PEMANDANGAN dari Menara Galata.
PEMANDANGAN dari Menara Galata.
Syah Rul Aswari Abdullah

BUKAN Eropah, bukan Asia, bukan juga Timur Tengah. Itu tanggapan pertama penulis apabila berpeluang menjejakkan kaki di Istanbul, Turki.

Masyarakatnya bertutur dalam bahasa Turki yang pada pendengaran penulis amat asing. Sehingga hari terakhir pun, penulis sukar untuk mengucapkan 'terima kasih' dalam bahasa itu.

Namun, gaya hidup dan seni binanya amat kental dengan jiwa Eropah. Ini dapat dilihat menerusi ruang hidang (table setting) baik daripada kafe kecil sehingga ke restoran lima bintang.

Hanya apabila laungan azan setiap kali waktu solat menyebabkan penulis tersedar bahawa negara ini, majoriti penduduknya beragama Islam.

Ia mungkin disebabkan oleh sejarahnya yang panjang dengan menjadi pernah menjadi ibu kota empayar Rom sebelum ditakluk ditakluk Sultan Al Fatih, khalifah Empayar Uthmaniyah yang ketujuh.

Asimilasi pelbagai budaya ini dapat penulis hayati apabila meneroka tarikan di wilayah Pera atau lebih tepat lagi di Beyoglu (sebutan: Beyolu).

Ia masih berada di kawasan yang terletak di benua Eropah. Tetapi, kawasan ini dipisahkan dengan Kota Lama oleh perairan yang dikenali sebagai Golden Horn yang bersambung dengan Selat Bosphorus.

ISTIKLAL Avenue.
ISTIKLAL Avenue.

Dari tingkap hotel, penulis dapat menyaksikan keindahan daerah Sultanahmet di Kota Lama yang terkenal dengan Hagia Sophia, Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru) dan Istana Topkapi.

Namun, untuk artikel ini, penulis tidak mahu berkongsi pengalaman di Sultanahmet, sebaliknya ingin menceritakan tarikan di sekitar Beyoglu. Ia memandangkan kebanyakan artikel kembara mengenai Istanbul lazimnya memfokuskan tarikan utama di Kota Lama.

Sebenarnya ada banyak tarikan menarik di Beyoglu. Syaratnya, anda perlu bersedia untuk berjalan di kawasan yang agak berbukit. Kasut formal atau bertumit tinggi amat tidak praktikal kerana jalannya adalah batu buntar (cobble-stone).

Pada hari kedua, penulis berjalan mencari 'kaki' untuk ke Menara Galata. Jangan terkejut kerana sepanjang perjalanan ke sini, kita akan melihat banyak anjing jalanan.

Namun, jangan panik kerana haiwan ini dipantau pihak berkuasa, malah setiap satu mempunyai tagging atau penandaan pada cuping telinga. Ia juga tidak takutkan manusia atau mengacau pelancong. Kebanyakan masa, ia hanya tidur di jalanan.

TEH pelbagai perisa banyak dijual di Istanbul.
TEH pelbagai perisa banyak dijual di Istanbul.

Pada mulanya, penulis sedikit skeptikal mengenai apa yang menariknya dengan Menara Galata. Menerusi pembacaan, ia adalah menara untuk kawalan aktiviti perdagangan yang pernah beberapa kali dijadikan penjara.

Namun, ia sebenarnya menjanjikan pemandangan indah 360 darjah, Istanbul. Boleh dikatakan, ia lokasi terbaik jika mahu menyaksikan panorama kota ini. Tambahan pula, beberapa tarikan lain seperti tangga di dalam Haghia Sophia dan Masjid Sultan Ahmed, ketika ini, masih ditutup untuk pengunjung.

Tidak jauh dari menara ini, penulis berjalan pula merentasi beberapa lorong kecil untuk ke Istiklal Avenue atau dalam bahasa Turki, ia dipanggil Istiklal Caddesi. Ia sebenarnya adalah lokasi paling popular untuk penduduk setempat. Dikatakan, hampir sejuta orang yang melalui jalan ini setiap hari.

Jadi, anda boleh bayangkan betapa sibuknya jalan ini.

Untuk ke sini, penulis menaiki kereta api funikular dari Karakoy ke Beyoglu. Perjalanan amat singkat, tetapi amat menarik. Ia adalah kereta api di dalam terowong, dari kaki bukit ke Pera. Apa tidaknya, kereta api ia adalah antara stesen kereta api bawah tanah di bandar, tertua dunia.

SINAN Opera.
SINAN Opera.

Keluar dari tren ini, anda akan dapat memulakan perjalanan untuk meneroka Istiklal Avenue. Jalan ini amat panjang dan sedikit mendaki, namun ia tidak sesukar dibandingkan dengan berjalan di sekitar Menara Galata.

Sana-sini, semua orang berjalan kaki. Hanya tram berwarna merah melalui sepanjang jalan ini.

Di celah bangunan gaya Eropah di sini, penulis sempat singgah di beberapa muzium dengan sesetengahnya ada berbayar, manakala ada yang percuma. Ada muzium khas umpamanya khusus untuk sejarah perfileman Turki.

Tetapi, jika bukan peminat seni, anda boleh meneroka tarikan lain di setiap pelosok kawasan ini. Ada pelbagai kedai yang menempatkan restoran, butik dan muzium menyebabkan anda tidak akan terasa jalan ini sebenarnya sepanjang 1.4 kilometer!

Daripada pemerhatian penulis juga, harga manisan tradisional popular Turki seperti Turkish Delight dan pelbagai jenis teh di Istiklal Avenue, agak berpatutan. Ia jika dibandingkan dengan kawasan tumpuan pelancong di Kota Lama.

Di hujung jalan, penulis akhirnya sampai ke Dataran Taksim. Ia adalah lokasi yang menyaksikan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Turki. Namun, penulis lebih tertarik untuk singgah di Pusat Kebudayaan Ataturk (AKM) di sini, yang 'berwajah baharu' selepas proses pengubahsuaian besar-besaran.

ORKESTRA Filharmonik London.
ORKESTRA Filharmonik London.

Seni bina dewan operanya amat mengagumkan. Ia direka bentuk seperti bola golf berwarna merah yang besar dengan kapasiti 2,040 tempat duduk.

Penulis bernasib baik kerana berpeluang menyaksikan Sinan Opera di dewan ini, sempena pembukaan AKM. Pada malam terakhir, penulis dan wartawan lain dibawa pula menonton persembahan orkestra bertaraf dunia, Orkestra Filharmonik London.

Oh ya, ada satu lagi kawasan yang boleh disinggahi iaitu Galataport. Ia terletak agak jauh dari Menara Galata. Jadi tidak sesuai untuk berjalan kaki ke sini. Ia tarikan terbaharu di kejiranan Galata yang menempatkan ratusan kedai, restoran dan muzium.

Nama lagi baru dibuka, ia memaparkan pemandangan sesiaran (promenade) yang begitu indah ketika senja.

Seharian di Beyoglu masih tidak cukup untuk meneroka pelbagai tarikan di sini. Pengalamannya sama seperti berada di kota utama di Eropah. Ia sarat dengan kepelbagaian budaya, gaya hidup yang unik dan bangunan bersejarah.
- Bersambung minggu depan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 7:00 AM