadia, kebanyakan sistem pengangkutan awam Eropah beroperasi dengan sistem tiket berasaskan 'kejujuran.' Ia bermaksud tiada halangan tiket untuk dilalui. Sistem ini bergantung pada kejujuran penumpang untuk membeli dan mengesahkan tiket mereka.

"Namun kadangkala pemeriksaan tiket akan dilakukan secara rawak. Jika anda tidak mempunyai tiket, anda boleh dikenakan denda yang tinggi. Secara keseluruhan, pengembaraan di tujuh negara Eropah adalah pengalaman indah yang dipenuhi dengan detik-detik manis tidak dapat dilupakan.

"Walaupun dengan bajet yang rendah tetapi ia memberikan pengalaman yang membuktikan bahawa dengan perancangan yang betul, kita mampu meneroka benua Eropah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 6:40 AM