PROGRAM mengail ini mendapat sambutan pelbagai lapisan usia.
PROGRAM mengail ini mendapat sambutan pelbagai lapisan usia.
Hartini Mohd Nawi


SEGALANYA dekat dengan hidupan alam dan melupakan seketika gajet di tangan!

Itu gambaran paling tepat buat peserta Program Pesta Mengail Ikan Puyu @Ladang B di Jabatan Sains Pertanian, Fakulti Teknologi dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.

Selama dua hari, seawal jam 8 pagi suasana digamatkan dengan peserta yang bagaikan tidak sabar memulakan acara.

Ternyata wajah teruja dan gelagat riang kanak-kanak menyediakan umpan dan mengail ikan benar-benar menggambarkan program yang sarat dengan nostalgia desa itu mendapat sambutan di luar jangkaan.

Ada yang baru pertama kali memegang batang kail, ada yang pertama kali melihat umpan cacing dan juga ada pertama kali melihat ikan puyu serta ikan air tawar lain.

Paling menggamatkan suasana adalah saat ikan dikail disentap ke darat kerana termakan umpan.

Semua itu menjadi pengalaman paling bermakna buat semua peserta program berkenaan.

Anjuran AgriDu Tourism Park, FTV UPSI, ia adalah salah satu inisiatif baharu yang memfokuskan kepada kelestarian budaya, warisan dan mempromosikan pelancongan berteraskan pertanian serta pendidikan.

IKATAN ukhuwah terjalin dalam kalangan peserta.
IKATAN ukhuwah terjalin dalam kalangan peserta.

Pada masa sama, ia bertujuan mempromosikan kelestarian pelancongan pertanian dan pendidikan khususnya di sekitar Bumi Muallim di samping dapat meningkatkan kesedaran sosial dalam memperingati nostalgia mengail ikan secara tradisional menggunakan kail buluh.

Menurut Pengarah Programnya, Ts Dr Mohd Amirul Hussain, program berkenaan memberi peluang kep

ada peserta untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran dalam menyediakan peralatan kail secara tradisional.

"Melalui program ini peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dibimbing untuk mempelajari teknik penyediaan peralatan kail dan mencari umpan kail ikan puyu di ladang secara tradisional.

"Jika dibandingkan dengan pesta mengail yang lain, Pesta Mengail Ikan Puyu @Ladang B ini menampilkan sedikit kelainan apabila fokus utama adalah kanak-kanak di bawah umur 12 tahun," katanya yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Pertanian, FTV.

KEGEMBIRAAN terpancar di wajah peserta cilik ini sebaik melihat ikan.
KEGEMBIRAAN terpancar di wajah peserta cilik ini sebaik melihat ikan.

Katanya, program itu turut dilihat mampu menjadi platform untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara ibu bapa dan anak.

"Ketika program berlangsung, dapat kita lihat banyak situasi paling bermakna dilalui peserta.

"Ikatan kekeluargaan dan kasih sayang jelas terpancar dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak yang terbabit," katanya.

Akuinya, atas sambutan yang menggalakkan daripada peserta dan ibu bapa, program berkenaan dijangka dijadikan sebagai program tahunan dengan skala yang lebih besar dalam mempromosikan pelancongan berteraskan pertanian dan pendidikan di UPSI.

MASING-MASING mencari cacing sebagai umpan ikan.
MASING-MASING mencari cacing sebagai umpan ikan.

"Sebagai pengarah program, saya amat berbangga dengan kejayaan yang bukan sahaja membawa nama baik UPSI ke persada yang lebih tinggi dalam bidang pendidikan dan teknikal tetapi turut menjadi lubuk dalam melestarikan warisan serta budaya silam," katanya.

Dr Mohd Amirul berkata, aktiviti di program itu tidak hanya membabitkan teknik penyediaan kail secara tradisional, dan beriadah sambil mengail ikan semata-mata.

Malah jualan tanaman nurseri dan memberi makan ikan, berswafoto serta 'OOTD' di ladang itu pastinya memahat kenangan paling indah.

"Pada masa akan datang pihak AgriDu Tourism Park merangka lebih banyak program berlandaskan warisan dan budaya tempatan berteraskan pelancongan pertanian dan pendidikan.

"Ia termasuk program santai petang di ladang sambil mempelajari pembuatan ikan pekasam puyu dan teknik pembuatan jeruk maman secara tradisional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 7:00 AM