SUV terbaharu Proton X90.
SUV terbaharu Proton X90.
Lizam Ridzuan


Penantian untuk keluarga siri X Proton yang terbaharu selepas X50 dan X70 bakal berakhir tidak lama lagi menerusi pengumuman Proton X90 Serba Baharu yang bakal dilancarkan bulan hadapan.

Ia adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketiga untuk Proton dalam Segmen-D.

Ia juga model pertama untuk jenama kenderaan nasional ini yang dipasang dengan enjin hibrid ringan.

Ia ditawarkan menerusi empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship dengan pilihan enam atau tujuh tempat duduk dengan ciri premium, teknologi serta famili.

Proton X90 Serba Baharu dengan enjin 1.5L TGDi dan dilengkapi trenkuasa Sistem Motor Listrik Sinergi (EMS) 48V serta bateri lithium-Ion 48V.

Ia mampu menjana kuasa 190PS dan 300Nm dengan transmisi dwiklac 7 kelajuan (DCT) yang membantu penggunaan bahan api lebih jimat sehingga 15 peratus.

Pembangunannya mengambil masa 36 bulan malah model ini turut melalui ujian mencecah jarak 1.2 juta kilometer (km) serta 96,000 jam 'man hour'.

Bagi disesuaikan dengan permukaan jalan di negara ini, suspensi belakang 'multi-link' juga ditala mengikut keperluan.

Proton X90 didatangkan dengan konsep 'Intelligence That Empowers' dengan sistem keselamatan yang ditambah baik.

REKAAN elegan dan premium.
REKAAN elegan dan premium.

Ia membabitkan Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW) dan Maklumat Papan Tanda (TSI) untuk Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2, parkir automatik selain enam beg keselamatan.

Ia juga hadir dengan kamera 360 darjah yang cukup jelas dipaparkan menerusi skrin sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci untuk varian Flagship dan meter LCD digital sepenuhnya bersaiz 10 inci.

Ruang kargonya berkapasiti 2,050 liter selain dilengkapi tujuh pengecas USB jenis A dan C selain bumbung panorama.

Untuk rekaan luaran, kemasan hadapan 'Busur Ethereal' yang merentasi sehingga bawah lampu hadapan LED menyerlahkan model ini.

Dengan tambahan corak gril inspirasi songket serta padanan rim 19 dan 18 inci, penawaran SUV ini pasti mendapat perhatian ramai.

Untuk bahagian belakang, ia hadir dengan lampu LED serta pintu automatik.

Enam pilihan warna ditawarkan dan Proton juga sudah memulakan proses pengeluaran kenderaan ini dan berusaha memastikan tempoh menunggu untuk pembeli menerima kenderaan dikurangkan.

KABIN ciri teknologi.
KABIN ciri teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 6:17 AM