HAKONE sesuai untuk pelancong menikmati keindahan alam semula jadi di Jepun.
HAKONE sesuai untuk pelancong menikmati keindahan alam semula jadi di Jepun.
Muhamaad Razis Ismail


JEPUN antara negara di Asia yang menjadi destinasi pilihan pelancong kerana memiliki keunikan dan tarikan yang tersendiri.

Selain terkenal sebagai negara maju yang banyak menghasilkan pelbagai teknologi terkini, negara matahari terbit ini mempunyai segalanya untuk pelancongan.

Antaranya keindahan alam dan memiliki keunikan budaya dan makanan yang menjadikan negara ini pilihan pelancong termasuk dari Malaysia.

Negara yang mengalami empat musim ini turut mempunyai banyak warisan kebudayaan dan alam semula jadi unik.

Pada Mac lalu, pengembara, Rozani Abd Shukor Heng mengambil peluang melawat negara itu secara solo.

Biarpun sudah beberapa kali ke Jepun sama ada untuk melancong atau urusan kerja sebagai pemandu pelancong, anak jati Pulau Pinang ini tidak pernah jemu untuk ke negara terbabit.

Rozani berkata, untuk percutian kali ini, dia memilih berkunjung ke beberapa lokasi menarik di Jepun termasuk Hakone di Kanagawa yang terletak 100 kilometer (km) dari bandar

Tokyo.

Katanya, sebelum ke sini, dia membuat kajian rapi untuk ke destinasi pelancongan ini termasuk mengenal pasti pengangkutan sesuai, laluan, kedai makanan, insurans pelancongan dan sebagainya supaya aktiviti melancong berjalan lancar.

"Saya ambil penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Tokyo. Terdahulu, saya melawat beberapa tempat menarik di Shibuya, Harajuku, Asakusa.

"Kemudian saya menaiki kereta api untuk ke Hakone. Sepanjang ke sana, saya dapati ramai pelancong menggunakan pengangkutan sama untuk ke Hakone," katanya.

Jelasnya, sebagai individu yang suka menikmati keindahan alam semula jadi, Hakone adalah pilihan tepat apabila bercuti di Jepun.

"Antara yang menjadi tumpuan sudah pasti pemandangan Gunung Fuji yang menakjubkan di negara ini. Pengunjung berpeluang menikmati keindahan Tasik Ashi berlatar belakang gunung yang berketinggian 3776.12 meter itu.

"Tidak lengkap ke sini, sekiranya tidak abadikan kenangan dengan berlatarkan gunung ini. Di sini, saya berpeluang menikmati keenakan telur hitam atau lebih dikenali sebagai Kuro-Tamago yang dimasak secara tradisional di sini.

"Kemudian, saya ke Hakone Shrine dan menaiki kereta kabel. Oleh kerana pada ketika musim salji atau bunga, sebelah siang menjadi singkat manakala malam menjadi lebih lama," katanya.

Menurutnya, pada hari keempat dia menaiki bas stesen Yumoto ke Gotemba Premium Outlet dan seterusnya ke stesen Kawaguchiko.

"Di sini saya menginap di hotel dengan pemandangan Gunung Fuji yang menakjubkan. Seharian saya di sini dengan melakukan pelbagai aktiviti termasuk menaiki kereta kabel ke Gunung Kachi-Kachi dan menyusuri Tasik Kawaguchiko.

"Selain itu, saya turut menaiki bas ke perkampungan tradisional Saiko Iyashi No Sato Nemba serta ke Taman Oishi untuk menikmati keindahan Gunung Fuji sambil menikmati aiskrim.

Rozani berkata, sepanjang berada di sana, dia melihat penduduk setempat sentiasa bersedia membantu biarpun masalah komunikasi kerana mereka tidak fasih berbahasa Inggeris.

"Saya tidak berdepan masalah itu, kerana boleh berbahasa Jepun. Jadi ia beri kelebihan kepada saya untuk dapatkan sebarang bantuan.

"Lagi satu yang menarik yang saya dapat pelajari adalah budaya masyarakat Jepun yang menepati masa. Selain itu, kebersihan negara ini wajar dipuji dan dicontohi," katanya.

Dia berkata, bagi pengembara solo, Jepun sebuah negara yang selamat dan mesra Muslim.

"Anda tidak perlu risau mengenai makanan kerana banyak restoran dan kedai makan menyediakan makanan halal. Selain itu kemudahan untuk solat juga banyak disediakan.

"Bagaimanapun, sebagai pelancong, kita perlu patuhi undang-undang ditetapkan sepanjang berada di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 7:02 AM